Tajdid Falsafah Peradaban: Jalan Keluar Dari Krisis Ketamadunan Barat

Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Secara umumnya buku Tajdid Falsafah Peradaban Islam membincangkan kerangka sistem peradaban semasa yang mendominasi dunia hari ini, yang dilihat memerlukan proses tajdid atau pembaharuan. Buku ini juga menekankan keperluan perubahan ini bagi membentuk kembali asas peradaban yang lebih seimbang dan berteraskan nilai Islam. Jika kita melihat keadaan dunia hari ini, ia banyak dipengaruhi oleh tamadun Barat yang berteraskan fahaman sekular, iaitu pendekatan yang memisahkan nilai keagamaan dalam kehidupan seharian serta cenderung kepada pemikiran yang tidak meletakkan unsur ketuhanan sebagai asas utama. Keadaan ini memberi kesan kepada pembentukan tamadun moden yang lebih menekankan kemajuan material. Namun, dari sudut jangka panjang, tamadun yang dibina berasaskan selain dengan rangka fikir islam pasti tidak akan bertahan lama, walaupun kelihatan maju dari segi luaran.

Setiap peradaban yang dibina mempunyai falsafah ilmu sendiri dan falsafah ilmu inilah yang digunakan untuk merumuskan falsafah kehidupan dan seterusnya membentuk peradaban. Bagi membentuk peradaban Islam yang unggul, mestilah mendasari falsafah ilmu islam itu sendiri yang berasaskan kepada akal dan wahyu dan menjadi sumber utama yang akan mentafsirkan kewujudan (al-wujud), keinsanan (al-insan),alam yang merupakan unsur dunia. Kesepaduan antara wujud, insan dan alam ini akhirnya akan melahirkan dan mentafsirkan pelbagai ilmu termasuk ilmu akidah, syariah dan ilmu tajribah (saintifik).

Islam juga meletakkan kerangka fikir yang sempurna pada akal manusia yang mesti dipandu oleh wahyu yang dikurniakan oleh Allah supaya hasil gerakan ini tidak tersasar jauh jika hanya menggunakan akal semata tanpa dipandu oleh wahyu. Jika kita teliti wahyu dan akal ini mempunyai hubung kait yang saling melengkapi. Wahyu adalah peringkat kemampuan akal yang tertinggi kerana ia adalah pengkhabaran daripada Allah SWT yang mengetahui segala perkara secara zahir dan batin. Manakala akal pula adalah pancaindera manusia dalam mencerap dan berfikir, ia bertambah tinggi kedudukannya dengan pertambahan maklumat, kematangan, kefahamannya dan jauhnya sudut pandangannya dalam sesuatu perkara. Oleh itu, keseimbangan antara wahyu dan akal inilah yang menjadi asas utama dalam pembinaan ilmu serta pembangunan tamadun Islam yang berteraskan kebenaran yang hakiki.

Selain itu, buku ini juga menerangkan tentang tamadun barat yang telah dibina berasaskan pegangan taghut dan ateis. Tamadun barat telah meninggalkan kepercayaan kepada tuhan dan mendahulukan akal manusia semata dalam pelbagai bentuk . Pegangan ateis dan taghut ini juga berasal daripada satu ajaran misteri ( Mithra) yang telah menyusup masuk dalam peradaban barat ini sejak dahulu lagi. Antara elemen taghut ini juga adalah idea ontological proximity (memanusiakan tuhan dan mempertuhankan manusia) yang mana membawa naratif bahawa manusia mencapai taraf ketuhanan. Fahaman ini secara tidak langsung melahirkan falsafah humanisme yang berteraskan kebebasan, kesamarataan dan pluralisme agama.

Semua prinsip ini hakikatnya mempunyai unsur hipokrasi kerana prinsip ini sebenarnya hanya mendatangkan keuntungan pada kelompok tertentu sahaja dan telah menindas kelompok lain yang tidak memberikan keuntungan dan pulangan kepada mereka. Hal ini akan mengakibatkan implikasi yang besar dan kehancuran pada dunia yang menyebabkan kehidupan manusia lebih sempit dan sengsara. Oleh itu, jelaslah bahawa kecenderungan peradaban Barat yang berasaskan fahaman sekular dan humanisme ekstrem tanpa panduan wahyu berpotensi membawa kepada ketidakseimbangan dalam kehidupan manusia serta mencetuskan krisis nilai dalam masyarakat.

Secara kesimpulannya peradaban yang diamalkan harini perlu di tajdidkan semula supaya membentuk kepada peradaban Islam yang berteraskan kepada akal dan wahyu yang kemudiannya membentuk kepada falsafah ilmu supaya akan melahirkan sistem kehidupan yang syumul dan mempunyai nilai insaniah dan menekankan prinsip keadilan,kebenaran serta tanggungjawab dalam segenap cara.

Penulis : Syaima Amatullah bt Mohd Akib, Tahun 4 Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa
Instagram : syaimaakib | Facebook : syaima akib

Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights