Apakah itu realiti? Adakah fizikal atau material itu satu realiti dalam kewujudan, atau kewujudan itu sendiri satu realiti tanpa terikat dengan apa-apa dimensi fizikal?
Ketika mana saintis barat mula menemui teori Quantum pada awal kurun-20, berlaku satu percanggahan cara pandang dalam dunia fizik barat terhadap tabiat kewujudan sesuatu benda. Saintis Quantum berpendapat bahawa kedudukan atom sentiasa berada dalam ketidak-pastian, atau yang disebut oleh Wener Heisenberg sebagai ‘the uncertainty principle’ – iaitu suatu keadaan tabiat atom yang sentiasa dalam situasi kemungkinan (possibility), serta berubah-ubah. Apabila kelajuan atau lokasi kedudukan sesuatu atom itu ditentukan oleh ukuran manusia, maka ia tetap tidak menafikan kewujudan alternatif bagi atom tersebut yang tidak dicerap oleh manusia , kerana setiap perkara wujud dalam pelbagai kemungkinan.
Penemuan Quantum ini membawa kepada satu krisis ontologi dalam dunia fizik, yang memberi cebisan cara pandang terhadap kewujudan dunia luar dalam dimensi immaterial. Apa yang jelas adalah, cerapan manusia dengan pancaindera tidak mampu memberi satu definisi tuntas tentang tabiat realiti dan kewujudan sesuatu perkara.
Manusia perlukan alat cerapan luar dari pancaindera, untuk menafsir realiti secara sempurna dan menyeluruh.
Kewujudan adalah sesuatu yang lebih luas dari Idrak
Dalam kerangka kewujudan (ontological framework) yang disusun oleh Islam, jelas bahawa kewujudan itu adalah sesuatu yang luas dari apa yang mampu dicerap atau disebut dengan istilah Al-idrak. Cerapan manusia bergantung kepada alat idrak yang berfungsi pada kadar yang telah ditetapkan – seperti mata untuk penglihatan dan telinga untuk pendengaran. Bahkan akal turut mempunyai fungsi pada kadarnya, yang tidak mampu mencerap sesuatu kehendak hati atau peristiwa-peristiwa masa depan. Maka, disini khabar adalah satu alat idrak yang disusun dalam makrifah Islam, serta disintesis bersama pancaindera dan akal. Apabila ia berfungsi dalam mencerap sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh idrak pancaindera dan akal.
Gambaran mudah tentang khabar adalah, ketika seseorang yang memberitahu kepada anda untuk berhati-hati dengan duri di hadapan jalan, kerana dia telah melaluinya sebentar tadi. Akal yang sempurna akan menerima pengkhabaran berkenaan kewujudan duri tersebut, sekalipun anda tidak melihatnya dengan mata kasar. Namun, apabila seseorang itu menafikan realiti kewujudan duri hanya kerana tidak dicerap oleh pancaindera matanya, maka dia telah menyempitkan kotak realiti kepada sesuatu yang tidak benar.
Inilah satu pendirian silap, oleh golongan manusia yang menolak kewujudan Al-Ghayb, hanya kerana tidak dapat diukur dengan pancaindera yang terhad. Mereka menolak khabar wahyu yang menceritakan alam malaikat, jin, alam akhirat, hanya kerana ia luar dari dunia material yang ditafsir mengikut kerangka empirikal sains.
Dalam membahaskan kewujudan, akidah Islam membahagikannya kepada dua kategori ilmiah – syahadah dan ghaib. Satu salah-faham yang sering dikonotasikan adalah ghaib adalah sesuatu yang tidak wujud, atau bukan realiti. Ini kerana perbahasan wujud di bawah kerangka saintisme-empirikal, ia adalah satu fenomena yang mampu diperhatikan dan diuji dalam kajian eksperimen, atau sesuatu yang boleh digambarkan secara material. Sebaliknya sesuatu yang tidak empirikal, adalah sesuatu yang hanya bersifat teoritikal dan kewujudannya adalah sesuatu yang boleh dipertikai.

Al-Ghaib Adalah Dimensi Wujud, Bukan Apa Yang Tidak Wujud
Hakikatnya dalam mendefinisikan Al- Ghayb, perbahasannya begitu signifikan sebagai sesuatu yang berlawanan dengan As- Syahadah, bukan Al- Wujud itu sendiri.
Kalimah bahasa arab – Al-Ghayb ( الغيب ( tidak seerti dengan kalimah Al-Adam) العدم ( , yang membawa makna vakum atau ‘tiada’. Tetapi mengikut Ibn Faris, al-ghayb bermaksud ; ‘ يدل على تستر الشيء عن العيون yang bersifat tertutup bukan tiada.
Ini menjadikan kewujudan yang dicerap adalah sesuatu syahadah disisi manusia, tetapi yang tidak dicerap tidak bermakna ia tidak wujud, tetapi ia adalah ghayb. Ini disebut sebagai dimensi. Kewujudan yang dicerap oleh manusia, adalah dimensi syahadah.
Apabila pancaindera mata melakukan interaksi cahaya terhadap zat kotak dihadapannya, maka cerapan itu membuktikan kewujudan kotak di hadapan manusia, di dalam dimensi syahadah. Namun, isi kandungan yang terkandung di dalam kotak dihadapannya tidak dapat dicerap oleh mata, menjadikannya meragui apakah isi yang terkandung di dalam kotak tersebut. Namun, apabila dia melihat pelekat yang tertulis di atas kotak itu, – buku buku agama – maka dia mengakui kewujudan buku di dalam kotak itu, dalam dimensi ghaib. Apabila kotak itu dibuka, dan dilihat dihadapannya buku, maka kewujudan itu dicerap dalam dimensi syahadah. Apa yang berubah adalah dimensi disisi manusia, namun kewujudan buku itu tetap sama.
Maka kewujudan adalah sesuatu yang wujud itu sendiri, bukan yang dicerap. Semakin tinggi kadar dan alat idrak yang dimiliki manusia, semakin tinggi dimensi syahadahnya, dan berkurangan dimensi ghaib.
Sebab itu cerapan suara atau bahasa juga berbeza mengikut tabiat peringkat kewujudan – yang manusia tidak mampu cerap kerana tidak mempunyai alat idraknya –
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah al-Israa: 44)
Bahkan ini menjadikan Idrak nabawi turut berbeza dengan manusia biasa –
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. (Surah al-An’am: 75)
Maka, ruang lingkup realiti dan kewujudan bagi seseorang yang memiliki aqidah Islam menjadi luas dan lengkap menyeluruh, berbanding seseorang yang tidak beriman kepada Al-Ghyab, yang hanya sempit dan terhad kepada fenomena material. Bahkan lebih dari itu, manusia hakikatnya tidak mampu menolak kerangka Al-Ghayb dalam realiti kewujudan, kerana ia hanya menafikan kehidupannya yang sentiasa berinteraksi dengan memori, khabar berita, sejarah, dan fakta yang bukan dicerap secara material fizikal.
Biodata Penulis : Abdur Rahman Raji merupakan Felo Penyelidik Sidang Pemikiran PEMIKIR. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]


