Kalam Asha’irah dan Sains Kontemporari: Sintesis Okasionalisme, Kausaliti, dan Atomisme

Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Semua objek atau “benda” yang ada disekeliling manusia merupakan entiti-entiti fizik yang  konkrit. Di sepanjang sejarah, pelbagai usaha dan kajian telah dilakukan bagi mengungkap  segala realiti yang ada disebalik entiti fizikal ini. Bagi sesetengah pengkaji, mereka  mengkedepankan idea yang dipanggil “atomisme”. Falsafah Atomisme menyatakan bahawa  setiap objek fizikal terbentuk daripada unit diskret dan unit-unit yang diskret itu adalah unit  yang paling kecil, ia tidak boleh dibahagi/dipotong kepada bahagian yang lebih kecil/halus  lagi. Teori ini merupakan idea besar yang pernah dikembangkan dimasa lalu.

Ahli falsafah Pre Socrates seperti Leucippus (480-420 SM) dan Democritus (460-370 SM) pernah  mengemukakan teori ini bagi memadankan prinsip kesatuan (unity) dan keadaan ketidak- bolehubahan (immutability) alam semesta yang bersifat pelbagai dan berubah-ubah. Aristotle  (384-322 SM) telah menolak dakwaan ini, beliau mengatakan jika suatu objek itu bersifat  “discontinue” dan diskret, sudah tentu ruang dan masa juga bersifat diskret, yang mana  menurut beliau perkara itu mustahil terjadi kepada hukum magnitud dan pergerakan. Di zaman  Hellenistik ahli falsafah, tokoh seperti Epicurus (342-270 SM) dan Lucretius (95-51 SM)  berusaha mempertahankan idea Atomisme ini. Namun, teori Aristotle yang mengatakan setiap  objek itu sentiasa berkesinambungan (continuous) dan setiap juzuknya objek boleh dibahagi-bahagikan sehingga infiniti mendominasi pemikiran di Barat terutamanya pada abad Pertengahan.

Selepas zaman Yunani Kuno, tokoh Mutakallimin Muslim adalah golongan yang paling  kehadapan dalam membawa falsafah atomisme ini. Berdasarkan prinsip keterbatasan (finitude),  para mutakallim mempertahankan pandangan tersebut dengan menyatakan bahawa bukan  sahaja jirim tetapi seluruh alam semesta termasuk ruang, masa dan pergerakan objek terdiri  daripada unit-unit yang terhad/terbatas (finite). Model atomistik seperti ini mempunyai  implikasi yang secucuk dengan pandangan teologi Islam. Pada awalnya, konsep ini dibentuk  mengikut petimbangan pemikiran teologi Islam namun setelah itu, idea ini secara beransur ansur mempengaruhi pemikiran para mutakallimun itu sendiri.

Melalui pandangan atomisme  ini terbit teori penciptaan semula berulang/berterusan (continuous re-creation) dan penolakan  terhadap teori sebab-akibat yang wajib (natural causality) oleh mutakallimun. Namun  golongan Kristian di Barat menolak dan mengatakan teori ini adalah salah. Mutakallimun Muslim menjadikan teori atomisme sebagai asas kepada metafizik “occasionalism” dimana  Tuhan berhubung secara langsung dengan penciptaan-Nya, Tuhan adalah satu-satunya sebab  yang efisien/mutlak dan sentiasa mencipta pada setiap saat dan keadaan. 

Dalam sejarah pemikiran Islam, teori atomisme ini bukanlah satu yang asing dikalangan ahli  teologi muslim. Sebaliknya, ia telah diadaptasi sebagai doktrin rasmi oleh majoriti  Mutakallimun Ahli Sunnah dari abad ke-9 hingga ke-12 bagi menjelaskan fenomena dan realiti  alam semesta. Oleh kerana teori ini dibincang dan diterima secara meluas, ia menjadi sebuah  struktur alam semesta yang amat padan dan komprehensif. Namun, era pasca al Ghazali,  kefahaman atomisme ini mula tidak mendapat tempat kerana terdapat golongan falsafah Peripetatics (Masha’iun) yang mempertahan dan mempromosi pandangan-pandangan sesat  Aristotelian dan Neo-Platonisme. Pada masa yang sama muncul juga golongan mistik/falsafi  yang cuba memadam dan menentang pemikiran rasional dan empirikal yang dibawa  Mutakallimun sebelum ini. Walaubagaimanapun, teori ini masih menjadi asas utama dan  dipertahankan dalam pemikiran mutakallimun malah ia turut dikembangkan ke dunia falsafah  Barat.

Paradigma Kosmologi, yang dimulai dengan revolusi ilmu di Eropah pada abad ke-17, telah  membawa para pemikir barat yang mencari alternatif pemikiran dan falsafah baru bagi  menggantikan falsafah Aristotle. Dalam konteks ini, ahli falsafah seperti Giordano Bruno  (1548-1600), Francis Bacon (1561-1626) dan Daniel Sennert (1572-1637) menunjukkan minat  baru terhadap pandangan atomistik yang pernah dibawa oleh ahli falsafah sebelum ini. Malah,  seorang paderi dan ahli astronomi Perancis, Pierre Gissendi (1592-1655) pernah cuba untuk  memasukan faham atomisme Epicuren ke dalam ajaran Kristian. Tambahan, ahli falsafah yang  berpengaruh pada abad itu seperti Galileo Galilei (1564-1642), Isaac Newton (1642-1727),  Robert Boyle (1629-1698), John Locke (1632-1704) and W.Charleton (1620-1707)  memperjuangkan falsafah dan faham atomisme ini dalam pelbagai gaya dan saluran.

Pada abad ke-18, saintis seperti Joseph Black (1728-1799), CW Scheel (1742-1786), John  Priestley (1733-1804) dan Henry Cavendish (1731-1810) melalui penelitian dan eksperimen,  mereka berjaya membuktikan bahawa udara (yang dikatakan unsur/elemen oleh Aristotle)  sebenarnya adalah gabungan/sebatian yang terdiri daripada oksigen dan nitrogen. Kemudian,  Antoine Lavoisier (1743-1794) membuktikan bahawa air bukanlah sebuah unsur/elemen tetapi  ia terdiri daripada dua komponen berasingan iaitu hydrogen dan oksigen. Tidak lama selepas  itu, teori pembakaran (phlogiston) yang bersandar pada doktrin empat elemen Aristotle, turut  dibuktikan salah. Jauh lebih terbukti bahawa api adalah sebuah bentuk tenaga dan sumber bumi yang terdiri dari banyak unsur yang berbeza-beza. Dengan itu, doktrin empat unsur Aristotle  (four elements) yang diterima Barat selama 2000 tahun itu tidak lagi relevan.  

Pada tahun 1808, John Dalton (1766-1844) saintis Inggris terawal yang mengambil langkah  ke arah kajian saintifik atomisme dengan menyatakan bahawa semua atom yang tidak boleh  dibahagikan itu mempunyai ciri dan berat yang sama. Kemudian seorang ahli kimia dari Itali  iaitu Amadeo Avogadro (1776-1856) yang mengkaji struktur molekul gas mengatakan  sebarang jenis gas dalam isipadu tertentu akan mempunyai jumlah molekul yang sama.  Kenyataan ini seterusnya membawa kepada penyusunan jadual berkala (periodic table of  elements) pada tahun 1868 oleh saintis Rusia Dmitry Mendeleyev. Akhirnya pendapat yang  menyatakan atom mengandungi sifat-sifat kimia dengan unsur tertentu dan tidak boleh  direduksi secara kimia kepada unsur lain menjadi satu bentuk pendapat yang tuntas dan  menyeluruh kepada umum.

Berbeza dengan dunia kimia, di dalam bidang fizik masih berlaku pencanggahan tentang  masalah atom. Sekitar 1900-an fizikawan seperti Wilhelm Ostwald (1853-1932) dan Ernst  Mach (1838-1916) yang dipengaruhi oleh pemikiran Positivisme, merasa sangsi terhadap  kewujudan atom. Menurut mereka, walaupun keberadaan atom itu cuma hipotesis namun ia  boleh digunakan untuk menjelaskan fenemona makroskopik dengan baik berbanding teori  teori lain.

Namun, dua puluh tahun berikutnya kita dapat menyaksikan penemuan radikal terhadap  struktur jirim. Dalam penyelidikan mereka, ahli fizik seperti Joseph J. Thomson (1856-1940),  Ernest Rutherford (1871–1937), dan James Chadwick (1891–1974) tidak hanya membuktikan  keberadaan atom, malah mereka berjaya menunjukkan bahawa atom sebenarnya terdiri  daripada nukleus dan elektron yang berputar. Nukleus ini pula mengandungi unit yang lebih  kecil yang disebut proton dan neutron. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa atom yang  dikatakan tidak dapat dipisahkan melalui reaksi kimia itu, kini dapat dipisahkan secara fizikal  melalui reaksi nuklear.  

Dalam pengkajian yang lebih lanjut terhadap struktur dan falsafah atom, pada tahun 1901,  fizikawan Jerman Max Planck (1858-1947) membuat penemuan baru yang menyatakan  bahawa radiasi menyerap dan melepaskan tenaga wujud dalam bentuk ketul-ketul (packets)  yang diskret dikenali sebagai quanta. Sejurus selepas itu, Albert Einstein (1879-1955)  menggunakan teori Planck ini dalam eksperimen beliau bagi menyelesaikan masalah  fotoelektrik dan dari itu beliau berjaya meraih Hadiah Nobel. Tidak terlalu lama untuk memahami bahawa andaian ketakselanjaran (discontinuity) diperlukan dalam penjelasan masalah lain dalam struktur atom.

Ahli fizik Denmark Niels Bohr (1885–1962) mendapati  bahawa momentum sudut elektron boleh dikaitkan dengan unit tetap atau paket tenaga yang  diskret. Demikian, beliau menetapkan lintasan elektron yang mengorbit di sekitar nukleus  atom, dengan bilangan bulat diskret yang disebut nombor kuantum utama dan nombor tesebut  disusun mengikut urutan nombor semula jadi (1, 2, 3, dan seterusnya). Kajian lanjutan  mengenai struktur atom memberikan lebih banyak nombor kuantum yang menggambarkan  situasi tertentu seperti tenaga, kedudukan, putaran dan momentum sudut yang terdapat dalam  atom. Oleh itu, status geometri dengan dasar nombor nyata yang berhubung dengan zat alam  digantikan oleh status aritmetik yang berdasarkan bilangan bulat.  

Hari ini mekanik kuantum dilihat seolah titik akhir yang dapat dicapai oleh pengetahuan  manusia dalam pengembaraan penyelidikan jangka panjang untuk memahami hakikat jirim dan  perkara asas yang mengatur alam semesta. Banyak penemuan teknologi yang mengubah  kehidupan kita pada abad ke-20 berdasarkan teori ini.

Kesinambungan dalam ruang dan masa tetap berlaku, walaupun dinyatakan terdapat  keselanjaran pada tahap mikro. Teori Kenisbian Am (General Relativity) menerangkan hukum  graviti, dan menghubungkan ruang serta masa secara tidak linear yang dikenali sebagai  kontinum ruang-masa. Tetapi untuk menganggap jirim dan daya pada tahap mikro sebagai  tidak putus (discontinuous), dan ruang-waktu sebagai berterusan (continuous) di peringkat  makro, dilihat bertentangan, seperti yang dikatakan oleh Aristotle; magnitude, ruang, waktu  dan gerakan adalah saling terkait. Oleh itu, jika salah satu daripadanya berterusan, yang lain  juga harus berterusan.

Aristotle pernah mengatakan bahawa jirim boleh dibahagi-bahagikan  selamanya dan berterusan kerana pada beliau ruang dan masa itu adalah struktur yang  berterusan (continuous). Berbeza dengan Mutakallimun, mereka mempertahan kenyataan  bahawa jirim itu terdiri daripada unit diskrit dan bukan continuous seperti yang didakwa  Aristotle. Dengan itu, mutakallim Muslim berpegang bahawa struktur bagi ruang dan masa  juga diskret. Walaubagaimanapun, dilihat dua gagasan yang bertentangan ini sebenarnya  berkongsi satu pendapat yang sama iaitu secara keseluruhannya mengatakan jirim, ruang, masa  dan pergerakan mestilah bersifat isoformik (berkait-kait) di segi perstrukturannya.  

Maimonedes ahli falsafah abad ke-12 menulis: 

Mutakallimun mendakwa masa itu terdiri dari peristiwa (moments/anat). Bermaksud terdapat  unit-unit masa yang tidak dapat dipisah-pisahkan kerana jarak antara ruang dalam waktu itu  sangat minimum. Ini merupakan premis yang penting kerana atom merupakan unsur terkecil  dalam jirim. Para mutakallim telah melihat kajian Aristotle yang mengatakan jarak, masa dan gerak adalah selari/setara dengan keberadaan/kewujudan objek, bermaksud semua unsur tadi  berhubung kait antara satu sama lain dengan perkadaran yang sama. Jadi jika masa itu  berkesinambungan (continuous) dan tidak terbatas maka unsur lain seperti jarak dan pergerakan juga tidak terbatas mengikut apa yang diterangkan oleh Aristotle dalam fiziknya.  Atas alasan ini, Mutakallimun mengatakan bahawa jarak tidak bersifat terus-menerus  (continuous) tetapi terdiri daripada unit-unit yang mempunyai pembahagian had yang  maksimum. Begitu juga dengan masa, ia mempunyai had (limit). Contohnya, satu jam terdiri  dari enam puluh minit, seminit teridiri dari enam puluh saat dan satu saat terdiri dari 1/3600  jam. Jadi menurut mereka tidak masuk akal jika sekiranya masa itu dibahagi-bahagikan lagi  hingga nombor yang paling kecil sekalipun kerana sudah tentu setiap unit mempunyai hadnya  yang terbatas.

Jadi, menurut data kosmologi saintifik semasa, pandangan manakah yang lebih tepat?  Aristole yang mengatakan “ruang dan masa dapat dibahagi-bahagikan selamanya”, atau  mutakallimun yang mempertahan kenyataan bahawa ruang, masa dan jirim (alam semesta  secara keseluruhan) adalah suatu yang terbatas dan mempunyai had.  

Malangnya, kosmologi moden masih belum ada jawapan bagi persoalan ini. Telah muncul  Albert Einstein pada kurun lalu, menghubung kaitkan antara ruang dan masa. Namun di dalam  mekanik kuantum, jirim mikro (fermions) dan daya tak-putus (discontinuous force) tidak  termasuk dalam komposisi ini. Konflik “continuity-discontinuity” yang wujud dalam teori  kenisbian am dan mekanik kuantum merupakan dilema terbesar yang dihadapi oleh kosmologi  saintifik moden hari ini. Oleh itu, kita belum lagi dapat melihat model alam semesta yang  komprehensif. Misalnya, kontuinitas (continuity) teori kenisbian am, yang memperkirakan  bahawa ruang-masa ini dapat dibahagikan selamanya (tanpa batas), faktor ini sebenarnya boleh  mendorong kepada banyak kemungkinan terciptanya model-model alam semesta lain yang  tidak akan berkesudahan. Keadaan ini boleh juga disebut sebagai “singularity” yang mana ia  tidak dapat dijelaskan hingga hari ini.

Fizikawan pada awal penemuan teori kuantum berharap agar medan gravity itu dapat  dikuantisasi sama seperti medan elektromagnet. Contoh, Einstein mendakwa graviti dan  elektromagnetisme (sebagai satu-satunya prinsip asas) itu wujud di dalam ruang waktunya  tersendiri, walaupun kekuatan dan kelemahan daya belum pun ditemui. Pada tahun 1970-an,  ahli fizik berjaya mengumpulkan tiga dari empat daya (kuat, lemah & elektromagnetik) di  bawah satu model standard, mereka menunjukkan dua daripada daya iaitu (lemah & electromagnetic) sebenarnya keluar dari sumber yang sama (kekuatan electroweak). Walaubagaimanapun, dibawah graviti kuantum (hasil gabungan teori relatif am dan teori  kuantum) ahli fizik berhadapan cabaran yang lebih rumit yang masih belum ada penyelesaian.  

Sebab utama kegagalan penyatuan formula relative/kenisbian am dengan rumusan lain  adalah kerana ia bergantung kepada factor “continuity” dan “determinism”. Dalam konteks  ini, teori relatif am mengatakan ruang-masa itu boleh dibahagikan selama dan berterusan  (continuously), pada masa yang sama teori kuantum tidak membenarkan pembahagian yang  berterusan itu berlaku (infinite division), dan sebelum menggunakan rumusan skala ruang-masa  Planck, ruang-masa itu harus menjadi struktur yang diskret (discontinuous).

Ramai fizikawan menganggap masalah utama bagi isu ini adalah kebingungan teori  realtif/kenisbian am itu sendiri terhadap kesan kuantum. Teori ruang-masa dalam relatif am  boleh melengkung di bawah pengaruh objek besar, namun pada objek yang kecil/sub-atom  tindak balasnya adalah jauh berbeza seperti mana tindak balas ruang masa mutlak Newton.  Walaubagaimana pun, ketika daya dan substansi dikira dalam skala sub-atom, kesinambungan  (continuity) graviti (ruang-masa) itu bercanggahan, sedangkan untuk mencari penyelesaian  antara teori relative/kenisbian am dan kuantum fizik, ahli kosmologi perlu menggunakan teori  kuantum graviti. 

Sejak sekian lama para saintis menganggap gabungan ini akan terungkap seperti mana daya daya lain, secara semula jadinya gravity itu sendiri bersifat atomic, dan dengan itu ia dibawa  oleh graviton yang dipanggil force carrier. Sementara daya-daya lain diandaikan “acting” dalam arena ruang dan masa, diri gravity itu sendiri adalah ruang-masa. Oleh itu, Kuantasi  graviti itu sebenarnya bermaksud mengkuantasi ruang-masa kerana merujuk kepada fakta, ia  mempunyai nilai yang sama.  

Teori penting yang terbit dari penggabungan ini adalah teori tetali (string theory/ M-Theory)  dan gelung kuantum gravity (LQG) yang jarang-jarang diketengahkan. Kedua teori ini  mengatakan bahawa ruang-masa harus berada dalam corak diskret dan bersekelanjaran  (discontinuous) yang mana ia terdiri daripada unit-unit “individu tersendiri” dan tidak boleh  dipecah mahupun dibahagikan.  

Jika dikaji lebih mendalam masalah ruang-masa yang diskret, teori kuantum, mendalilkan  kontinuitas yang bersandar pada medan dan gelombang, boleh jadi tidak benar, cuba  menghubungkan setiap medan dan gelombang dengan partikel (gluon, foton,boson). Teori  kuantum cuba menjelaskan medan gravity dengan mereduksi partikel dalam skala Planck (bagi  ruang 10−35 meter & masa 10−34 saat) dan dengan demikian menegaskan bahawa terdapat gravitons yang disebut partikel spin-2 yang terhubung dengan ruang-masa. Bagaimanapun  permasalahan ini masih belum mencapai keberhasilan. 
Tidak menghairankan jika struktur sub-atomik ruang-masa ini sering diabaikan dalam  perbincangan subjek makrokosmos. Proton, neutron dan partikel-partikel lain yang membentuk  quark kecil (10-18 m), adalah terlalu besar untuk dicerap oleh partikel lain yang berskala Planck  (10-35 m). Jika dibandingkan ukuran proton (10-15 m) yang bertembung seperti uji kaji LHC di  CERN, bandingan ukuran graviton (10-35 m) dengan proton adalah ibarat bandingan nilai  ukuran proton dengan matahari. 

Anggapan bahawa struktur ruang-masa ini terdiri daripada partikel-partikel kecil adalah satu  yang bertentangan dengan makrofizik. Jika kita melihat kepada alam semesta melalui  pengalaman dari hari ke hari, kita seolah terperangkap dalam khayalan bahawa ruang (space)  itu berterusan (continuous). Komputer dan televisyen sering menjadi contoh analogi bagi  memahami konsep ruang yang bersifat diskret. Jika diperhatikan dari jauh (jarak), kita  mendapat gambaran seolah apa yang dilihat pada televisi dan komputer itu berlaku secara  berterusan (continuous). Namun saat kita melihat dengan lebih dekat dan mendalam, didapati  ia hanyalah sebuah titik-titik pixel yang diskret, dan tiada pun “penghubung” antara dua titik  tersebut. Perkara yang sama boleh dibawa masuk ke dalam perbincangan teori kesatuan  (unified theorys) yang mengatakan ruang itu bersifat diskret, partikulat dan quantized dalam  skala meter 10-35.  

Sekiranya teori gravity kuantum gelung (loop quantum gravity) boleh diterima, maka bukan  sahaja teori Planck Length, malah teori masa Planck (Planck Time) juga boleh diterima pakai  dan tidak mustahil terjadi. Di pawagam misalnya, melalui pengamatan, kita lihat filem yang  dimainkan itu berputar/berjalan dengan terus menerus(continuous), tetapi kenyataannya adalah  filem tersebut dimainkan/diatayangkan pada 24 bingkai per detik. Seperti halnya alam semesta  ini, ia juga bergerak dari bingkai demi bingkai secara terputus-putus. Dan bingkai-bingkai ini  bergerak dan berulang pada skala besar misalan 10-43 per detik (Planck Time).  

