Hak dan Kebebasan Manusia: Analisis Komparatif Pemikiran John Locke dan Kerangka Maqasid Syariah

Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Ketika di awal fasa gerakan Islam khususnya di Malaysia pada sekitar 1990-an, subjek maqasid syariah hanyalah diketahui oleh penuntut ilmu agama di universiti. Namun ketika datangnya semangat “curiosity” dan gerakan Islam yang lain seperti ISMA, ABIM, dan ISLAH, pengetahuan maqasid syariah ini, umumnya semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat (Maszlee Malik, 2022). Hal ini kerana, kebanyakan gerakan Islam menggunakan medan maqasid syariah sebagai asas ataupun kritikan kepada dasar dasar negara. Ringkasnya, pengetahuan maqasid syariah ini hanya berlegar pada pengetahuan asas sahaja, seperti objektif tertinggi dalam Islam, konsep keadilan, konsep hak asasi manusia menurut Islam dan memahami konteks semasa. Namun begitu, pemahaman itu tidaklah salah secara total, namun ia harus dibangun dengan kefahaman yang lebih mendalam, agar ketika berinteraksi dengan cabaran yang baharu, kita tidak lagi jumud dalam mengatakan retorik mengenai istilah “keadilan” semata-mata. Oleh sebab itu, maqasid syariah harus diteladani dengan pandangan ulama tradisional dan ulama kontemporari semisalnya.

Semasa saya membedah kerangka maqasid syariah, ada sebahagian penuntut ilmu barat, menyamakan konsep maqasid syariah dengan konsep hak asasi manusia menurut John Locke. Sebagai seorang penuntut pengetahuan, hal ini harus diteladani dengan prinsip epistemologi seorang yang bergelar ahli pelajar, yakni harus ada pemikiran disiplin ilmu, supaya kita tidak menolak secara total hanya kerana ilmu itu datang dari pandangan alam barat. Oleh kerana itu, perlu kita sebagai seorang pelajar, untuk mengetahui asas pertama disiplin ilmu iaitu, membaca definisi maqasid syariah dan definisi hak asasi manusia menurut John Locke. Menurut John Locke, hak asasi manusia adalah hak-hak semula jadi (natural rights) yang dimiliki oleh setiap individu sejak lahir secara fitrah daripada Tuhan, dan hak-hak ini bersifat mutlak, kekal, serta tidak boleh dicabut, dipisahkan, atau diserahkan kepada pihak lain (inalienable rights) (Locke, 1689/1988). Dalam karyanya Two Treatises of Government (1689), Locke memberitahu kita bahawa dalam “keadaan alamiah” (state of nature), manusia bebas dan setara. Antara, tiga hak asasi teras yang digariskan oleh beliau meliputi:

  1. Hak untuk Hidup (Right to Life): Setiap manusia berhak untuk mengekalkan kehidupannya dan tidak boleh dibunuh atau dicederakan oleh orang lain sewenang-wenangnya.
  2. Hak untuk Kebebasan (Right to Liberty): Kebebasan untuk bertindak, berfikir, dan membuat pilihan hidup mengikut kehendak sendiri tanpa paksaan atau kawalan mutlak autoriti lain, selagi tidak melanggar undang-undang tabii (law of nature).
  3. Hak untuk Harta (Right to Property): Hak untuk memiliki, mengurus, dan menikmati hasil usaha atau tenaga kerja sendiri. Bagi Locke, apabila seseorang mencurahkan tenaga terhadap sesuatu sumber alam, ia menjadi milik sah peribadinya.

Konsep hak asasi John Locke dan kerangka Maqasid al-Syariah mempunyai titik pertemuan dari sudut objektif praktikal (iaitu memelihara martabat dan kelangsungan hidup manusia), namun kedua-duanya tidak sama secara mutlak. Perbezaan mendasar wujud pada premis epistemologi, sumber autoriti, serta orientasi falsafahnya. Secara intipati luaran, tiga hak teras Locke (Life, Liberty, Property) mempunyai padanan yang amat rapat dalam hierarki tertinggi Maqasid al-Syariah, iaitu kategori al-Dharuriyyat al-Khamsah (Lima Keperluan Asasi) yang diasaskan oleh ulama usul seperti Imam al-Ghazali dan al-Shatibi dalam karyanya Al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul dan Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah :

  • Hak untuk Hidup (Right to Life) – Hifz al-Nafs (Pemeliharaan Nyawa): Kedua-dua kerangka memandang nyawa sebagai sesuatu yang suci, tidak boleh dicabuli sewenang-wenangnya, dan wajib dipertahankan oleh institusi perundangan/kerajaan.
  • Hak Harta (Right to Property) – Hifz al-Mal (Pemeliharaan Harta): Locke melihat pemilikan harta berpunca daripada hasil usaha atau tenaga kerja, manakala syarak mengiktiraf hak milik individu yang sah, melarang pencerobohan (seperti rompakan, rasuah, riba), dan menetapkan undang-undang transaksi muamalat yang adil.
  • Hak Kebebasan (Right to Liberty) – Hifz al-‘Aql & Kebebasan Memilih (Ikhtiyar): Walaupun konsep liberty Locke lebih bercorak kebebasan sivil-politik, asasnya berkait rapat dengan perlindungan akal fikir dan kebebasan membuat pilihan moral tanpa penindasan kezaliman (zulm).

Antara definisi lain pula yang membicarakan soal Maqasid Syariah adalah Muhammad Zuhaily dalam kitabnya Qawaid Fiqhiyyah, yang menyatakan bahawa maqasid syariah adalah bertujuan mencapai kemaslahatan (kebaikan) dan menolak mafsadah (keburukan) bagi manusia, dengan membawa manfaat dan menolak kemudaratan. Kata Muhammad Zuhaily :

“Sesungguhnya Maqasid Syariah yang umum terbatas kepada merealisasikan kemaslahatan dan menolak kemudaratan, iaitu dengan membawa manfaat kepada manusia, dan menolak kemudaratan daripada mereka” (al-Zuhaili, 2006, Jil. 1, hlm. 243).

Namun terbit persoalan, di manakah titik perbezaan yakni kecelaruan dan kekeliruan ilmu yang ditampilkan oleh John Locke? Maka di sini, kita perlu memahami dasar-dasar yang dibawa oleh John Locke dalam penulisannya dan apakah jawapan daripada konsep maqasid syariah. Saya berpendapat konsep asas dan dasar yang ditulis oleh John Locke, adalah berkisar pada 4 perkara, yakni :

  1. Hiper-Individualisme
  2. Pemilikan Harta, Tanpa Had
  3. Kebebasan
  4. Eksploitasi Alam

Okay baik, sekarang kita pergi kepada perkara pertama. Apa yang disampaikan oleh John Locke mengenai Hiper-Individualisme ini? Asasnya, Locke meletakkan individu yang berdaulat secara autonomi sebagai asas masyarakat (atomistic individualism). Hak dilihat mendahului kewajipan (rights precede duties). Hal ini bertentangan dengan objektif Islam itu sendiri. Kerana pengagungan hak individu tanpa imbangan moral melahirkan krisis polarisasi sosial. Tuntutan kebebasan mutlak peribadi memberi isyarat bahawa, akan ada pertembungan dengan asas-asas kebajikan awam. Sebagai contoh, keengganan mematuhi protokol kesihatan awam atas nama kebebasan tubuh, atau hak bersuara yang tidak mematuhi etika dan melampaui batas sehingga
menyuburkan ucapan kebencian (hate speech) dan meruntuhkan kohesi sosial. Sekaligus ia bertentangan dengan konsep yang dinamakan maslahah ammah, yakni tanggungjawab sebagai manusia untuk menilai objektif di sebalik tindakan kita.

Keduanya, mengenai pemilikan harta tanpa had. Locke berpandangan bahawa, pencampuran tenaga kerja manusia dengan sumber alam menjadikannya hak milik persendirian yang sah tanpa had yang kukuh, melainkan syarat minimum (Lockean proviso) bahawa “masih ada cukup dan sebaiknya untuk orang lain”. Hal ini jika ditinjau dalam falsafah ekonomi kapitalisme, ini menjadikan seseorang itu mempunyai harta kekayaan tanpa sempadan, sekaligus ia akan memberi kesan pada menopoli teknologi, dan krisis jurang kekayaan ekstrem (1% menguasai majoriti kekayaan dunia). Sedangkan dalam maqasid syariah, pemilik kekayaan adalah hanya kepada Allah, manusia sebagai pemegang amanah (khalifah). Maka, syariat menetapkan melalui objektif Hifz al-Mal, kekayaan tidak boleh berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja (kay la yakuna dulatan bayna al-aghniya’ minkum). Walaupun pemilikan seseorang diiktiraf, namun ia mestilah diikat dengan elemen pembayaran zakat, galakan wakaf serta infaq, agar kekayaan itu dapat dilaksanakan dengan memberi ruang kepada fakir miskin untuk menjalani dengan kehidupan yang sederhana, dan inilah hakikat kekayaan yang sebenar menurut islam.

Seterusnya, mengenai kebebasan yang disuluh oleh John Locke, kebebasan menurut beliau adalah keadaan bebas daripada sebarang kuasa atasan di muka bumi, dan tidak tertakluk kepada kehendak atau autoriti legislatif mana-mana manusia lain, melainkan hanya kepada hukum alam (law of nature) sebagai panduannya. Hal hak kebebasan asasi ini, jika dinilai semula daripada sudut kerangka maqasid syariah, ia bakal menjadi pentas kepada manusia untuk melampaui batas ketika menyuarakan pandangan dan pendapat. Sebagai contoh, jika seseorang itu ingin menentang kezaliman kerajaan, namun dalam masa yang sama menggunakan jentera bahan larangan, sehinggakan berlakunya kacau bilau antara masyarakat, maka perkara ini dilarang sama sekali. Di sini, letaknya panduan Hifz al-Din/al-Nasl, sebagai kayu ukur mengenai definisi hak kebebasan menurut kaca mata syariat.

Bertitik tolak daripada ini, mengenai kebudayaan alam, Locke menganggap alam semula jadi dalam keadaan asalnya sebagai sesuatu yang “terbuang” (waste) sehinggalah ia dieksploitasi oleh tenaga manusia untuk menghasilkan nilai ekonomi. Rasional ini secara tidak langsung menjadi krisis antropogenik dan perubahan iklim. Alam hanya dilihat semata-mata sebagai komoditi hak milik persendirian, bukan amanah ekologi yang berkait dengan kelangsungan generasi mendatang. Sedangkan Islam mengajar, untuk mencapai lima objektif dalam maqasid syariah, hendaklah kerajaan dan manusia itu sendiri membudayakan hifz al-bi’ah (penjagaan alam sekitar), supaya konsep rahmatan lil alamin itu, menjadi akar kepada kayu ukur didikan ummah, bahawa Islam itu sesuai dalam semua perkara malah rujukan terbaik sepanjang zaman dalam setiap bidang keilmuan.

Rujukan

al-Attas, S. M. N. (1993). Islam and secularism. International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
al-Shatibi, A. I. (1997). Al-Muwafaqat fi usul al-shari‘ah (M. H. Al Salman, Ed.; Jil. 2). Dar Ibn ‘Affan.
Ibn Ashur, M. al-T. (2006). Treatise on maqasid al-shari‘ah (M. el-T. el-Mesawi, Terj.). International Institute of Islamic Thought.
Locke, J. (1983). A letter concerning toleration (J. H. Tully, Ed.). Hackett Publishing. (Karya asal diterbitkan 1689)
Locke, J. (1988). Two treatises of government (P. Laslett, Ed.). Cambridge University Press. (Karya asal diterbitkan 1689)
Macpherson, C. B. (1962). The political theory of possessive individualism: Hobbes to Locke. Oxford University Press.

Penulis : Faiz Eidham, Sejarah dan Tamadun, UIAM.

Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights