Melihat kepada perkembangan politik Barat pada hari ini, gerakan politik liberal kiri dilihat semakin mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda. Isu-isu yang diketengahkan merangkumi persoalan domestik seperti masalah ekonomi, anti-kolonialisme, diskriminasi, hak sivil, serta isu global seperti genosida di Gaza dan Perang Amerika-Iran telah membentuk kecenderungan dan sokongan sebahagian masyarakat terhadap politik haluan tersebut. Maka timbul beberapa persoalan: apakah yang dimaksudkan dengan politik liberal kiri? Apakah matlamat dan agenda yang diperjuangkan? Dan adakah arus politik ini mampu diterapkan di Malaysia?
Berdasarkan konteks sejarah, istilah kiri dan kanan mula dikaitkan semasa Perhimpunan Kebangsaan Perancis 1789, apabila kelompok yang menyokong perubahan politik duduk di sebelah kiri dewan. Pengertiannya kemudian berubah seiring dengan perubahan sosial, ekonomi, dan politik di Eropah. Maka muncul aliran seperti sosialisme, anarkisme, dan marxisme, yang lebih menekankan persoalan kelas pekerja, pemilikan ekonomi, dan menolak kapitalisme. Selepas Perang Dunia Kedua, politik kiri di Barat mengalami perubahan dinamik dengan kemunculan kiri baru (New Left). Berbeza dengan tradisi kiri yang dahulu, kiri baru mula meluaskan agenda perjuangannya kepada persoalan budaya, hak sivil, anti-diskriminasi, demokrasi, anti-perang, dan kesedaran alam sekitar (Stearns et al., 2011)
Namun, sebelum bertaut dengan politik kiri, liberalisme bermula sebagai aliran yang berbeza dan pada peringkat awal lebih cenderung ke arah politik kanan. Falsafah ini dibentuk oleh ahli falsafah seperti John Locke, yang menekankan kebebasan individu, dan Adam Smith, menerusi karyanya yang menekankan kepentingan pasaran bebas dan pengurangan peranan kerajaan dalam ekonomi. Namun begitu, abad ke-19 memperlihatkan eksploitasi pekerja yang semakin teruk akibat fahaman liberal klasik. Menurut Stearns et al. (2011), Keadaan ini kemudiannya membawa kepada perkembangan sosial liberalisme, yang lebih memperjuangkan hak pekerja dan peranan kerajaan dalam mengimbangi ekonomi dan mengurangkan pengangguran. Maka daripada sini kita dapat menyimpulkan bahawa politik liberal kiri merupakan gabungan antara nilai liberal dalam isu sosio-politik dan kecenderungan haluan kiri dalam isu ekonomi dan sosial. Secara mudah ia menekankan kebebasan individu, pluralisme budaya, hak sivil, keselamatan alam sekitar, kesamarataan sosial, dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi.
Dari aspek ekonomi, liberal kiri pada era ini lebih cenderung kepada campur tangan kerajaan kerana melihat bahawa pasaran bebas tidak semestinya mampu menjamin kestabilan ekonomi. Hal ini diutarakan oleh ahli ekonomi seperti John Maynard Keynes yang mengatakan pasaran bebas tulen cenderung ke arah ketidakstabilan dan membawa kepada masalah pengangguran yang tinggi. Oleh itu, campur tangan kerajaan dilihat sebagai satu mekanisme bagi membantu mengekalkan kestabilan ekonomi.
Membasmi ketidakadilan sosial merupakan antara isu yang diketengahkan oleh golongan liberal kiri. Pendekatan ini berteraskan prinsip bahawa setiap individu perlu diberikan peluang yang sama tanpa diskriminasi (Holtug, 2025). Antara yang diperjuangkan ialah hak kelompok minoriti seksual dan gender, termasuk komuniti LGBT dan individu transgender. Mereka menuntut agar komuniti ini diberikan kebebasan dan peluang dalam mengekspresikan identiti gender dan seksualiti secara terbuka tanpa diskriminasi, gangguan, dan stigma sosial.
Feminisme turut menjadi salah satu agenda penting dalam kerangka ketidakadilan sosial. Golongan liberal kiri mengkritik struktur sosial yang didominasi oleh lelaki serta menentang penindasan terhadap wanita seperti keganasan seksual, gangguan di tempat kerja, dan stereotaip yang merendahkan martabat wanita (Holtug, 2025). Sementara itu, perjuangan hak sivil dapat dilihat melalui beberapa pergerakan seperti Civil Rights Movement dan Black Lives Matter yang menuntut penghapusan diskriminasi sosial dan kekejaman polis terhadap kumpulan minoriti. Liberal kiri juga membantu kumpulan yang kurang bernasib baik dalam mengatasi halangan struktur sosial agar mereka memperoleh peluang yang lebih saksama dalam masyarakat. Dalam aspek kepelbagaian masyarakat, golongan kiri menegakkan prinsip pluralisme dan multikulturalisme menerusi politik pengiktirafan. Mereka menolak pemaksaan asimilasi budaya minoriti ke dalam budaya majoriti sebaliknya menyokong hak kelompok minoriti etnik, budaya, dan agama dalam mengekalkan identiti mereka menerusi perlindungan dan juga undang-undang (Holtug, 2025).

Gerakan liberal kiri ini juga telah berkembang merangkumi perjuangan untuk melindungi alam sekitar, yang mana gerakan tersebut dikenali sebagai environmentalisme iaitu gerakan yang memperjuangkan alam sekitar. Environmentalisme merupakan gerakan yang memperjuangkan isu alam sekitar yang terjejas akibat aktiviti dan pembangunan manusia, seperti perubahan iklim, bencana alam, kadar kehilangan biodiversiti, penggunaan tanah, dan gangguan kepada kitaran nitrogen. Namun, gerakan kontemporari ini baru muncul pada era 1970-an dan 1980-an apabila kesedaran awam tertumpu pada isu pencemaran industri seperti sisa toksik, teknologi nuklear, dan racun perosak. Agenda ini kemudiannya diperluaskan pada hari ini bukan sahaja pada isu pemuliharaan alam, tetapi juga berintegrasi dengan isu keadilan sosial, hak asasi, dan kemiskinan. Sebagai contohnya, mereka melihat berlakunya ketidakadilan sosial seperti sisa pencemaran yang dibuang berdekatan penempatan orang miskin dan keterpaksaan golongan miskin merosakkan alam demi kelangsungan hidup (Dobson,2016). Justeru, dapat dilihat bahawa integrasi antara keadilan alam sekitar dan sosial sering kali mengaitkan gerakan ini dengan haluan kiri.
Selain isu domestik, liberal kiri juga turut menyuarakan persoalan keadilan global, keamanan, anti-kolonialisme, anti-peperangan, hak asasi manusia, dan hak pelarian. Kecenderungan ini mempunyai kesinambungan daripada tradisi Kiri Baru yang menentang penglibatan Amerika di Vietnam. Dalam konteks semasa, kecenderungan ini dapat dilihat melalui mobilisasi solidariti terhadap Palestin secara besar-besaran dan penentangan terhadap peperangan yang berlaku di Timur Tengah dan Ukraine. Bahkan kecenderungan ini juga dapat dilihat dalam kempen politik seperti Abdul El-Sayed, Rashida Tlaib, Ilhan Omar, Zohran Mamdani, yang menggabungkan agenda domestik dengan persoalan keadilan global untuk menarik sokongan golongan muda dan aktivis.
Perkembangan politik Liberal Kiri di Barat menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah arus ini mampu dan boleh diterapkan dalam konteks Malaysia. Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum di mana Islam ialah agama Persekutuan. Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan kepada setiap individu dan masyarakat untuk menganut dan mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing dengan aman dan damai. Dalam konteks ekonomi, Malaysia sejak awal pembentukannya telah mengamalkan sistem ekonomi campuran yang menggabungkan mekanisme pasaran bebas dan pemilikan swasta, tetapi pada masa yang sama mempunyai unsur intervensi dan dasar pengagihan sosial. Berkenaan struktur politik, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen berasaskan model Westminster, di samping mengekalkan institusi Raja Berperlembagaan. Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah pun mengamalkan beberapa unsur yang mempunyai persamaan dengan prinsip dan agenda politik liberal kiri Barat.
Namun begitu, persamaan tersebut tidaklah bermakna bahawa unsur itu boleh diterapkan secara keseluruhannya dalam konteks Malaysia. Perbezaan dari sudut sejarah, masyarakat, agama, budaya, sistem perundangan, dan perkembangan politik menunjukkan beberapa unsur yang tidak sesuai dan tidak boleh diterapkan di Malaysia.
