Menunaikan ibadah haji adalah wajib bagi mereka yang beragama Islam yang cukup syarat-syarat untuk menunaikan haji sepertimana yang telah digariskan oleh syarak dan ditetapkan syarat ini di dalam kitab fiqh yang muktabar. Allah SWT berfirman:
ولله على ٱلناس حج ٱلبيت من ٱستطاع إليه سبيلا
“Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia bagi Allah yang mampu untuk melakukan perjalanan ke Baitullah.”
(Surah Ali Imran:3/97)
Menunaikan haji ini pula memerlukan persediaan kendiri dari segi perbelanjaan, kesihatan, pengetahuan dan ilmu-ilmu yang berkait berkaitan dengan ibadah haji. Walaupun begitu, pengetahuan di sini bukan terhenti pada perkara rukunnya atau sunat dan wajib haji tetapi termasuk pengetahuan dalam sejarah klasik, hikmah-hikmah dan falsafah tersendiri bagi setiap amalan haji yang dilakukan. Oleh itu, tulisan ini sedikit sebanyak cuba memaknai semula amalan sunat ketika tawaf ini agar ibadah haji tidak kosong tatkala ditunaikan dan sesudah ibadah haji akan memberi bekas erti yang jitu tidak seperti kata peribahasa lama “biar pun kucing naik haji, pulangnya mengeong juga.”
Di antara rukun haji yang menjadi ijmak umat Islam ialah melakukan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan, berdasarkan firman Allah SWT:
وليطوفوا بٱلبيت ٱلعتيق
“Dan hendaklah mereka melakukan tawaf sekeliling rumah tua itu (Baitullah).”
(Surah al-Hajj:22/29)
Perkara dalam melakukan tawaf ini ialah lelaki disunatkan membuka kain ihramnya sebelah kanan. Disamping itu, disunatkan juga berlari-lari anak ketika melakukan pusingan tawaf. (Lihat: Busyra al-Karim bi Syarh Masail al-Ta’lim)
Memahami amalan sunat ini iaitu membuka kain ihram sebelah kanan boleh kita fahami dengan menyentuh lensa sejarahnya ketika dakwah Islam berjaya dan beransur terlihat jelas siri demi siri. Dari sinilah mula persiapan untuk menetapkan semula hak umat Islam untuk menunaikan umrah yang dihalang musyrikin Mekah selama enam tahun. Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW dilihatkan di dalam mimpi yang baginda bersama para sahabat memasuki Masjid al-Haram, mengambil kunci Kaabah dan menunaikan umrah. Mimpi gembira ini lalu diceritakan kepada para sahabat yang lain. (Lihat: Rahiq al-Makhtum)
Hasrat baginda dan bersama kaum Muslimin menunaikan umrah dilakukan pada bulan Zulkaedah pada penghujung tahun enam hijrah. Sebelum bergerak, baginda telah memberitahukan kepada Quraisy Mekah dari suku Badwi yang baginda bersama kaum Muslimin akan menunaikan umrah bukan untuk berperang. Namun, respon balas Quraisy Mekah lambat hingga baginda dan kaum Muslimin telah keluar awal menuju Mekah bersama haiwan-haiwan ternakan sebagai tanda bahawa umat Islam tidak mahu berperang juga sebagai tanda selamat dan aman bagi orang sekeliling di Mekah. Seramai 1400 yang menyertai ekspedisi ini. (Lihat: Bidayah wa al-Nihayah)
Ketika di ‘Usfan, Bishr bin Sufyan bertemu baginda melaporkan yang Quraisy Mekah mendengar kedatangan baginda dan siap sedia berperang, malah mereka berkemah di Zu Tuwa dan bersumpah atas nama Allah bahawa Nabi Muhammad SAW tidak dapat memasuki Mekkah. Termasuk Khalid bin al-Walid bersama pasukan kuda bersiap mara menghadapi pasukan ekspedisi Nabi SAW.
Mendengar berita ini, Nabi SAW terus menyiapkan pasukan menghadapi Quraisy Mekah. Nabi SAW bersama para sahabat melalui jalan di antara dua bukit al-Hamdh iaitu jalan keluar ke al-Hudaibiyyah melalui Thaniyat al-Murar. Pasukan Khalid bin al-Walid yang melihat pasukan Nabi SAW yang mara terus kembali semula balik ke Quraisy dan melaporkan kepada yang lain:
“Wahai orang Quraisy, kamu ini tergesa-tergesa dengan Muhammad. Dia bukan datang nak perang tapi untuk melawat Baitullah!”
(Lihat: Bidayah wa al-Nihayah)
Namun, kaum Quraisy tetap tidak mempercayai hasrat baginda hinggalah pasukan Nabi menghantar utusan kepada Quraisy Mekkah iaitu Uthman bin ‘Affan supaya memberitahu hasrat sebenar pasukan Islam untuk melakukan tawaf. Tetapi, kaum Quraisy tidak memberi bahkan menahan Uthman bin Affan.

Dari sinilah tersebar berita palsu bahawa Uthman bin Affan dibunuh, maka terjadi Bai’ah al-Ridwan umtuk membela pembunuhan Uthman bin Affan dan Nabi SAW akan memerangi Quraisy. Lalu baginda diberi tahu yang berita kematian Uthman bin Affan adalah palsu.
Akhirnya, berlaku rundingan antara kedua belah pihak sehingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah yang isi perjanjian ini salah satunya ialah kaum Muslimin diberi kebenaran untuk menunaikan umrah pada tahun berikutnya iaitu pada tahun tujuh hijrah.
Perjanjian ini pada perhatian pihak musyrikin Mekah memberi kelebihan kepada mereka bagi mencari usaha dan mekanisme untuk terus menentang Islam. Antara usaha yang dijalankan oleh musyrikin tersebut ialah menggunakan cara perang saraf terhadap Islam dengan harapan orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam. Mereka menyebarkan dakyah bahawa orang Islam itu lemah, serba kekurangan, tidak cukup makan, berpenyakit, lesu dan tidak bersemangat.
Pada bulan Zulkaedah tahun ketujuh Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama sekitar 2000 orang kaum Muslimin telah bersiap sedia berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah qadha’. Rasulullah SAW telah melantik Abu Zar al-Ghifari sebagai pimpinan sementara di Madinah. (Lihat: Al-Bidayah wa al-Nihayah). Sebanyak 60 ekor unta dibawa untuk korban yang diuruskan oleh Najiah bin Jundab. Pada kali ini mereka tidak gusar lagi kerana perjanjian Hudaibiyah telah membenarkan mereka melakukan umrah dan tawaf di Mekah. Walaupun begitu, Rasulullah SAW tetap waspada, lantaran itu Rasulullah SAW telah mempersiapkan 100 orang pasukan berkuda diketuai Muhammad bin Maslamah. Rasulullah SAW juga membawa senjata sebagai persediaan jika berlaku pengkhianatan dari kaum Musyrikin. Senjata ini berada di bawah kawalan Basyir bin Saad. Apabila tiba di Marruz Zhahran, Orang Musyrikin telah mendapat tahu Rasulullah s.a.w. membawa senjata dan mereka membuat bantahan. Rasulullah SAW telah menerangkan bahawa senjata tersebut hanyalah persediaan jika kaum Musyrikin mengkhianati perjanjian. Ia disimpan di suatu tempat dan kaum Muslimin akan memasuki Mekah tanpa senjata kecuali pedang bersarung yang dibenarkan di dalam perjanjian. Rasulullah SAW memerintahkan supaya senjata tersebut dikumpulkan di Batnu Najih bersama dengan pasukan berkuda seramai 100 ditugaskan menjaganya secara bergilir supaya masing –masing dapat mengerjakan umrah. (Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’)
Ketika kaum Muslimin memasuki kota Mekah, dakyah memburuk-burukkan kaum Muslimin terus dicanang dengan giat. Ada di kalangan mereka mengatakan orang-orang yang berpenyakit telah datang ke Mekah. Kata mereka:
“Akan tiba kaum yang dilemahkan oleh demam Yathrib.” (Lihat: Sahih al-Bukhari)
Kaum Muslimin ketika memasuki Mekah, kaum Musyrikin dikehendaki keluar dari kota Mekah selaras dengan perjanjian Hudaibiyah di mana mereka perlu keluar dari kota Mekah ketika kaum Muslimin menunaikan Umrah dan dibenarkan berada di Mekah selama tiga hari. Ada pemimpin-pemimpin Quraisy telah keluar awal dari kota Mekah kerana tidak mahu langsung melihat kaum Muslimin kerana sikap sombong dan dendam mereka. Manakala penduduk Mekah yang lain ada yang berkumpul untuk melihat kaum Muslimin dari dekat dan ada yang melihat dari jauh menghadap Hajar al-Aswad terutama dari atas bukit Qaiqa’an, bukit Abi Qubais, bukit Hira’ dan bukit-bukit yang berhampiran. Mereka ingin melihat apakah aktiviti-aktiviti yang dibuat oleh kaum Muslimin sepanjang berada di Mekah tersebut. Mereka juga meninjau sejauh mana kebenaran berita yang disebarkan tentang kaum Muslimin.
Rasulullah SAW dengan kebijaksanaannya telah melihat ini merupakan satu peluang untuk membalas semula apa yang didakyahkan oleh orang-orang musyrikin terhadap Islam dengan langkah yang bijak. Rasulullah SAW telah memasuki Mekah melalui Thaniyyatul Quda sambil bertalbiah bersama-sama kaum Muslimin. Abdullah bin Rawahah RA telah mendendangkan syair yang menyentuh semangat keimanan dan seruan berperang menentang orang-orang kafir. Walaubagaimanapun Rasulullah SAW telah meminta Abdullah mengucapkan:
لا إله إلا الله وحده، نصر عبده، وهزم الأحزاب وحده
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, yang telah menolong hamba-Nya, memberi kemenangan kepada tentera-Nya dan menewaskan tentera musuh yang bersekutu itu dengan sendirinya.”
(Lihat: Tarikh al-Dimasyq)
Abdullah bin Rawahah RA telah mengucapkan apa yang diperintahkan kepadanya dan disambut oleh kaum Muslimin dengan serentak dan kuat. Suara mereka menyebut kalimah tersebut berpadu dan bergema di angkasa telah mengejutkan jantung hati orang-orang Musyrikin, bahkan pemimpin-pemimpin mereka yang langsung tidak mahu melihat kaum Muslim, telah kembali menghampiri kota Mekah dan mengintai-intai pergerakan kaum Muslimin dari Balai Nadwah. Ketika melakukan tawaf di Baitullah, Rasulullah SAW telah meminta kaum lelaki supaya membuka ihram di bahagian sebelah kanan supaya kelihatan tangan, bahu dan dada mereka yang tegap dan sasa. Rasulullah SAW juga meminta kaum Muslimin bertawaf sambil berlari-lari anak terutama dalam tiga pusingan dengan penuh semangat. Bagi mereka yang agak lemah fizikal juga diminta oleh Rasulullah SAW supaya digagahkan diri dan berada di belakang mereka yang berbadan sasa. Ketika melakukan sa’i juga kaum Muslimin diminta berlari-lari anak terutama pada tiga ulangan pertama.

Selesai melakukan sa’i, Rasulullah SAW telah menyembelih 60 ekor unta sebagai korban. Kemudian Rasulullah SAW bercukur dan diikuti oleh kaum Muslimin. Selesai sudahlah ibadah umrah yang telah sekian lama mereka impikan pada hari kedua dan ketiga Rasulullah SAW telah memenuhi masa dengan perkara-perkara sepatutnya dan bersolat secara berjamaah. Setelah sekian lama mereka tidak dapat solat di Mekah kerana dihalang oleh kaum Musyrikin, kini mereka dapat solat berjemaah di sisi kaabah. Bilal melaungkan azan setiap waktu solat dan kaum Muslimin mendirikan saf dan bersolat berimamkan Rasulullah SAW tanpa mengira darjat dan pangkat.
Gerak geri kaum Muslimin sepanjang ibadah umrah dan selama tiga hari di Mekah ini telah dilihat oleh orang-orang kafir sama ada dari dekat mahupun dari atas bukit-bukit yang berada berhampiran Mekah. Pemerhatian ini telah memecahkan kepercayaan mereka selama ini yang dimomokkan dengan berita-berita fitnah dan dusta yang memberi gambaran buruk kepada kaum Muslimin. Akhirnya mereka mengakui kekuatan, kekentalan dan semangat orang-orang Islam.
Ketika hari terakhir kaum Muslimin di Mekah, Musyrikin telah menghantar wakil Iaitu Suhail bin Amr dan Huwaitib bin Abdul Uzza memberi peringatan kepada Rasulullah SAW. Mereka berkata dengan kasar:
“Hei Muhammad, hari ini telah habis perjanjian kamu dengan kami. Hendaklah kamu keluar dan nyah dari sini!”
Saad bin Ubadah RA yang berada di sisi Rasulullah SAW merasa marah dengan kebiadaban wakil Musyrikin tersebut dan menjawab:
“Kamu bohong! Semoga kamu hilang ibumu. Ini bukan tanah kamu dan bukan tanah ayah kamu!” (Lihat: Maghazi al-Waqidi)
Rasulullah SAW dengan senyum meredakan keadaan dan berjanji kaum Muslimin bersiap sedia dan akan keluar mengikut masa yang ditetapkan.
Apabila diteliti peristiwa-peristiwa di atas, kita dapati kaum penentang Islam sentiasa mencari-cari mekanisme untuk menjatuh dan menghancurkan Islam. Kebijaksanaaan Rasulullah SAW telah dapat menghadapi perkara ini dengan baik dan jitu. Ketika menghadapi dakyah Musyrikin, Rasulullah SAW telah menggunakan strategi yang berkesan yang akhirnya memadamkan kepercayaan negatif terhadap kaum Muslimin.
Dari peristiwa-peristiwa tersebut dapat dibuat kesimpulan:
1. Orang kafir sentiasa mencari peluang untuk melamahkan umat Islam. Antara caranyanya ialah dengan menaburkan dakyah memburuk-burukkan orang Islam. Propaganda yang dijalankan oleh orang Musyrikin tersebut ada kelemahannya bagi mereka yang berfikir:
- Adakah orang Islam lemah semangat sedangkan mereka dapat menghadapi segala ujian dengan tabah sejak dizalimi ketika di Mekah lagi? Kemudian mereka memenangi peperangan Badar, bersabar dan bermuhasabah diri atas kekalahan perang Uhud apatah lagi dapat mengatasi kesulitan ketika menghadapi musuh dalam perang Khandaq. Orang kafir tidak meyedari bahawa kemenangan mereka di dalam peperangan Uhud dan merasai kelebihan untuk mereka di dalam perjanjian Hudaibiyah telah membuka pintu-pintu kemenangan umat Islam selepasnya.
- Walaupun terdapat orang Muhajirin berhijrah ke Madinah kerana dizalimi tanpa membawa harta, tetapi mereka menggunakan kebolehan dan usaha untuk memajukan diri dalam kehidupan dan ekonomi sehingga mereka dapat membentuk dan menguasai ekonomi di Madinah. Mereka gunakan kelebihan untuk perjuangan Islam.Ini menyanggah dakyah bahawa orang Muslimin di Madinah tidak maju di dalam ekonomi.
- Orang Islam mempunyai keberanian yang sungguh luar biasa. Sanggup syahid lantaran mempertahankan Islam. Kepahlawaaan mereka sangat menggerunkan kaum kafir. Pengalaman telah membuktikan bahawa orang-orang kafir mengahadapi saat-saat yang memeritkan ketika menghadapi orang-orang Islam di dalam peperangan besar sebelum ini walaupun mereka mempunyai kelengkapan perang yang jitu dan sokongan yang ramai. Propaganda yang menyatakan kaum Muslimin lemah lesu dan kurus kering itu tidak lain hanyalah sebagai untuk menyedapkan hati dan keegoan yang menguasai diri sedangkan mereka semakin gerun kepada kekuatan Islam.
2. Strategi Rasulullah SAW meminta umat Islam membuka ihram sebelah kanan ketika bertawaf antaranya ialah untuk menunjukkan keadaan fizikal mereka yang sasa dan tegap. Biasanya manusia menggunakan tangan sebelah kanan dalam pekerjaan harian mereka yang menyebabkan otot-otot sebelah kanan lebih menonjol sama ada pada tangan, lengan, bahu dan dada. Di samping itu ketika mereka bertawaf, sebelah kiri mereka berada di pihak Kaabah, sedangkan orang-orang Musyrikin yang melihat dan meninjau pergerakan kaum Muslimin ketika itu berada di pihak kanan mereka. Dengan membuka ihram pada bahagian atas sebelah kanan keadaan fizikal mereka nampak dengan jelas pada pihak kanan.
3. Antara hikmah berlari-lari anak terutama pada tiga pusingan ketika tawaf juga untuk menunjukkan kaum Muslimin bukanlah golongan yang mudah tunduk kepada lesu dan letih sebagaimana yang digambarkan oleh Musyrikin. Seterusnya Sa’i juga dikerjakan dengan berlari-lari anak. Ini menunjukkan sepanjang ibadah umrah ini Kaum Muslimin sentiasa bergerak dengan cergas. Kata Abdullah bin Abbas RA:
“Tidaklah Baginda memerintahkan mereka untuk berlari pada keempat-empat pusingan melainkan kerana ingin menjaga (kekuatan) mereka.” (Riwayat Muslim)
Gabungan takbir dan tahmid jitu yang bergema, keadaan fizikal yang mantap dan pergerakan yang sentiasa cergas bersemangat atas dasar taqwa akhirnya dapat meruntuhkan kepercayaan karut Musyrikin yang memberi pelbagai label yang buruk kepada kaum Muslimin. Akhirnya kaum Muslimin dapat menguasai Mekah dalam peristiwa Fathu Makkah pada tahun berikutnya. Strategi-stategi yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW tidak statik di situ sahaja sebaliknya sebagai panduan untuk orang-orang terus aktif berstrategi yang berfaedah dan berkesan untuk perjuangan Islam.
Penulis : Faiz Syatibiy, Pelajar Usuluddin dengan Kaunseling di UniSZA
E-mel : [email protected]
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


