Nabi Adam AS merupakan manusia pertama yang diperintahkan untuk membina peradaban di muka bumi. Peradaban yang dibangunkan oleh “manusia pertama” ini tidak sama dengan peradaban yang difahami pada hari ini, dari sudut kemajuan dan pembangunan. Namun tidak dinafikan bahawa asas dan mazahir (fenomena) peradaban itu wujud pada zaman beliau AS.
Beberapa bukti fenomena peradaban yang ada pada zaman Nabi Adam AS adalah, anak-anak beliau diminta untuk mengemukakan korban (dikatakan tanaman dan haiwan ternakan) kepada Allah. Ini bermakna berlakunya penternakan dan pertanian ketika itu, di mana kedua-dua ini merupakan salah satu daripada elemen-elemen peradaban.
Selain itu, dikatakan ketika Nabi Adam AS hendak wafat, beliau meminta didatangkan dengan sebuah makanan dari sebatang pohon yang ada berhampiran. Ini menguatkan lagi bukti bahawa berlakunya kegiatan pertanian ketika zaman beliau AS.
Tentang Nabi Idris AS pula, Ibnu Ishaq menyatakan bahawa beliau merupakan manusia pertama yang menulis dengan pen. Ini bermakna wujudnya kesenian ketika itu (salah satu daripada paksi peradaban). Ada juga sumber yang mengatakan Nabi Idris AS merupakan Hermes Trismegitus yang membawa falsafah Hermesticism (pemikiran yang menggabungkan antara agama, sains dan falsafah), tetapi banyak ulama’ mengatakan bahawa ini adalah pandangan yang lemah.
Pada zaman Nabi Nuh AS pula, beliau disuruh oleh Allah untuk membina sebuah bahtera besar yang boleh memuatkan keseluruhan haiwan dan manusia yang beriman ketika itu. Penciptaan bahtera ini membuktikan wujudnya sains, teknologi, serta penghasilan ketika itu. Nabi Nuh tidak akan mampu membina bahtera jika tidak mempunyai ilmu tentang perkapalan, teori apungan, seni ukiran, dan lain-lain ilmu yang diperlukan.

Zaman Kaum Ad dan Thamud -selepas peristiwa banjir besar zaman Nabi Nuh AS sudah menampakkan kesan peradaban yang jelas di kota yang didiami oleh mereka. Ahli geografi berpendapat kota Al- Ahqaf (yang didiami oleh kaum Ad) terletak antara Oman dan Hadramaut. Kaum Ad mempunyai beberapa kelebihan seperti yang digambarkan dalam Al- Quran: mereka boleh membina istana dan mahligai di bukit-bukit, serta mampu menghasilkan teknologi takungan air.
Ada sebahagian saintis mengatakan bahawa mereka mempunyai makmal yang mengkaji bagaimana cara untuk hidup kekal. Ini jelas menunjukkan elemen peradaban seperti kejuruteraan, arkitektur dan sains binaan, pertanian serta pelbagai ilmu lain semakin berkembang pada zaman kaum Ad.
Allah berfirman tentang kaum Ad di dalam Al- Quran: Terjemahan:
“Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Ad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunanbangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya), Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?” (Al-Fajr: 6- 8).
Terjemahan:
“Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunanbangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik. Dan kamu pula bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya? Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis? Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku. Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmatnikmatNya yang kamu sedia mengetahuinya. Diberinya kamu binatang-binatang ternak (yang biak) serta anak-pinak (yang ramai), Dan taman-taman (yang indah permai) serta matair-matair (yang mengalir).” (Asy-Syu’ara’: 128-134).
Kaum Thamud pula mempunyai ciri peradaban yang sama dengan Kaum Ad. Mereka menonjol dari sudut kejuruteraan, arkitektur, sains binaan, serta pertanian. Lokasi peninggalan Kaum Thamud terletak di antara Madinah dan Tabuk, di sebuah tempat yang dinamakan dengan Madain Soleh. Rasulullah SAW dan para sahabat pernah melalui kawasan ini ketika ekspedisi mereka ke Tabuk.
Kisah-kisah Bani Israel di dalam Al-Quran, juga sebenarnya mengisahkan bagaimana para nabi dan tokoh Bani Israel (Nabi Musa, Yusha’ Bin Nun, Talut, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS) membimbing mereka membina sebuah peradaban yang makmur, yang lengkap dengan elemen fizikal serta spiritual.
Bermula dengan Nabi Musa, Bani Israel membina jati diri dan identiti mereka sebagai bakal pemimpin dunia dengan aqidah tauhid. Mereka dikejar oleh Firaun, namun Allah telah membantu dan menyelamatkan mereka dari bumi Mesir dan melorongkan mereka ke tanah baru, Palestin atau lebih dikenali sebagai The Promised Land dalam kitab-kitab mereka. Namun akibat sikap mereka yang degil dan kembali kepada penyembahan berhala (di mana ubudiyyah berhala ini boleh membawa kepada kehancuran peradaban), maka Allah telah menghalang mereka daripada memasuki “tanah yang dijanjikan” tersebut.
Setelah berlalu azab selama 40 tahun disesatkan di padang pasir, akhirnya generasi yang sudah beriman dan bersedia memikul tanggungjawab diizinkan oleh Allah untuk memasuki Palestin. Yusha’ Bin Nun telah memimpin Bani Israel untuk memasuki bumi Palestin dan mengetuai misi jihad ketika itu. Selepas berlalu waktu, mereka kalah dalam peperangan, lalu dihina dan diusir dari sana. Namun Allah melantik Talut sebagai pemimpin mereka, walaupun beliau bukan dalam kalangan keluarga aristokrat dan tidak mempunyai harta yang banyak.
Pelbagai siri ujian yang dilakukan oleh Allah untuk memastikan generasi baru ini betul-betul mempunyai ahliyyah (kelayakan) untuk memimpin dunia, seperti ujian kesediaan jihad, ujian mentaati pemimpin yang bukan daripada golongan aristokrat, ujian ketahanan fizikal (hanya boleh minum secedok air dari sungai) dan ketahanan mental (melihat ramainya tentera Jalut).
Siri-siri ujian ini boleh ditelusuri dalam surah Al-Baqarah ayat 246-252. Selepas Talut berjaya mengalahkan Jalut dan tenteranya dengan bantuan Allah, tampuk kekuasaan beralih kepada Nabi Daud AS. Asas pertama peradaban, iaitu pembentukan generasi pertama yang lasak, beriman dan berani berjihad telah berjaya dilakukan.
Zaman Nabi Daud pula merupakan zaman untuk membangunkan bidang-bidang peradaban lain seperti sains dan teknologi. Nabi Daud sendiri dengan kelebihan dan mukjizat yang diberikan kepadanya telah membangunkan teknologi baru dalam bidang pembuatan besi. Baginda berjaya membuat baju-baju besi yang lengkap dengan segala peralatan, yang tidak pernah dihasilkan lagi pada zaman-zaman sebelum itu.
Bani Israel mencapai kemuncak peradaban mereka di bawah pemerintahan Nabi Sulaiman AS. Nabi Sulaiman berjaya membina mahligai megah daripada kaca yang berteknologi tinggi, mempunyai jajahan yang besar, mampu menjadikan angin, burung serta jin sebagai khadam dalam misi baginda AS membangunkan peradaban dan menyebarkan risalah Islam. Dengan kemajuan seagung ini, ia tidak pernah menjadikan Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS lupa diri, berlaku zalim kepada rakyat atau mengaku menjadi Tuhan. Bahkan mereka sentiasa menjadikan diri mereka sebagai hamba yang diberikan kelebihan dengan izin Allah jua.

Allah berfirman dalam surah An-Naml ayat 15: Terjemahan:
“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”. (An-Naml: 15)
Di dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman lagi: Terjemahan:
“Dan dia berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat- Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat- Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh”. (An-Naml: 19).
Begitu juga dalam ayat ini: Terjemahan:
“Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. (An-Naml: 40).
Ini serba sedikit gambaran bahawa para anbiya’ diutuskan untuk membawa agama dan membina peradaban secara bersepadu. Ia adalah bukti bagaimana agama adalah risalah peradaban.