Kita boleh memerhatikan hal ini dalam persoalan hak asasi manusia, khususnya yang berkaitan dengan isu seksualiti dan golongan LGBT. Di Barat, masyarakat memberikan penekanan yang besar terhadap persoalan hak asasi manusia serta kebebasan individu, termasuk mengemukakan tuntutan kesamarataan dan perlindungan berasaskan orientasi seksual serta identiti gender. Di Malaysia, kebebasan ini mempunyai batasan tertentu apabila dilihat dalam konteks Islam dan perundangan. Dalam perspektif hukum Islam, hubungan seksual sesama jantina dianggap bertentangan dengan ajaran Islam, sebagaimana yang dirujuk melalui kisah Nabi Lut dan kaumnya dalam al-Quran. Dari segi undang-undang Malaysia, amalan hubungan songsang tertakluk kepada peruntukan jenayah Persekutuan di bawah 377A dan 377B Kanun Keseksaan. Maka di sini menunjukkan bahawa penerapan hak kebebasan mempunyai batasan terutama dalam isu LGBT yang tidak selari dan bertentangan dengan amalan, budaya, dan sosial masyarakat di Malaysia.
Malaysia mengiktiraf kebebasan bersuara dalam ruang lingkup hak kebebasan individu, namun negara tidak memberikan kebebasan tersebut secara mutlak. Pemikiran liberal Barat meletakkan kebebasan bersuara sebagai tonggak utama. Menerusi Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, Malaysia memperuntukkan kebebasan bersuara, tetapi pihak berkuasa boleh mengenakan sekatan wajar demi memelihara keharmonian dan ketenteraman awam. Undang-undang negara mengehadkan kebebasan ini khususnya terhadap isu 3R (Race, Religion, Royalty), kerana perkara tersebut berpotensi mencetuskan ketidakstabilan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.
Sesetengah negara Barat mengamalkan prinsip sekularisme mutlak yang memisahkan agama daripada pentadbiran awam, termasuk menolak penglibatan institusi agama dalam perundangan negara. Tradisi liberal kiri memberikan penekanan tegar terhadap hubungan terasing antara agama dengan negara, lantas mencabuli Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta membelakangkan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.Masyarakat Muslim turut menentang amalan sekularisme ini kerana mereka tidak membataskan Islam sebagai panduan utama dalam seluruh institusi negara, merangkumi aspek perundangan, ekonomi, politik, dan sosial.
Secara keseluruhannya, analisis ini merumuskan bahawa gerakan politik Barat liberal kiri membawa arus pemikiran yang mengelirukan, bukan sahaja kepada dunia Barat malah kepada negara-negara Islam yang cuba mengadaptasinya. Namun begitu, perkembangan ini mencetuskan persoalan baharu: adakah gerakan politik Barat berhaluan kanan menawarkan perbezaan yang ketara? Jika masyarakat menerima pendekatan berhaluan kanan tersebut, mampukah langkah itu membawa kesan yang lebih baik terhadap politik sesebuah negara, khususnya negara Islam? Justeru, persoalan-persoalan ini mencabar kita untuk menilai secara kritis sama ada mana-mana gerakan politik Barat-tanpa mengira haluan kiri atau kanan- mampu menjanjikan kestabilan dan kebenaran yang hakiki dalam dunia politik hari ini.
Rujukan
- Stearns, P. N., Adas, M., Schwartz, S. B., & Gilbert, M. B. (2011). World civilizations: The global experience (Edisi ke-6). Longman/Pearson.
- Holtug, N. (2025). Identity politics: Left and right. Oxford University Press. https://doi.org/10.1093/9780198954552.001.0001
- Dobson, A. (2016). Environmental politics: A very short introduction. Oxford University Press.
- Dobson, A. (2001). Green political thought (3rd ed.). Taylor & Francis.
- Jeffreys-Jones, R. (2013). The American left: Its impact on politics and society since 1900. Edinburgh University Press.
- Newman, M. (2005). Socialism: A very short introduction. Oxford University Press.
- Sassoon, D. (2014). One hundred years of socialism: The West European left in the twentieth century (New ed.). I.B. Tauris.
Penulis : Muhammad Imran Bin Wahib, Penulis Bebas.
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


