Ibrah Merentas Zaman: Mengukuh Akar Tradisi, Mendepani Badai Globalisasi

Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Sering kali, apabila membicarakan soal sejarah, minda sebahagian masyarakat kita seolah-olah terperangkap dalam sangkar kefahaman yang kaku dan sempit. Sejarah lazimnya dipandang enteng sebagai longgokan fakta usang, deretan tarikh yang perlu dihafal demi peperiksaan atau sekadar hikayat masa lalu yang dianggap tidak lagi mempunyai denyut nadi dalam kancah kehidupan moden yang serba kompetitif dan materialistik kini. Persepsi ini, pada hemat penulis, merupakan satu tragedi intelektual yang besar bagi sebuah bangsa yang bercita-cita membina tamadun yang gah. Kita sering terlupa bahawa tanpa menoleh ke belakang, kita sebenarnya sedang berjalan dalam kegelapan tanpa arah dan panduan.

Hakikat yang harus kita insafi, janganlah kita ibaratkan sejarah itu sebagai sebuah arkib yang berdebu atau muzium yang menyimpan khazanah lampau yang tiada guna. Sebaliknya penulis percaya, sejarah itu adalah sebuah makmal kemanusiaan yang agung. Ia merupakan pita rakaman pasang surut ketamadunan, sebuah cermin yang memantulkan wajah sebenar jati diri kita dan paling utama, ia merupakan kompas yang menentukan arah tuju sesebuah peradaban. Sebagaimana universiti menjadi wadah membentuk jati diri mahasiswa menerusi ilmu, sejarah pula menjadi wadah yang membentuk roh sesebuah tamadun. Tanpa sejarah, manusia akan kehilangan akar dan tanpa akar, pohon ketamadunan akan mudah rebah ditiup badai globalisasi yang sering kali membawa serpihan-serpihan tajam agenda penghakisan identiti.

Menelusuri Akar Makna Sejarah: Antara Syajaratun dan Tarikh

Berbalik kepada persoalan asas, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan sejarah? Secara etimologi, istilah sejarah dalam bahasa Melayu mempunyai pertalian yang sangat unik dengan bahasa Arab, iaitu syajaratun (شجرة) yang bermaksud pohon. Penggunaan istilah ini bukanlah satu kebetulan, sebaliknya ia memiliki metafora yang cukup indah jika diamati. Metafora pohon ini sebenarnya menyimpan falsafah yang amat mendalam jika kita telusurinya dengan mata hati. Ia merupakan satu manifestasi kepada kitaran hayat sesebuah tamadun dan pertumbuhan intelektual seorang mahasiswa.

Pertama sekali, mari kita lihat pada akar pohon yang menghujam bumi. Akar adalah perlambangan kepada masa lalu, yakni sejarah, tradisi dan warisan ilmu yang menjadi tunjang kekuatan sesebuah tamadun. Tanpa akar yang mencengkam tanah dengan kukuh, sebatang pohon akan mudah tumbang apabila ditiup angin badai. Begitu juga dengan manusia, jika kita memisahkan diri daripada akar sejarah dan tradisi keilmuan yang benar, kita akan menjadi insan yang hilang identiti bahkan tersesat pula dalam krisis identiti yang tiada penghujung. Akar yang sihat menyerap nutrien daripada tanah, sebagaimana kita menyerap hikmah dan ibrah daripada sejarah untuk menyuburkan jiwa.

Kedua, batang yang berdiri teguh mewakili masa kini. Batang adalah manifestasi daripada kekuatan akar yang dizahirkan ke alam nyata. Ia adalah waktu untuk kita beramal, membina dan mempertahankan prinsip yang dipegang erat. Batang yang kukuh menunjukkan bahawa sejarah masa lalu telah berjaya dihadam dan diterjemahkan dalam bentuk jati diri yang mantap. Bagi seorang mahasiswa, batang ini adalah kapasiti intelektual dan integriti moral yang ditonjolkan ketika mendepani realiti kampus dan masyarakat. Ia berdiri teguh mendepani cabaran zaman, tidak meliuk lentur mengikut telunjuk ideologi asing yang sesat dan merosakkan.

Ketiga, dahan yang merimbun dan buah yang mendongak ke langit adalah simbolik kepada masa depan. Inilah matlamat akhir daripada setiap ilmu yang dituntut, iaitu memberi manfaat kepada ummah. Buah yang manis adalah hasil daripada sinergi antara akar yang kuat dan batang yang teguh. Buah-buah ini melambangkan sumbangan, inovasi dan kemajuan yang bakal dinikmati oleh generasi akan datang. Selain itu, dahan yang mendongak ke langit juga adalah isyarat bahawa cita-cita seorang penuntut ilmu haruslah tinggi, melampaui kepentingan peribadi, demi mengangkat martabat umat ke tahap yang lebih mulia di sisi Allah SWT.

Penulis berpendapat, hubungan antara ketiga-tiga unsur ini bersifat organik dan tidak boleh dipisahkan. Jika akarnya sakit, maka batangnya akan rapuh dan buahnya tidak akan pernah wujud. Oleh itu, memahami sejarah (akar) adalah prasyarat utama untuk kita membina masa depan (buah) yang berkualiti. Justeru, kesemua unsur atau komponen yang ada pada sesebuah pohon itu saling berkait rapat dalam satu ekosistem kehidupan yang utuh. Hal ini memberi gambaran jelas bahawa kehidupan hari ini tidak mungkin berdiri tanpa sokongan akar masa lalu yang kukuh. Jika akar itu dicabut atau dibiarkan mereput, maka rebahlah seluruh struktur pohon tersebut. Begitulah analogi sesebuah bangsa; jika sejarahnya dilupakan, maka hancurlah masa depannya.

Dalam tradisi keilmuan Islam pula, sejarah disebut sebagai al-Tarikh (التاريخ). Jika kita telusuri maknanya, ia merujuk kepada penentuan waktu atau kronologi. Namun, lebih daripada itu, ia melibatkan proses mendokumentasikan peristiwa manusia dengan penuh ketelitian dan kejujuran. Penulis berpendapat, kedudukan sejarah dalam hierarki ilmu Islam amatlah tinggi, kerana ia merupakan instrumen utama untuk memahami Sunnatullah, yakni ketetapan Allah SWT yang berlaku dalam perjalanan hidup manusia.

Sejarah dalam Neraca Wahyu: Perspektif Ibrah

Sebagai seorang penuntut ilmu Sejarah dan Tamadun, penulis melihat bahawa Islam meletakkan sejarah pada kedudukan yang sangat mulia dan sakral. Jika kita meneliti kitab suci al-Quran, kita akan mendapati bahawa hampir dua pertiga daripada kandungannya dipenuhi dengan kisah-kisah umat terdahulu. Ini merupakan satu isyarat ketuhanan bahawa sejarah adalah sumber pengajaran (ibrah) yang utama bagi golongan yang berakal.

Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 111:

لقد كان فى قصصهم عبرة لأولى ٱلألبـب ما كان حديثا يفترى ولـكن تصديق ٱلذى بين يديه وتفصيل كل شىء وهدى ورحمة لقوم يؤمنون

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”

Ayat ini memberi gambaran jelas bahawa sejarah bukanlah kisah-kisah lampau untuk dilagukan bagi memenuhi masa lapang atau sekadar dongeng sebelum tidur. Sejarah berperanan sebagai instrumen intelektual bagi Ulul Albab untuk memahami pola kejayaan dan punca kejatuhan sesebuah bangsa. Melalui sejarah, kita belajar bahawa keadilan akan membuahkan kemakmuran, manakala kezaliman, kesombongan dan kefasikan hanyalah benih-benih yang bakal mengundang kehancuran ummah.

Di samping itu, kepentingan sejarah dalam membina tamadun telah ditekankan oleh para sarjana Islam sejak sekian lama. Mereka bahkan bertindak merangka dan menyusun metodologi yang kritis bagi memastikan kebenaran ilmu sejarah terpelihara.

Antara yang terawal adalah Imam al-Tabari (Abad ke-9). Beliau merupakan pelopor yang membawa metodologi isnad (rantaian perawi) daripada ilmu hadis ke dalam penulisan sejarah. Bagi al-Tabari, sejarah adalah amanah Ilahi. Beliau ingin memastikan setiap peristiwa mempunyai sumber yang jelas agar sejarah tidak dicemari oleh unsur Israiliyyat atau dongeng yang menyesatkan. Ketelitian ini harus dicontohi oleh mahasiswa hari ini, bahawa setiap daripada kita harus memiliki kapasiti intelektual untuk menyaring maklumat di tengah-tengah tsunami maklumat palsu yang melanda masyarakat moden kini (Al-Tabarī, 1989).

Kemudian ada Ibn Khaldun (Abad ke-14). Kemunculan beliau telah merubah lanskap ilmu sejarah dengan cukup revolusioner. Melalui karya monumental, al-Muqaddimah, beliau menegaskan bahawa sejarah mempunyai dua sisi; sisi zahir (berita tentang peristiwa) dan sisi batin (kajian tentang sebab dan asal usul sesuatu kejadian). Beliau memperkenalkan konsep Asabiyyah (solidariti sosial) dan menjelaskan kitaran hayat sesebuah tamadun. Bagi Ibn Khaldun, sejarah adalah sains sosiologi yang kompleks dan sistematik (Ibn Khaldūn, 1958). 

Sarjana Islam seterusnya yang ingin penulis bawakan adalah Malik Bennabi (Abad ke-20). Beliau menekankan soal “keupayaan untuk dijajah” atau colonisabilité  (colonisability). Beliau berhujah bahawa kejatuhan umat Islam bukan hanya disebabkan oleh kekuatan musuh, tetapi kerana keruntuhan dalaman dari sudut jiwa. Pandangan Malik ini memaksa kita sebagai masyarakat untuk melihat sejarah sebagai wadah muhasabah diri bagi mengembalikan kegemilangan kita yang hilang dahulu (Sherif, 2020). Sesungguhnya, kesedaran sejarah itu penting menurut Malik Bennabi (Naylor, 2006). Tidak dilupakan tokoh intelektual masyhur Alam Melayu, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang menekankan kepentingan memahami sejarah Islam di Alam Melayu bukan melalui kaca mata orientalis, tetapi melalui perspektif Islam yang syumul. Beliau mengingatkan kita bahawa sejarah adalah kunci bagi membebaskan jiwa daripada penjajahan pemikiran (Al-Attas, 1978).

Malik Bennabi
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas

Peranan Sebagai Mahasiswa Sejarah

Sebagaimana yang penulis pernah tegaskan, mahasiswa adalah antara golongan yang berada di kedudukan tertinggi dalam hierarki intelektual masyarakat, bahkan dalam kalangan penuntut ilmu, kitalah yang berada di barisan hadapan. Mahasiswa, khususnya mahasiswa sejarah memikul amanah yang lebih berat bila bercakap soa ilmu sejarah. Peranan mahasiswa sejarah dalam lanskap hari ini tidak terbatas hanya di dalam dewan kuliah. Penulis berpandangan bahawa kita adalah agen perubahan yang harus menterjemahkan nilai-nilai sejarah ke dalam konteks pembangunan negara. Di Malaysia, kita sering berhadapan dengan krisis jati diri dan cubaan dangkal golongan tertentu yang memutarbelitkan fakta sejarah demi kepentingan ideologi sempit. Dalam keadaan sebeginilah, mahasiswa sejarah harus bangkit dan tampil ke depan bagi mempertahankan kebenaran sejarah dengan penuh keberanian.

Mahasiswa sejarah juga perlu sedar bahawa sejarah Malaysia; bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka yang menjadi pusat penyebaran Islam hingga ke detik kemerdekaan, adalah cerucuk-cerucuk utama pembentukan negara bangsa (Andaya, 2004). Tanpa kefahaman sejarah yang jitu, kita akan mudah terperangkap dengan ideologi luar yang tidak serasi dengan akar budaya dan agama kita. Tegasnya, penguasaan mahasiswa sejarah ke atas ilmu sejarah adalah satu bentuk jihad intelektual untuk memastikan kedaulatan negara dan kemurnian identiti watan terus terpelihara.

Kepentingan Sejarah Bagi Pembangunan Malaysia dan Umat Islam Sejagat

Dalam konteks yang lebih luas, sejarah merupakan penawar kepada penyakit “rasa rendah diri” (inferiority complex) atau kelesuan jiwa yang melanda umat Islam hari ini. Apabila kita mengkaji sejarah keemasan Islam di Baghdad, Andalusia atau Istanbul, kita akan menyedari bahawa umat Islam  di zaman lampau pernah menjadi guru kepada dunia dalam pelbagai lapangan ilmu termasuklah bidang sains, perubatan, astronomi dan falsafah (Starr, 2011). Kebangkitan Barat hari ini pun sebenarnya tidak lain tidak bukan banyak berhutang budi kepada tradisi intelektual Islam (Makdisi, 1989).

Sejarah juga mengajar kita tentang erti kepahitan. Perpecahan sesama sendiri, pengabaian terhadap ilmu pengetahuan dan penyakit wahn (cinta dunia dan takut mati) yang melanda ummah terdahulu telah membawa kepada keruntuhan zaman gemilang mereka. Pengajaran inilah yang perlu diserap oleh setiap sanubari masyarakat agar kesilapan yang sama tidak berulang dalam usaha kita membina Malaysia yang makmur. Pada hemat penulis, pembangunan Malaysia yang kompeten memerlukan warganegara yang memiliki  kadar literasi sejarah yang tinggi. Bangsa yang buta sejarah akan mudah hilang punca dalam membuat keputusan politik dan sosial. Sebaliknya, bangsa yang celik sejarah akan sentiasa berwaspada terhadap bibit-bibit perpecahan dan akan sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan demi masa depan.

Menghidupkan Roh Sejarah: Satu Seruan Untuk Semua

Akhir kalam, penulis ingin sekali lagi bertegas bahawa sejarah itu bukanlah tentang orang yang telah mati semata-mata, akan tetapi sejarah juga adalah tentang kita yang masih hidup untuk mengambil iktibar daripada mereka yang telah mati. Sejarah adalah jambatan yang menghubungkan kegemilangan masa lalu dengan aspirasi masa depan yang lebih cerah. Bagi setiap mahasiswa di seluruh negara, jadikanlah pembacaan sejarah sebagai tabiat harian bagi mencerdaskan akal. Janganlah kita setakat membaca untuk tahu dan mengisi kelompongan waktu yang ada, tetapi bacalah untuk faham dan bertindak. Terokailah hikmah yang tersirat di sebalik setiap peristiwa masa lalu dan jadikan ia sebagai panduan dalam membuat keputusan di masa hadapan. Setelah meneroka lautan ilmu ini, kembalilah ke pangkuan masyarakat untuk mendidik dan memahamkan mereka pula tentang peri pentingnya menghargai akar sejarah kita. Berbaktilah dan Menulislah untuk masyarakat!

Penulis menyeru kepada setiap ahli masyarakat di luar sana. Fahami dan tekunilah makna di sebalik setiap lembaran sejarah yang anda baca. Janganlah kita menjadi generasi yang leka, yang hanya tahu mengecap nikmat keselesaan masa kini tanpa menghargai jerih perih dan titisan darah mereka yang terdahulu. Bangkitlah dengan semangat intelektualisme yang tinggi, jadikanlah sejarah sebagai paksi untuk membina masyarakat yang matang, berilmu dan berdaya saing. Kerana sesungguhnya, bangsa yang besar adalah bangsa yang menghargai sejarahnya, manakala masyarakat yang cemerlang adalah mereka yang mampu mencorak sejarah baru yang lebih gemilang bagi generasi akan datang. Semoga usaha kita dalam menekuni ilmu sejarah ini diberkati dan menjadi amal jariah yang membawa manfaat kepada pembangunan Malaysia dan umat Islam sejagat menuju kemakmuran duniawi dan ukhrawi.

Rujukan

  1. Al-Qur’an al-Karim.
  2. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM), 1978.
  3. Al-Tabarī, Muḥammad ibn Jarīr. The History of al-Ṭabarī (Taʾrīkh al-rusul wa-l-mulūk). Vol. 13, The Conquest of Iraq, Southwestern Persia, and Egypt. Translated by Gautier H. A. Juynboll. 
  4. Albany: State University of New York Press, 1989.
  5. Andaya, Leonard Y. “The Melaka Sultanate and the Evolution of Malay Identity.” Indonesia and the Malay World 32, no. 93 (2004): 151–64.
  6. Ibn Khaldūn. The Muqaddimah: An Introduction to History. Translated by Franz Rosenthal. 3 vols. Princeton: Princeton University Press, 1958.
  7. Makdisi, George. “Scholasticism and Humanism in Classical Islam and the Christian West.” Journal of the American Oriental Society 109, no. 2 (1989): 175–82. https://www.jstor.org/stable/604423.
  8. Naylor, Phillip Chiviges. “The formative influence of French colonialism on the life and thought of Malek Bennabi (Malik bn Nabi).” French Colonial History 7, no. 1 (2006): 129-142.
  9. Sherif, M. A. “Facets of Faith – Malek Bennabi and Abul A’la Maududi: The Early Life and Selected Writings of Two Great Thinkers of the Twentieth Century Muslim World.” ReOrient 6, no. 1 (2020): 116–41. https://www.jstor.org/stable/10.13169/reorient.6.1.0116.
  10. Starr, S. Frederick. “Why the Arabic World Turned Away from Science.” The New Atlantis, no. 30 (Winter 2011): 3–19. https://www.jstor.org/stable/43152981.

Penulis : Ahmad Fakhry Harraz Bin Ahmad Sabri, Mahasiswa Sarjana Muda Sejarah dan Tamadun, UIAM
No. Telefon : 013-997 6957 | Facebook : Fakhry Harraz

Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights