Dalam situasi hari ini, pengaruh fahaman sekularisme yang dibincangkan dalam buku ini semakin jelas kelihatan dalam masyarakat Malaysia, terutamanya dalam kalangan generasi muda dan mahasiswa. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sekularisme ditakrifkan sebagai pendirian yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia.
Perkara ini dapat diperhatikan melalui beberapa isu tular kebelakangan ini yang menunjukkan pengaruh fahaman sekularisme ini telah melahirkan budaya hedonisme yang wujud dalam kalangan generasi kini. Budaya hedonisme merupakan suatu pemikiran yang menekankan bahawa memaksimumkan keseronokkan adalah matlamat dalam kehidupan manusia. Fenomena budaya hedonisme dapat dilihat melalui pelbagai gejala sosial termasuk pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, minum minuman keras dan normalisasi hiburan melampau yang melalaikan. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bagaimana fahaman sekularisme telah membuka ruang kepada penyebaran budaya hedonisme yang semakin membimbangkan dalam masyarakat hari ini.
Kesan daripada pengaruh ini dapat dilihat dengan jelas melalui beberapa isu semasa yang tular di media sosial. Baru-baru ini, terdapat sebuah video yang telah memaparkan lakonan teater yang mempunyai unsur yang tidak senonoh dipertontonkan di Universiti terkemuka di Malaysia.

Perkara ini menimbulkan kebimbangan kerana persembahan tersebut secara jelas telah memaparkan percampuran antara lelaki dan perempuan yang telah bertentangan dengan ajaran Islam. Lebih membimbangkan lagi persembahan lakonan tersebut telah mendapat sambutan serta sorakan yang gemuruh daripada mahasiswa itu sendiri. Jika direnungi, isu ini bukan sekadar isu sebuah persembahan teater, tetapi mencerminkan arah tuju budaya mahasiswa serta identiti universiti sebagai pusat pembinaan tamadun.
Tambahan pula, Islam tidak melarang umatnya daripada menikmati keseronokkan dalam kehidupan, tetapi Islam telah menetapkan garis panduan syariat yang terbaik supaya manusia tidak terpesong dalam kelalaian dan alpa dengan pengaruh budaya barat yang melampau. Sesungguhnya syaitan dan iblis sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia seperti yang digambarkan dalam Al-Quran.
Firman Allah SWT:
وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِ ا لَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَل ا دارُ ٱلَْٔاخِرَةُ خَيْرٌ لِ لاذِينَ يَتاقُونَ أَفَلََ تَعْ قِلُونَ
Maksudnya: “Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan permainan dan hiburan semata-mata. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu berfikir?” (Surah Al-An’am: 32)
Ayat ini menjelaskan bahawa kehidupan dunia tidak boleh dijadikan matlamat utama sehingga melalaikan manusia daripada tanggungjawab sebagai hamba Allah. Oleh itu, keseimbangan antara hiburan dan ketaatan amat penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Firman Allah SWT:
وَقُل لِّ لْمُؤْمِّنِّينَ يَغُضُّوا مِّنْ أَبْصَارِّهِّمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُم
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada orang-orang yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka.” (Surah an-Nur: 30)
Ayat ini menunjukkan kewajipan menjaga pandangan dan kehormatan diri sebagai asas dalam memelihara batas pergaulan. Oleh itu, sebarang bentuk interaksi atau persembahan yang melibatkan percampuran lelaki dan perempuan tanpa batas serta unsur yang boleh membangkitkan syahwat adalah bertentangan dengan tuntutan syariat.
Mahasiswa merupakan tunjang utama dalam pembangunan agama dan negara. Mereka seharusnya membina jati diri yang kukuh serta tarbiah yang unggul demi mempertahankan nilai-nilai agama. Namun realitinya pada hari ini, sebahagian mahasiswa semakin hanyut dalam arus gejala sosial yang membimbangkan. Isu lakonan teater yang tular baru-baru ini haruslah menjadi tamparan hebat kepada umat Islam hari ini supaya membuka mata dan melihat betapa seriusnya budaya hedonisme tanpa batas yang kian menular di negara ini. Jika tidak dibendung ia boleh mendatangkan keburukan kepada generasi akan datang.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11.
يَرْفَعِّ ه اللَُّ الهذِّينَ آمَنُوا مِّنكُمْ وَالهذِّينَ أُوتُوا الْعِّلْمَ دَرَجَا ت
Maksudnya: Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat
Ayat ini menunjukkan bahawa golongan berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Oleh itu, mahasiswa sebagai golongan berilmu seharusnya menjadi contoh teladan dalam memelihara akhlak dan nilai-nilai Islam.
Dalam usaha menangani pengaruh sekularisme dan hedonisme dalam kalangan mahasiswa, pihak universiti dan mahasiswa sendiri perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan bersungguh-sungguh. Institusi pengajian tinggi seharusnya memperkukuhkan program pembangunan sahsiah dan kerohanian seperti penganjuran program tarbiah, ceramah keagamaan serta aktiviti yang berteraskan nilai-nilai Islam. Selain itu, penglibatan mahasiswa dalam usrah juga wajar digalakkan kerana usrah berperanan sebagai medium pembinaan iman, pengukuhan akhlak serta ruang perbincangan ilmiah yang mampu membimbing mahasiswa ke arah kehidupan yang lebih berlandaskan syariat.
Kesimpulannya, pengaruh sekularisme dan hedonisme dalam kalangan mahasiswa merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian serius. Mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai penuntut ilmu, malah sebagai agen perubahan yang akan mencorakkan masa depan negara. Justeru, setiap mahasiswa perlu sedar akan tanggungjawab yang dipikul serta berusaha untuk menyeimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Sekiranya perkara ini diabaikan, tidak mustahil generasi akan datang akan kehilangan identiti serta nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun yang sejahtera.
Penulis : Syaima Amatullah bt Mohd Akib, Tahun 4 Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa
Instagram : syaimaakib | Facebook : syaima akib
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