Bagaimana ruang dapat mencapai struktur atomisasi dalam fizik kuantum? 

Ini dapat dicontohkan melalui analogi berikut, jika kita memilih poin A pada kedudukan 0, dan  kita mendapati kedudukan B berada dalam jarak 1 meter dari kedudukan A yang 0 tadi,  kemudian kita membahagikan 10 kali ganda lebih kecil bagi setiap unit tersebut. Kita dapati  struktur yang dikatakan infiniti itu tidak akan terlihat dan jika proses ini diulang sebanyak 35  kali maka kita dapati 10−35 m yang menyamai unit jarak Planck (Planck Length). Malah kita  akan menghadapi situasi yang aneh, dimana sebuah objek yang bergerak tidak kelihatan berterusan bergerak tetapi ia sebenarnya bergerak dalam lompatan diskret pada selang 1.6 x  10−35 m.  

Walaubagaimanapun, situasi ini tidak sama dengan lompatan (jump leap) yang kita hadapi  dalam kehidupan seharian, kerana fakta menunjukkan bahawa mustahil objek berada dalam  kedudukan antara dua jarak Planck, atau melewati, kerana tidak ada ruang antara dua titik  tetangga yang dipisahkan oleh jarak Planck. Sekiranya ada ruang, tidak perlulah untuk  menyatakan ruang itu adalah berterusan (discontinuous) atau diskret sebaliknya ruang itu akan  kekal sebagai tetangga yang terikat (adjacent). Jadi lapangan itu merupakan daerah  ketiadaan/tidak wujud dan dalam perkara ini, partikel tersebut bergerak dengan lompatan  kepada jarak Planck,partikel akan tersirna kemudian muncul semula. 

Dalam fizik kuantum, penjelasan pergerakan dalam tahap Planck adalah selari dengan  pendapat atomisme mutakallimun klasik. Sebagai contoh, al-Ghazali (w. 555/1111)  menerangkan pergerakan dengan cara berikut: 

The doctrine may be explained by considering the case of motion. The states that follow each  other through continuous periods of time are described as movements only because they  alternate by continuously originating anew and continuously ceasing to exist. . . . The essence  of motion is inconceivable without also conceiving nonexistence to follow existence. 

Pandangan al Ghazali tentang “gerak” sangat mirip dengan pendekatan kuantum fizik. Idea  pergerakan dalam fizik kuantum memudahkan pemahaman kita mengapa mutakallimun  menyebut “pergerakan” adalah suatu yang wujud dari ketiadaan (al-kawn).  

Menurut mutakallimun, bilamana jirim bergerak, ia bergerak melalui ruang yang menyamai  skala mereka. Sebenarnya ruang juga terputus-putus seperti zahrah, ruang menjadi diskrit  kerana ia memasuki ke dalam yang dinamakan “ketiadaan” itu, Transisi/peralihan dari satu  ruang ke ruang yang lain adalah berkemungkinan dengan punahnya/tersirna ia terlebih dahulu  di ruang sebelumnya, kemudian terciptanya/terwujudnya ia di dimensi ruang yang seterusnya.  

Mutakallimun mengatakan bahawa unit terkecil ini mempunyai jumlah, bezanya mereka  tidak memberikan kriteria yang tepat pada unit-unit itu seperti skala Planck (Planck Length).  Dalam falsafah atomisme Kalam, skala diskret antara ruang-masa-jirim ditentukan dengan  perkaitan antara ketiga-tiga perkara tersebut. Ini juga menyamai ketentuan konstansi Planck,  Tenaga Planck, Jarak Planck dan Masa Planck. Jika ruang-masa itu dikuantasi, erti kata lain, jika strukturnya didapati terputus-putus, deskrit  dan berselang-selang, apakah yang akan terjadi? 

Sekiranya kita memahami bahawa ruang-masa itu terdiri daripada binaan blok-blok kecil seperti  masa-diskret dan ruang-diskret maka kefahaman kita tentang alam juga perlu berubah secara  dramatik hingga ia mampu mengarah kepada kebangkitan/perubahan dalam isu-isu kontemporer  hasil dari refleksi falsafah dan teologi yang dipertahankan oleh para Mutakallimun masa lalu. 

Pembentukan ruang dari partikel-partikel kecil bermaksud akan terdapat jurang diantara kewujudan  ruang tersebut atau terdapat ruang kosong/kekosongan/jurang diantara mereka. Melalui  kefahaman yang sama, jika masa memiliki struktur yang berbutir-butir (granular) iaitu terdiri  dari selang (interval) masa/detik yang sangat kecil yang seolah bertindak sebagai blok binaan  (melalui Planck Time), maka ia dapat di tafsirkan sebagai pengalaman “seketika” yang  berturutan atau yang dipanggil “time-timeless process” (sifat masa yang terhenti & tidak  bersambung/berkesinambungan). Jika masa terdiri daripada segmen² kecil, seharusnya akan  wujud jurang yang tidak bermasa (timeless gaps) dalam transisi dari satu masa/ketika kepada  masa (time-moment) yang lain.  

Ketika masa berada dalam dimensi/keadaan yang tidak berwaktu, alam akan lenyap, kemudian  akan mula wujud kembali pada saat/ketika/waktu yang berikutnya ibarat cahaya lampu yang  berkelip-kelip.  

Senario ini akan menimbulkan beberapa persoalan yang perlu diketengahkan: 

1) Pada ketika masa itu lenyap, bagaimana maklumat yang terkumpul dari  masa/moment/saat sebelumnya dibawa kepada saat yang berikutnya? 
2) Sekiranya terdapat proses kewujudan dan ketidakwujudan (ada & tiada) pada alam  semesta akibat dari sifat masa yang diskret, maka ketika alam semesta itu lenyap,  apakah yang membawa kepada kewujudannya semula? 

Kedua persoalan ini tidak dapat dijawab oleh sesiapa pun selagi kewujudannya terkait  pada/dalam alam atau dengan alam secara keseluruhannya kerana alam dan segala isinya telah  tiada ketika “masa” itu lenyap.  

Perkara yang tidak wujud tidak dapat menciptakan dirinya sendiri dari ketiadaan apa-apa (dari  kosong) bermaksud semasa alam/penciptaan itu tiada/lenyap/tidak wujud, sudah semestinya  ada entiti lain yang memindahkan kesemua pengetahuan alam ke saat/moment berikutnya secara sistematik, sehingga menciptakannya semula sebagai keseluruhan yang baru. Sudah  tentu entiti tersebut adalah Tuhan yang “lai sa kamislihi syai un”.  

Setelah memperkenalkan sifat umum atomism, termasuk fizik kuantum, tidak sukar untuk  kita mamahami mengapa Mutakallimun mengambil pendekatan occasonalist dalam  membicarakan hubungan Tuhan-alam yang membawa kepada skeme penciptaan semula yang  berterusan (continuous re-creation) dan penolakan tentang adanya sebab-akibat yang wajib  (causality). Oleh kerana atomisme menjadikan segala sesuatu pada alam itu terpisah dan  terpecah-pecah (termasuk ruang-masa, substance & pergerakan), para mutakallimun  menyatakan Tuhan sebagai sebab yang langsung dan esklusif bagi menjelaskan kewujudan  alam semesta. Alam mempunyai saat pertama penciptaan, kemudian penciptaan-semula yang  berterusan pada setiap saat/ketika yang berikutnya. Melalui cara ini, kewujudan alam adalah  ibarat cahaya lampu yang berkelip-kelip.  

Sekiranya dipertimbangkan teori² klasik occasionalism, causality dan atomisme Mutakallimun  yang menjadi dasar kepada hujah terhadap perkara huduth, maka di fahami bahawa setelah  alam itu lenyap pada saat/detik pertama, perlu kepada sebab lain untuk menciptakannya semula.  Kesebaban ini perlu kerana perkara tiada (telah musnah) sebagai contoh alam ini, tidak boleh  menciptakan dirinya semula dari kosong (nihilo). Oleh itu kesinambungan kewujudan alam  ini hanya dapat terjadi sekiranya ada entiti/dzat lain yang diluar dari semua realiti ruang temporal material (contoh: keseluruhan penciptaan/alam) untuk menciptakannya semula. Dan dzat  atau entiti inilah yang dinamakan Tuhan.

Penulis :  Abdul Rahim Ariffin, Aktivis dan staf sepenuh masa di Petrosains Sdn Bhd
Akaun media sosial: Ингви Мальмстин (https://www.facebook.com/diyah.alkalbi)

Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights