Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan beberapa pendedahan berkaitan Timbalan Menteri Agama dan kaitannya dengan ajaran New Age. Perkara ini membuka kembali sebuah kotak yang sebenarnya telah lama wujud dalam masyarakat Malaysia, iaitu penyebaran pelbagai ajaran dan amalan mistik yang sebahagiannya mempunyai kaitan dengan gerakan New Age.
Polemik New Age dalam masyarakat Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak 20 hingga 30 tahun yang lalu, unsur-unsurnya telah mula menjalar masuk ke dalam masyarakat dalam pelbagai bentuk. Untuk memahami perkara ini dengan lebih baik, kita terlebih dahulu perlu memahami apakah yang dimaksudkan dengan New Age Movement, supaya kita dapat menilai sejak bila ia mula berkembang dan bagaimana pemikirannya telah berakar dalam masyarakat Malaysia sehingga hari ini.
New Age Movement atau gerakan New Age merupakan sebuah gerakan spiritual yang berusaha membangunkan kerohanian individu melalui pelbagai bentuk amalan seperti meditasi, yoga dan sebagainya. Jika secara tradisinya pembangunan kerohanian seseorang berlangsung melalui agama, gerakan New Age cuba memisahkan pembangunan kerohanian daripada kerangka agama. Bagi mereka, kerohanian boleh dibangunkan tanpa seseorang perlu menganut agama tertentu atau terikat dengan ritual keagamaan yang khusus. Atas asas inilah ia tampil sebagai suatu bentuk spiritualiti “era baharu”.
Jika dilihat daripada sudut ini, dapat disimpulkan bahawa gerakan New Age bukanlah fenomena yang baru muncul pada tahun 2026. Ia telah berkembang jauh lebih awal. Dalam konteks Malaysia, unsur-unsur New Age hadir melalui pelbagai medium seperti latihan motivasi, pembangunan diri, perniagaan, kesihatan alternatif dan beberapa bentuk latihan kerohanian.
Sebagai contoh, terdapat produk latihan dan pembangunan diri seperti Neuro-Linguistic Programming (NLP), Emotional Spiritual Quotient (ESQ), eHati, Queen’s Night dan lain-lain yang pernah dikaitkan atau dibincangkan dalam konteks pengaruh pemikiran seumpama ini.

Akar Falsafah New Age
Gerakan New Age bukan sekadar himpunan petua, amalan atau latihan pembangunan diri. Di sebalik amalan-amalan tersebut terdapat ajaran dan kerangka pemikiran tertentu. Walaupun sebahagian pendukung New Age, khususnya dalam konteks Malaysia, mendakwa bahawa mereka tidak membawa akidah atau ajaran baharu, sesuatu doktrin tidak dapat berdiri tanpa mempunyai asas pemikiran yang melatarinya. Gerakan New Age juga tidak terkecuali daripada mempunyai akar falsafahnya yang tersendiri.
Persoalannya, apakah akar falsafah tersebut?
Menurut Randall N. Baer, seorang bekas pengamal New Age di Amerika Syarikat, dalam bukunya Inside the New Age, elemen pemikiran New Age bersumberkan beberapa perkara, antaranya:
- tradisi kultus daripada Timur dan Barat;
- ajaran mistik kuno dan moden;
- pandangan alam neopagan dan natural religion;
- psikologi moden; dan
- sihir moden.
Kesemua elemen ini membentuk suatu falsafah New Age yang diungkapkan oleh Baer sebagai spiritual humanism, iaitu falsafah yang mengangkat potensi kerohanian manusia ke kedudukan yang sangat tinggi dalam memahami kewujudan.
Dalam kerangka pemikiran ini, manusia bukan lagi sekadar makhluk yang mempunyai kemampuan untuk berusaha dan membentuk kehidupannya, bahkan kesedaran dan pemikirannya diberikan kuasa yang sangat besar dalam menentukan realiti. Dalam bentuknya yang lebih ekstrem, Tuhan diketepikan daripada hubungan antara manusia dengan alam, sementara manusia diletakkan sebagai paksi utama kewujudan.
Daripada kerangka inilah lahir kepercayaan bahawa manusia mempunyai kuasa melalui pemikirannya untuk menggerakkan tenaga-tenaga tertentu dalam alam. Seolah-olah tiada sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh kudrat manusia kerana peranan Tuhan telah diketepikan atau diminimumkan. Manusia menjadi pusat kewujudan dari sudut humanisme, manakala kuasa spiritual manusia pula diangkat sebagai kuasa yang menentukan realiti.

