Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Bagaimanakah pelantikan kepimpinan didalam Islam? Apakah kontrak yang terdapat dalam aqad Bai’ah seorang pemimpin di dalam Islam? Hari ini sistem yang kita pakai dalam negara dan juga diserata dunia adalah berlandaskan demokrasi. Melalui sistem ini, pemimpin dilantik melalui pilihan raya menjadikan parti ataupun pemimpin ataupun calon yang mendapat undi terbesar ataupun kepercayaan di dalam Parlimen untuk dilantik menjadi Perdana Menteri. Di Malaysia, Perdana Menteri yang dilantik ini akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di Pertuan Agong, adapun di negara-negara lain di depan Presiden kepada negara tersebut.

Persoalan asas kepada lantikan ini adalah apakah aqad yang menjadikan ia sah atau pun tidak sah? Apakah prasyarat seorang pemimpin untuk mendapat ketaatan di dalam negara Islam? Kalau kita mengatakan bahawa seorang pemimpin sebagai pemimpin kepada umat Islam, maka dia hendaklah memenuhi syarat sebagaimana yang terkandung di dalam aqad tersebut.

Secara ringkasnya, seorang pemimpin di dalam negara Islam yang hendak dilantik ataupun diberi mandat untuk menjadi pemerintah sama ada Perdana Menteri ataupun apa-apa jawatan, mereka berpaksikan kepada bai’ah ataupun aqad.

Di dalamnya terkandung syarat bahawa ahl Hall Wal ‘Aqd melantik kamu untuk menjadi pemimpin dengan syarat kamu menjalankan aqad tersebut dalam urusan pentadbiran kepimpinan.

Pemimpin itu hendaklah memerintah mengikut Al-Quran dan Sunnah ataupun mengikut Manhaj An-Nubuwwah. Hanya apabila pemimipin bersetuju dan menerima syarat tersebut, barulah dia berhak menerima ketaatan daripada seluruh umat Islam yang menjadi rakyat di negara tersebut. Penting untuk kita faham bahawa ketaatan yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin tersebut adalah bersyarat dan syaratnya ialah pemimpin tersebut hendaklah menjalankan hukum Allah dalam pentadbirannya serta menguruskan urusan awam dalam negara tersebut. Inilah makna memimpin negara mengikut aturan Islam.

Inilah kontrak yang memberikan hak serta mengabsahkan bahawa seseorang itu akan menjadi pemimpin yang sah kepada umat Islam di dalam satu-satu negara. Jika pemimpin tersebut tidak beriltizam ataupun keluar daripada al-Manhaj al-Nubuwwah, tidak melaksanakan hukum hakam Islam dalam pentadbiran negara dan tidak melaksanakan Syariah Islam dalam mengendalikan urusan awam berkaitan dengan umat Islam, maka pemimpin tersebut tidak sah untuk menjadi seorang pemimpin.

Konsep ini adalah satu yang sangat ringkas tetapi dari segi implementasinya perlu diteliti dan perlu difahami. Sering kita dapat melihat orang yang memperjuangkan Islam, malah memperjuangkan politik Islam kadang-kadang tidak memahami pun konsep ini serta tidak dapat membawanya dalam agenda mereka.

Lalu mereka tidak dapat membawa saranan-saranan yang sesuai dengan kaedah politik Islam. Walaupun kita tidaklah ketat dalam menentukan tatacara bagaimana hendak dilakukan proses akad, tetapi kandungan kepada akad tersebut mestilah wujud di dalam amalan pelantikan kepimpinan di dalam negara Islam.

Jadi hendaklah berlaku di sana akad ataupun kontrak di antara rakyat dengan pemimpin tersebut berjanji setia bahawa mereka akan melaksanakan hukum-hakam Islam dalam mentadbir negara. Jika syarat ini ataupun akad ini tidak wujud di dalam pelantikan maka dia bukanlah satu pelantikan kepimpinan yang sejajar dengan syariah Islam.

Perbahasan disini bukan bercakap tentang prosedur ataupun tatacara cara tetapi yang paling penting sekali dihayati adalah roh dan semangat politik Islam. Kenapa kita diwajibkan untuk melantik pemimpin? Kenapa kita harus taat kepada pemimpin?

Ini kerana untuk menjamin kestabilan, kesinambungan sistem Islam, perundangan Islam serta kestabilan hidup umat Islam menuntut kepada iltizam ataupun komitmen daripada pemimpin itu untuk melaksanakan perintah Allah dan Rasul dan melaksanakan Syariah Islam. Hanya dengan dengan itu umat Islam, keadaan, martabat, dan kehidupan umat Islam akan menjadi stabil serta terjamin masa hadapan mereka kerana pemimpin itu telah berjanji untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka.

Baiah ini adalah satu kata kunci penting bagaimana kita nak ukur sejauh mana pemerintahan itu mewakili pemerintahan Islam ataupun tidak. Ia juga menjadi kayu ukur menilai sejauh mana agenda Islam dan pelaksanaan hukum Islam dalam pemerintahan itu berlaku. Ini kerana sebarang pengabaian terhadap hukum hakam Islam, pengabaian terhadap hukum al Quran dan Sunnah secara langsung ia akan turut sama memberi kesan kepada pengabaian kepada maslahah dan kesinambungan hidup seorang muslim dan umat Islam dalam negara tersebut.

Penulis : Ustaz Abdullah Zaik, Felo Utama PEMIKIR

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights