Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (Az-Zumar:9)

Penglibatan wanita sepanjang zaman dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pendidikan, perubatan, teknologi dan lain-lain memainkan peranan penting dalam pembinaan tamadun khususnya tamadun Islam.

Dua Kategori Wanita Di Dalam Perkembangan Ilmu

Wanita Islam mempunyai sumbangan yang signifikan di dalam perkembangan ilmu. Sumbangan wanita Islam di sepanjang sejarah terbahagi kepada dua kategori utama yang mana kedua-duanya mempunyai kepentingan sebagai kunci pembinaan tamadun:

1. Wanita Pembangun Generasi

Jika kita menelusuri sejarah Islam, ramai tokoh hebat yang lahir daripada rahim ibu yang hebat. Antaranya termasuklah Muhammad Al-Fateh, Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi pemimpin, cendekiawan dan ulama di sepanjang zaman.

Diceritakan bahawa, semenjak Muhammad Al-Fateh lahir, ibunya akan membawa Muhammad Al-Fateh pergi keluar dari istana dan berdiri di sebuah tebing, di mana tebing itu menghadap ke arah Konstantinopel. Ibunya akan berkata:

“Wahai anakku, di sana terdapat Kota Konstantinopel. Dan Rasulullah SAW bersabda: Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya (menakluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Ketahuilah anakku, engkau lah orangnya”.

Setiap hari, tanpa bosan, ibunya berbuat begitu. Dari dalam gendongan hinggalah Muhammad Al-Fateh boleh berjalan, ibunya akan membawa Muhammad Al-Fateh ke tebing itu dan menunjuk ke arah Konstantinopel kemudian membacakan Hadith Rasulullah SAW tadi.

Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah adalah ibu Imam As Syafie. Menurut Al Baihaqi, Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah berasal dari keturunan Al Azd di Yaman. Manakala sejarawan lain menyebut bahawa beliau adalah ahlul bait iaitu keturunan Rasulullah SAW dari jalur Ubaidillah bin Hassan bin Hussein bin Ali bin Abi Thalib.

Beliau merupakan seorang wanita cerdas dan merupakan madrasah pertama Imam Syafie. Ketika suaminya meninggal dalam usia muda dan Imam Syafie masih kecil, tiada harta yang diwarisi kepadanya namun beliau tetap berjuang memberikan pendidikan yang terbaik untuk anaknya.

Beliau membawa Imam Syafie berhijrah dari Gaza ke Mekah untuk mempelajari al-Quran dan menghafalnya ketika berusia 7 tahun. Setelah itu beliau dihantar ibunya ke penempatan yang masih mengekalkan bahasa Arab fushah. Belajar menunggang kuda dan memanah. Kekurangan harta sehingga beliau hanya mampu menulis di atas tulang kerana tidak mampu membeli kertas tidak sedikit menjejaskan kecintaannya terhadap ilmu. Kecerdasannya yang tinggi melayakkannya berfatwa ketika beliau berusia 15 tahun di bawah pengawasan gurunya iaitu Imam Malik.

Begitulah sebahagian kisah kehebatan wanita yang memainkan peranan sebagai pembangun generasi. Tentu sahaja ada rahsia yang dimiliki oleh sosok-sosok hebat ini yang perlu digali dan diambil sebagai pedoman bagi mengembalikan ketamadunan Islam yang gemilang.

2. Wanita Pembangun Masyarakat

Terdapat senarai nama tokoh yang panjang bagi penglibatan wanita dalam pembangunan masyarakat. Daripada bidang perubatan seperti Rufaidah al- Aslamiyah, Al-Shifa binti Abdullah, Nusaybah binti Harith al-Ansori, bidang matematik seperti Sutayta Al- Mahāmali dan Labana of Cordoba, kebajikan sosial seperti Zubayda, Fatimah al-Fihriyya, politik dan kepimpinan seperti Sitt al-Mulk dan Shajaratur Durr dan banyak lagi nama yang tak tersebutkan. Antara wanita yang menerima pengiktirafan keilmuan Hadith dan dinyatakan oleh ulama lain bahawa ilmunya seperti lautan ialah Amrah binti Abdirrahman bin Sa’d bin Zurarah bin Adas al- Anshariyah an- Najjariyah al- Madaniyah.

Amrah lahir pada masa Khalifah Utsman bin Affan sekitar tahun 29 Hijriyah atau 629 Masihi. Sebagai murid Sayyidah Aisyah binti Abu Bakar, dia banyak memperoleh pengetahuan keagamaan. Amrah banyak hafal hadith Rasulullah yang didengar dari Saidatina Aisyah. Bahkan, di kalangan para ulama dan tokoh masyarakat saat itu, Amrah memperoleh pujian sebagai ulama perempuan.

Bahkan Umar bin Abdul Aziz menulis surat kepada Abu Bakar bin Muhammad di Madinah yang menyebutkan nama Amrah. Di dalam surat itu tertulis, “Lihatlah dan periksalah hadith-hadith Rasulullah dan fatwa-fatwa para sahabat atau hadith Amrah. Jangan lupa mendokumentasikannya. Aku khawatir kehilangan jejak pengetahuan yang berharga dan wafatnya para ulama.”

Wanita Ulul Albab

Berdasarkan penelitian penulis, ada persamaan keperibadian antara tokoh wanita daripada 2 kategori tersebut yang boleh dicontohi oleh wanita masa kini dari perspektif keilmuan iaitu mempunyai keperibadian Ulul-Albab.

Uulul Albaab, suatu ungkapan Al-Quran tentang kaum intelektual beriman, berpandangan jauh kedepan dan bertanggung jawab, orang bijak (hikmah) yang mempunyai cakerawala pemikiran yang dalam. (Syafii Maarif: 1985 : 10) Uulul Albaab (cendekiawan beriman) bukan saja mereka yang berpengetahuan tapi juga mempunyai kebijakan dan kearifan dalam membaca fenomena masyarakat dan fenomena alam. (Syafii Maarif : 17).

Yusuf Qardhawi dari tafsir Nuzhmudh Dhurar karya Imam Al-Baqa’i berkata: “Uulul albaab yaitu akal-akal yang bersih, serta pemahaman yang cemerlang yang terlepas dari semua ikatan fizik sehingga mampu menangkap ketinggian takwa dan ia pun menjaga ketakwaan itu”. (Qardhawi : 31) Dengan demikian, uulul albaab artinya orang yang memiliki otak berlapis-lapis. Ini sebenarnya membentuk arti kiasan tentang orang yang memiliki otak tajam.

Kita dapat lihat bagaimana wanita Islam terdahulu telah menunjukkan keperibadian ulul albab atau dengan kata lain telah menemui hikmah dalam menjalani kehidupan di mana-mana posisi ataupun peranan mereka sama ada sebagai hamba, isteri, ibu dan juga ahli masyarakat. Justeru, mereka berjaya keluar dari keterikatan dunia dalam meletakkan visi pembinaan generasi dan keluarga. Meletakkan matlamat yang merdeka daripada belenggu keterikatan nafsu manusia dan menuju kepada kemuncak keinsanan iaitu menjadi hamba Allah swt yang sebenar.

Kesimpulan

‘Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia’.

Peribahasa yang sangat dekat dengan wanita. Islam mengangkat darjat wanita dengan meletakkan wanita pada kedudukan yang selari dengan fitrah penciptaannya.

Bahkan kemuliaan penciptaan seorang wanita hanya dapat dicapai dengan pembinaan intelektual dan perspektif kehidupan yang betul melalui integrasi antara wahyu, akal, sunnatullah (hukum alam di alam semesta), fitrah (intuisi lahir) dan, yang paling penting, pemerhatian terhadap undang-undang alam.

Marilah kita bercita-cita menjadi Wanita Pembangun Generasi dan Masyarakat yang mempunyai perspektif kehidupan seperti mana generasi wanita ulung terdahulu.

Penulis : Fadhlin Sakinah merupakan Felo Penyelidik Sidang Falsafah Ilmu PEMIKIR.

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights