Keluarga merupakan institusi terpenting dalam pembentukan akidah, akhlak dan sahsiah generasi muda Islam. Dalam Islam, keluarga bukan sekadar hubungan sosial antara suami, isteri dan anak, tetapi merupakan amanah Allah SWT yang berperanan melahirkan generasi beriman. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka” (Surah al-Taḥrīm, 66:6). Namun, perkembangan ideologi moden Barat seperti sekularisme, liberalisme dan feminisme telah mempengaruhi kefahaman masyarakat terhadap makna dan peranan keluarga itu sendiri. Ideologi moden Barat ini, menurut Md Helel Uddin di dalam tesis bertajuk “The Problems and Challenges of the Family Institution : A Comparative Analysis of Islam and Christianity from Selected Ideological Perspectives” berkembang di Barat sejak e a Enlightenment, kemudiannya tersebar ke masyarakat global termasuk masyarakat Muslim melalui proses modenisme, globalisasi dan perkembangan media serta teknologi.
1. Makna Keluarga Menurut Barat Sekular dan Kesan kepada Institusi Keluarga Barat.
Golongan sekular menganggap konsep tradisional keluarga iaitu suami dan isteri yang berkahwin secara sah serta mempunyai anak, sebagai sesuatu yang sudah ketinggalan zaman. Dengan memandang keluarga hanya sebagai unit terkecil masyarakat, mereka berhujah bahawa sebarang bentuk komposisi isi rumah boleh dianggap sebagai keluarga, asalkan ia didaftarkan secara rasmi serta memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. Sebagai contoh, pasangan yang menjalin hubungan luar nikah termasuk pasangan gay dan lesbian, malah mereka yang terlibat dalam hubungan seksual dengan haiwan boleh dikategorikan sebagai “keluarga” dan diberikan hak serta tanggungjawab yang setara dengan pasangan yang berkahwin secara konvensional, asalkan mereka berkongsi isi rumah dan tersenarai dalam rekod penduduk. Justeru, menurut Carle C.Zimmerman di dalam bukunya “Family and Civilization”, pegangan sekular yang menolak nilai agama dan moral ini telah memusnahkan institusi kekeluargaan tamadun Barat. Antara simptom kerosakan dalam keluarga dalam tamadun Barat (symptoms of final decay) yang dinyatakan oleh Zimmerman ialah: peningkatan kes penceraian tanpa alasan kukuh (no-fault divorce) secara mendadak, sikap biadab dan hilangnya rasa hormat anak-anak kepada didikan daripada ibu bapa, kebangkitan feminisme, narsisisme dan hedonisme, penularan sentimen anti-keluarga dalam kalangan masyarakat, penerimaan sosial terhadap zina, kenaikan drastik dalam statistik jenayah juvana dan normalisasi hubungan songsang. Malah, kesemua tanda ini menurut Zimmerman merupakan pengulangan daripada sejarah kejatuhan tamadun Yunani dan Rom purba akibat pengabaian nilai agama.
2. Epistemicide Barat dalam Penghapusan Makna Keluarga
Secara umumnya, sejak awal abad ke-20 dunia Islam menghadapi cabaran pemikiran daripada Barat, menerusi pelbagai strategi. Salah satunya menerusi strategi epistemicide iaitu penghapusan sistem pengetahuan sesuatu masyarakat akibat hegemoni epistemologi Barat. Hakikatnya, penghapusan sistem pengetahuan masih berjalan pada hari ini melalui penyebaran ideologi moden yang merupakan fahaman yang cuba menyongsangkan pemikiran umat Islam daripada landasan akidah yang sebenar yang juga dikenali sebagai (ghazw al-fikr) dibawa masuk ke dunia Islam melalui proses pembaratan “westernization”. Kesemua ideologi dan aliran moden seperti sekularisme dan liberalisme yang dibawa oleh Barat pada hakikatnya meletakkan jurang yang besar antara kehidupan manusia dengan ajaran suci agama Islam. Dalam konteks imperialisme British di Tanah Melayu, epistemicide berlaku apabila sistem pendidikan moden Barat diperkenalkan untuk menggantikan epistemologi dan sistem pendidikan bangsa melayu, sehingga membentuk suatu mentaliti kolonial dan eurosentrik (captive mind). Ditambah pula dengan wujudnya cendekiawan-cendekiawan yang berfikiran sekular dan liberal dalam kalangan umat Islam yang giat mempromosikan idea-idea dan nilai Barat dengan menimbulkan persepsi yang negatif terhadap pendidikan Islam dengan mendakwa sistem pendidikan Islam di Malaysia tertutup, membantutkan pemikiran, menyempitkan kebebasan berfikir, mengongkong pemikiran kritis dan mengajar nilai-nilai terorisme, politik sempit serta menghasut murid agar membenci ulama yang membawa pembaharuan.
3. Ancaman Pemikiran Tidak Beragama; Liberalisme dan Islam Liberal terhadap Didikan Agama dalam Keluarga.
Menerusi kajian literatur di dalam artikel, “Pemikiran Tidak Beragama Dalam Kalangan Belia Islam Di Malaysia. Satu Kajian Rintis”, makna pemikiran beragama merangkumi aspek humanisme, sekularisme, pluralisme dan liberalisme. Kajian terhadap pemikiran tidak beragama juga merujuk kepada istilah ketiadaan pegangan agama dalam konteks mengamalkan cara hidup bebas berpaksikan hak asasi manusia. Kesemua kefahaman yang membentuk penolakan kepada paksi Tuhan atau Tauhid sebenarnya membentuk pemikiran tidak beragama. Tambahan, ia merujuk kepada sekularisme yang mengasingkan agama daripada kehidupan dan menarik manusia untuk meletakkan kehidupan dunia sebagai matlamat utama.
Di dalam artikel, “Islam dan Liberalisme: Antara Maslahah dan Mafsadah”, menyatakan pada hari ini, kita dapat melihat berlakunya banyak kes di mana apabila seorang Muslim itu menerima liberalisme sebagai ideologinya, dan tanpa segan silu mengaku sebagai seorang muslim liberal, muslim progresif dan lain-lain jenama, mereka ini bukan sahaja menerima dan membenarkan idea-idea liberal tetapi juga menjustifikasikannya dengan mentafsirkan semula Islam agar bersesuaian dengan faham liberalisme yang dianutinya. Malah, dalam pemikiran Islam liberal secara khususnya, agama yang perlu disesuaikan dengan realiti semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara qat’ie. Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia, dan global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan dan sebolehnya digugurkan. Usaha mereka ini mendapat sambutan dan sokongan pelbagai institusi Barat yang melihat bahawa untuk benar-benar memastikan bahawa Islam tidak menjadi ancaman terhadap kepada Barat, maka suatu versi Islam yang baru perlu diwujudkan, ia adalah Islam yang liberal, Islam yang bersesuaian dengan nilai-nilai Barat.
Maka, fahaman yang tidak lagi melihat agama sebagai panduan dan sumber rujukan dalam menentukan benar dan salah, baik dan buruk tentunya menimbulkan kekeliruan dalam pembinaan institusi keluarga yang berlandaskan syariat Islam. Peranan dan kewibawaan ibu bapa dalam mendidik agama akan mula dicabar apabila anak-anak menganggap agama yang diterapkan sebagai sesuatu yang bersifat mengongkong, kuno dan melanggar “hak kebebasan individu”. Begitu juga, apabila ibu bapa mulai terpengaruh dengan fahaman liberalisme, agama tidak lagi dilihat sebagai rujukan dalam ilmu dan kebenaran, yang akhirnya memberi kesan kepada kerangka berfikir anak-anak dan juga akhlak. Malah, rujukan kepada karya para ulama yang banyak memberi pencerahan kepada umat akan dianggap sebagai mundur ke belakang. Hal ini demikian kerana, golongan liberal berpegang bahawa setiap individu mempunyai hak dan kebebasan rasional untuk membaca, mentafsir, serta memahami al-Quran dan al-Hadis secara langsung tanpa perlu melalui perantaraan ulama’. Apabila agama tidak lagi dijadikan sumber rujukan tertinggi dalam menentukan nilai, hukum dan akhlak, kewibawaan ibu bapa sebagai pendidik agama turut berisiko terhakis. Anak-anak pula boleh terdedah kepada pemikiran yang menilai ajaran agama berdasarkan kesesuaian dengan kehendak, logik dan kebebasan individu semata-mata, sehingga kewajipan agama yang bersifat tetap dianggap boleh dipersoalkan atau ditafsirkan mengikut perubahan zaman. Keadaan ini bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dalam memahami ajaran Islam, malah berpotensi melemahkan pembentukan akidah, akhlak dan jati diri anak-anak.
4. Feminisme Menghakis Peranan Qiwamah Kepimpinan Lelaki dalam Keluarga
Feminisme secara ringkasnya ialah suatu faham yang menuntut persamaan hak untuk wanita. Ia adalah suatu teori sosial dan gerakan politik yang mendokong persamaan hak tanpa mengira jantina dalam setiap aspek kehidupan sama ada peribadi ataupun bermasyarakat. Kaum feminis berpandangan bahawa segala bentuk kekangan undang-undang dan budaya terhadap wanita hendaklah dihapuskan bagi mencapai persamaan itu, dan apa yang dianggap kekangan itu termasuklah agama. Pandangan sedemikian terhadap agama adalah berdasarkan kepada sudut pandang masyarakat Barat sekular yang berpendapat bahawa agama adalah hasil dari kebudayaan (culture) manusia, atau dengan kata lain suatu ciptaan masyarakat (social construct). Faham Feminisme moden muncul di Barat sebagai gerakan membela wanita daripada penindasan patriarki dan sistem sosial yang berat sebelah. Ia menuntut kesamarataan hak dalam politik, ekonomi, dan juga institusi keluarga.
Dalam konteks rumahtangga, feminisme menolak konsep kepimpinan lelaki seperti dalam ajaran Islam (qiwāmah – rijalul Qawwam) dan menegaskan bahawa suami dan isteri mesti berkongsi hak serta tanggungjawab secara sama rata tanpa perbezaan peranan. Daripada perspektif Islam, tuntutan kaum feminisme ini ternyata tidak selari dengan peranan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Melalui idea kesetaraan gender (musāwāh), feminis menolak perbezaan fiṭrah lelaki dan perempuan demi kesamarataan yang dianggap sama dengan keadilan. Sebagai contoh, golongan feminis mendakwa konsep “lelaki sebagai pemimpin” (al-Nisā’, 4:34) bersifat patriarki dan menindas wanita. Mereka menafsirkan kepimpinan ini sebagai dominasi kuasa. Namun, tafsir Islam klasik seperti al-Qurṭubī dan al-Rāzī menjelaskan bahawa kepimpinan (qiwāmah – Rijalul Qawwam) ialah tanggungjawab, bukan keistimewaan. Ia berasaskan dua sebab:
1. Allah menganugerahkan kelebihan semula jadi dari segi biologi lelaki (kekuatan, kemampuan bekerja);
2. Lelaki dipertanggungjawabkan menanggung nafkah dan perlindungan terhadap keluarga.
Menolak qiwāmah lelaki bermakna menolak struktur amanah kepertanggungjawaban. Dalam konteks keluarga, bapa menurut Islam adalah merupakan sebagai ketua yang memimpin keluarga menjadi contoh kepada isteri dan anak-anak. Malah, tugas paling besar seorang bapa ialah melindungi keluarga. Peranan ini bukan sekadar menyediakan keperluan material, tetapi menjadi tempat bergantung, memberi rasa selamat dan mengurus kewangan dengan bijak. Bapa juga perlu melindungi keluarga daripada pengaruh negatif dan menjadi tempat rujukan utama dalam setiap permasalahan. Akhirnya, tugas paling besar ialah melindungi keluarga daripada azab api neraka, sebagaimana peringatan Allah dalam Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Oleh itu, pengaruh feminisme yang menolak konsep qiwāmah perlu diberi perhatian kerana ia bukan sekadar menyentuh persoalan pembahagian peranan antara lelaki dan wanita, tetapi turut memberi implikasi terhadap struktur kepimpinan dan pendidikan agama dalam keluarga. Dalam Islam, kepimpinan lelaki bukanlah suatu bentuk penguasaan mutlak terhadap wanita, sebaliknya merupakan amanah yang disertai tanggungjawab untuk membimbing, melindungi dan memastikan keluarga berada dalam landasan yang diredai Allah SWT. Apabila konsep kepimpinan ini ditafsirkan semata-mata sebagai dominasi patriarki dan kemudiannya ditolak atas nama kesamarataan gender, autoriti dan tanggungjawab bapa sebagai pembimbing keluarga berisiko menjadi kabur. Keadaan ini boleh menimbulkan persoalan tentang siapakah yang memikul tanggungjawab utama dalam menentukan arah pendidikan agama, pembentukan akhlak dan disiplin anak-anak dalam keluarga.
5. Hidupkan Agama sebagai Cara Hidup dalam Keluarga
Justeru, usaha memperkukuhkan institusi keluarga perlu bermula dengan memahami kembali makna agama yang sebenar. Agama perlu dihayati sehingga membentuk cara berfikir, cara membuat keputusan dan cara menjalani kehidupan. Ibu bapa atau penjaga merupakan pendidik utama anak-anak sebelum mereka menerima pendidikan secara formal di sekolah, secara tidak formal rakan sebaya, serta secara tidak langsung melalui media, teknologi dan persekitaran sosial. Pendidikan di rumah menjadi asas kepada pembentukan keperibadian, jati diri dan kemampuan anak untuk menghadapi kehidupan dengan berdikari. Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang akidah, mengenal Allah SWT dan memahami hakikat diri sebagai seorang hamba, di samping menanam nilai takwa dan ihsan dalam kehidupan. Anak-anak juga perlu dibimbing untuk memahami tujuan kehidupan, membezakan antara kebaikan dan keburukan, membentuk akhlak yang mulia serta mengenali contoh teladan dan perjuangan yang baik. Dalam proses tersebut, ibu bapa bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi perlu menjadi qudwah atau contoh teladan yang memperlihatkan bagaimana agama diterjemahkan dalam kehidupan sebenar.
Dalam menghadapi pelbagai ideologi moden, keluarga Islam perlu kembali menguatkan akar agama sebagai asas kehidupan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Tahrim ayat 6 agar orang-orang yang beriman memelihara diri dan keluarga daripada api neraka. Ayat ini menunjukkan bahawa tanggungjawab terhadap keluarga bukan hanya berkaitan penyediaan keperluan fizikal, pendidikan akademik atau kejayaan material, tetapi turut merangkumi keselamatan akidah, pembentukan akhlak dan kehidupan akhirat. Keluarga yang bahagia dalam perspektif Islam bukan semata-mata keluarga yang memiliki keselesaan material, tetapi keluarga yang menjadikan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT serta kecintaan kepada Rasulullah SAW sebagai asas hubungan antara suami, isteri dan anak-anak. Justeru, pengukuhan agama dalam keluarga perlu bermula daripada pembinaan hubungan manusia dengan Allah SWT, kemudian diterjemahkan dalam hubungan sesama ahli keluarga melalui kasih sayang, amanah, tanggungjawab, hormat-menghormati dan akhlak yang baik.
Kefahaman tentang Al-Quran sebagai petunjuk yang menjadi pegangan hidup perlu diterapkan dalam diri anak-anak. Anak-anak perlu dibimbing untuk melihat agama bukan sebagai sesuatu yang mengongkong atau terpisah daripada realiti kehidupan, tetapi sebagai panduan yang memberikan makna, arah dan tujuan kepada kehidupan manusia. Sesungguhnya kekuatan sesebuah keluarga bukan hanya terletak pada kekuatan ekonomi, pendidikan atau kedudukan sosial semata-mata, tetapi pada sejauh mana iman, takwa dan nilai agama benar-benar hidup dalam setiap anggota keluarga yang diterjemahkan menerusi amal yang memberi impak kesejahteraan kepada masyarakat dan Ummah secara keseluruhannya.
Rujukan
- Abdul Jalil, S. J., Md Sham, F., Ismail, A., Osman, K., Ismail, R., & Md Yusoff, Y. (2025). Model kesejahteraan keluarga berasaskan konsep al-Falāḥ: Analisis tematik al-Quran dan kajian literatur [A family well-being model based on the concept of al-Falāḥ: A thematic Qur’anic analysis and literature review]. *AL-FALAH: Journal of Da’wah & Human Development*.
- Ahmad Faudzi, M. A. (2026). Pembentukan elit Melayu Anglophile: Suatu tinjauan kritis terhadap pembinaan negara Malaysia [The formation of the Anglophile Malay elite: A critical review of Malaysian nation-building]. *International Journal of Interdisciplinary and Strategic Studies, 7*(12), 716–726.
- Harris, K. M. A. (2018). Islam dan liberalisme: Antara maṣlaḥah dan mafsadah [Islam and liberalism: Between benefit and harm]. Afkar: Jurnal Akidah dan Pemikiran Islam, 20(2), 1–52.
- Harun, H., & Mohamad Ali, H. (2021). Peranan bapa dalam pembentukan keluarga sejahtera: Analisa isu-isu dan cabaran di era digital [The role of fathers in the formation of well-being family: An analysis of issues and challenges in the digital era]. *Online Journal of Research in Islamic Studies, 8*(2), 57–66.
- Jaapar, N. Z. H., & Azahari, R. H. (2011). Model keluarga bahagia menurut Islam [The model of wellbeing in family life from Islamic perspective]. *Jurnal Fiqh, 8*, 25–44.
- Karim, F., Muhsin, S. M., & Abdul Hadi, N. E. (2025). Mohd. Kamal Hassan’s perspectives on family relationships: Strategies for strengthening Malaysian Muslim families. *Intellectual Discourse, 33*(3), 835–864.
- Mohd Salleh, N., Mohd Haridi, N. H., Ismail, A. M., & Daud, Z. (2015). Pemikiran tidak beragama dalam kalangan belia Islam di Malaysia: Satu kajian rintis. *Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 11*(3), 34–46.
- Mohd Salleh, N., Mohd Haridi, N. H., Ismail, A. M., & Mohd Noor, M. S. (2021). Modus operandi gerakan liberalisme di Malaysia [The modus operandi of liberalism movement in Malaysia]. *International Journal of Interdisciplinary and Strategic Studies, 2*(2), 96–103.
- Nik Roskiman Abdul Samad. (2025, October 17). Trend feminisme Barat dalam rumahtangga Muslim membimbangkan. *Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).*
- Uddin, M. H. (2025). The problems and challenges of the family institution: A comparative analysis of Islam and Christianity from selected ideological perspectives [Doctoral dissertation, International Islamic University Malaysia]. IIUM Student Repository.
- Zimmerman, C. C. (1947). *Family and civilization*. Harper & Brothers.
Penulis: Nur Irdina Hakimah binti Nor Azali, Felo Penyelidik Pendidikan.