Titik Kerancuan New Age
Apabila kita membaca buku-buku New Age yang dipersembahkan dalam bentuk self-help, motivasi dan perniagaan, sebahagian besar kandungannya pada zahir kelihatan membawa mesej yang baik. Lebih-lebih lagi apabila gagasan New Age tersebut ditulis atau diolah oleh orang Islam dengan disadur ayat-ayat al-Quran dan hadis bagi memberikan legitimasi agama terhadap idea yang dikemukakan.
Sekali imbas, kita akan menemukan pelbagai unsur yang kelihatan “Islamik” dan bertepatan dengan syarak. Tambahan pula, terdapat amalan tertentu yang menghasilkan natijah yang baik dan positif kepada pengamalnya. Keadaan ini semakin mengukuhkan keyakinan sebahagian pendukung dan masyarakat umum terhadap kebenaran ajaran New Age yang telah diberikan wajah Islamik.
Inilah yang menyebabkan sebahagian masyarakat sukar untuk mengenal pasti masalah yang terdapat dalam ajaran tersebut. Oleh sebab terdapat beberapa ajaran yang kelihatan bertepatan dengan syarak, ditambah pula dengan hasil yang dianggap baik dalam kehidupan, masyarakat akhirnya menjadi keliru apabila sebahagian ajaran tersebut difatwakan atau dinilai sebagai menyeleweng.
Hakikatnya, keadaan seperti ini bukan sesuatu yang asing dalam sejarah agama dan pemikiran. Sesebuah ajaran atau ideologi yang menyimpang daripada kebenaran tidak semestinya mengandungi kebatilan secara keseluruhannya. Ia boleh sahaja mempunyai beberapa dakwaan yang benar dan disokong dengan justifikasi yang kukuh, tetapi dalam masa yang sama mengandungi banyak dakwaan lain yang bermasalah.
Dalam proses penyebarannya, pendukung sesuatu ajaran lazimnya akan memberikan penekanan kepada unsur-unsur yang benar dan mudah diterima. Secara logiknya, sukar untuk seseorang manusia yang rasional menerima sesuatu ajaran sekiranya kebatilannya diperlihatkan secara terang-terangan sejak awal. Sebaliknya, unsur kebenaran yang disulam bersama dengan pemikiran yang bermasalah inilah yang boleh menyebabkan masyarakat umum, khususnya mereka yang tidak mempunyai asas ilmu yang mencukupi, mudah terpengaruh.
Keadaan inilah yang dinamakan sebagai kerancuan, iaitu keadaan apabila sesuatu perkara menjadi keliru, tidak teratur atau bercampur aduk antara unsur yang benar dengan unsur yang salah.
Istilah kerancuan ini sesuai digunakan dalam menilai New Age versi Islamik kerana terdapat percampuran antara ajaran yang benar dengan asas pemikiran yang bercanggah antara satu sama lain. Walaupun terdapat hasil-hasil positif yang boleh ditemukan dalam sebahagian tradisi pemikiran Barat, asas falsafah yang melatarinya tetap mempunyai beberapa masalah fundamental yang perlu diperhalusi.
Mengemudi Kerancuan New Age
Bagaimanakah kita harus mengemudi ajaran New Age ini? Tidak bolehkah kita sekadar mengambil amalan yang baik dan meninggalkan asas pemikiran yang bermasalah?
Perkara penting yang perlu difahami ialah sebahagian amalan yang dikemukakan dalam gerakan New Age tidak semestinya datang secara berasingan. Sebaliknya, ia sering hadir bersama suatu pakej pemikiran yang mempunyai latar falsafah tertentu.
Pada peringkat awal, seseorang mungkin hanya diperkenalkan kepada amalan-amalan seperti berfikiran positif, pengosongan minda, bersedekah, meditasi dan sebagainya. Lama-kelamaan, sebahagian pendekatan ini boleh membawa kepada amalan yang lebih bersifat mistik seperti meraga sukma (astral projection), bentuk-bentuk tertentu yoga, sihir, penggunaan bahan psikedelik dan sebagainya. Ini belum termasuk beberapa kepercayaan lain seperti penyatuan diri dengan alam, penguasaan tenaga positif dan pelbagai gagasan metafizik yang berkaitan dengannya.
Oleh sebab itu, adalah lebih selamat untuk menjauhi amalan-amalan yang mempunyai akar pemikiran sedemikian, khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai kemampuan ilmu untuk membezakan antara unsur yang benar dengan unsur yang salah.
Dalam masa yang sama, hakikat bahawa sesuatu amalan New Age menghasilkan natijah yang positif juga tidak semestinya membuktikan bahawa amalan tersebut benar.
Perumpamaan mudahnya ialah seseorang yang mencuri wang orang lain dengan tujuan untuk menyedekahkannya kepada masjid. Sedekah tersebut mungkin menghasilkan natijah yang baik, tetapi natijah itu tidak menjadikan perbuatan mencuri sebagai sesuatu yang benar.
Begitulah juga dalam menilai sesuatu ajaran. Natijah yang positif tidak semestinya membuktikan bahawa asas sesuatu amalan itu benar.
Sekiranya terdapat unsur yang benar dalam sesuatu amalan yang berasal daripada aliran New Age, maka ia memerlukan ilmuwan yang benar-benar mahir untuk mengasingkan unsur yang benar daripada asas pemikiran yang salah. Dalam konteks Malaysia hari ini, sebahagian adaptasi New Age ke dalam wacana Islam pula kelihatan lebih kuat bergerak melalui industri latihan, motivasi dan perniagaan berbanding melalui proses penelitian keilmuan yang mendalam.
Realiti ini sebenarnya memperlihatkan satu persoalan yang lebih besar. Masyarakat moden sedang berhadapan dengan kehilangan makna, kehilangan kompas kehidupan dan ketandusan tujuan asas kewujudan.
Apabila gerakan New Age hadir menawarkan suatu bentuk pengalaman spiritual tanpa tanggungjawab keagamaan yang ketat, maka ia mudah menarik minat masyarakat. Salah satu hujah yang sering dikemukakan ialah agama Islam, khususnya dalam konteks masyarakat Malaysia, seolah-olah tidak mempunyai khazanah motivasi dan self-help sebagaimana yang ditawarkan oleh tradisi New Age melalui apa yang sering disebut sebagai ancient wisdom.
Sedangkan hakikatnya, khazanah intelektual Islam mempunyai tradisi yang sangat kaya dalam membincangkan pembangunan jiwa dan diri manusia. Tokoh-tokoh seperti al-Mawardi, Ibnu Sina, Al-Raghib al-Isfahani, al-Ghazālī dan ramai lagi telah menulis secara mendalam mengenai pembentukan akhlak, pengurusan jiwa, kebahagiaan, pembangunan diri dan persoalan tujuan kehidupan dengan asas yang jauh lebih fundamental.
Falsafah Barat sebagai sebuah tradisi pemikiran telah menghasilkan korpus ilmu yang sangat luas. Namun dalam beberapa bahagiannya, terdapat kerangka yang tidak seimbang atau tidak selari dengan pandangan alam Islam sehingga menimbulkan kerancuan apabila diambil secara langsung tanpa penelitian.
Walaupun demikian, kita tidak sepatutnya bersikap xenophobic terhadap falsafah Barat lalu menolak keseluruhannya secara melulu. Sebagai umat Islam yang kritis, kita tidak menolak sesuatu ilmu yang benar dan bermanfaat hanya kerana ia berasal dari Barat.
Namun sikap terbuka tersebut mestilah disertai dengan penelitian yang kritis. Melalui penelitian inilah kita dapat mengenal pasti bahawa sebahagian falsafah yang melatari pemikiran Barat mempunyai idea-idea yang tidak selari dengan pandangan alam Islam yang bersepadu.
Kerancuan ini perlu dirungkai dengan teliti supaya kita tidak terperangkap antara dua sikap yang sama-sama bermasalah: penolakan mutlak tanpa penelitian dan penerimaan mutlak tanpa tapisan.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, gerakan New Age, walaupun mempunyai beberapa sisi yang kelihatan positif, turut membawa bersamanya unsur-unsur pemikiran yang boleh membuka jalan kepada khurafat, bid øah, bahkan pada tahap tertentu membawa kepada kerosakan dalam persoalan tauhid.
Bahaya New Age tidak semestinya terletak pada setiap amalan secara bersendirian, tetapi pada pandangan alam dan asas falsafah yang boleh tersembunyi di sebalik amalan tersebut.
Atas dasar itu, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam berinteraksi dengan ajaran dan amalan New Age. Apa yang kelihatan baik dari sudut natijah perlu tetap dinilai dari sudut asas pemikiran, sumber serta kesesuaiannya dengan pandangan alam Islam.
Dalam berhadapan dengan kerancuan pemikiran, neraca yang diperlukan bukan sekadar persoalan sama ada sesuatu itu “berkesan” atau “memberikan hasil”, tetapi persoalan yang lebih asas: apakah hakikat dan pandangan alam yang melatari sesuatu amalan itu?


