Kegemilangan Material, Kemerosotan Rohani
Di tengah-tengah kegemilangan teknologi dan kemakmuran ekonomi yang dipamerkan oleh negara-negara Barat yang dijaja-bangga sebagai mercu tanda kejayaan mereka dalam mewakili tamadun kapitalis, terzahir jelas longgokan krisis moral yang kian meruncing dan membusuk serta tidak pula dapat mereka sorok-sembunyikan lagi. Epidemik kesunyian (loneliness epidemic) yang membimbangkan di Amerika Syarikat dan Eropah Barat, keruntuhan institusi kekeluargaan, peningkatan kadar kemurungan dan bunuh diri dalam kalangan belia, serta pengkomersialan tubuh badan manusia menerusi industri seks dan perdagangan organ, semuanya menjadi tanda aras kepada apa yang ramai sarjana gelar sebagai krisis makna (crisis of meaning) zaman moden. Masyarakat yang kaya secara material ini, ironinya, semakin miskin dari sudut kerohanian dan tujuan hidup (purpose). Zygmunt Bauman, dalam analisisnya tentang zaman moden mutakhir, menghujahkan bahawa individu kontemporari terpaksa hidup dalam keadaan “cair” seperti air, tanpa sebarang acuan pautan moral yang kukuh. Disebabkan itu, mereka sentiasa berubah, tidak berpendirian malah seperti lembu dicucuk hidung dengan mengikut sahaja kehendak pasaran dan hasrat mana-mana pihak yang beragenda sempit, lalu kehilangan sebarang kerangka rujukan nilai yang stabil.
Malangnya, arus gelombang krisis ini tidak sahaja membadai dunia Barat. Dunia Islam turut terkena tempias yang sama, walaupun dalam bentuk dan tahap yang berbeza. Antara yang boleh penulis sebutkan ialah sekularisasi cara berfikir, pendikotomian ilmu duniawi dan ukhrawi dalam sistem pendidikan, serta penerapan tanpa tapisan akan budaya konsumerisme-kapitalis ke dalam struktur masyarakat Kaum Muslimin. Semua permasalahan ini menjadi bukti bahawa Kaum Muslimin turut terjebak dalam pusaran krisis yang sama dialami oleh masyarakat di Barat.
Persoalannya, apakah punca akar di sebalik keruntuhan moral sejagat ini? Penulis, sebagai seorang penuntut dalam lapangan Sejarah dan Tamadun yang berpegang teguh kepada agenda Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge), berpandangan bahawa salah satu punca kepada kebobrokan yang melanda kini boleh dijejak-kesan akarnya kepada satu revolusi pemikiran abad ke-17 iaitu Dualisme Descartes. Dualisme Descartes merupakan sebuah gagasan pemilahan tajam antara res cogitans (benda yang berfikir) dan res extensa (benda yang terbentang/berjirim). Gagasan yang dibawa oleh Descartes inilah yang meletakkan asas epistemologi dan metafizik yang meminggirkan unsur jiwa, nilai, dan wahyu daripada ranah sains, dan seterusnya daripada ranah moral itu sendiri. Penulis akan menghuraikan konsep asas Dualisme Descartes, menilai kesannya terhadap perkembangan sains moden Barat, dan menganalisis bagaimana pemisahan minda-jasad ini menyumbang kepada penghakisan nilai moral dalam masyarakat kapitalis, sebelum menawarkan beberapa jalan keluar realistik buat Kaum Muslimin.
Res Cogitans dan Res Extensa: Menyelami Asas Dualisme Cartesian
René Descartes (1596–1650), tokoh yang masyhur digelar “Bapa Falsafah Moden,” memulakan projek falsafah beliau dengan kaedah keraguan bersistem (methodical doubt) sebagaimana yang dihuraikan dalam karya agungnya, Discourse on the Method (1637) dan Meditations on First Philosophy (1641).3 Melalui kaedah ini, Descartes cuba meragui segala-galanya termasuklah hasil cerapan pancaindera, dunia fizikal, malah kewujudan tubuh badan beliau sendiri. Keraguan melampau ini berterusan sehingga tiba akan Descartes itu pada satu kepastian yang tidak boleh disangkal lagi, yakni aktiviti berfikir itu sendiri membuktikan kewujudan diri beliau yang sedang berfikir. Daripada sinilah lahir serangkap ungkap-dalil masyhur; Cogito Ergo Sum (ungkapan Latin ini kemudiannya dimuktamadkan dalam Principles of Philosophy, 1644, manakala versi Perancisnya, je pense, donc je suis, muncul dalam Discourse) atau I think, Therefore I Am, atau Aku Berfikir, Maka Aku Wujud.
Daripada ungkap-dalil itu, Descartes mendasarkan satu struktur metafizik yang memisahkan realiti kepada dua substansi yang berlainan secara radikal. Yang pertama adalah Res cogitans, “benda yang berfikir,” iaitu minda atau jiwa, bersifat tidak berjirim (immaterial), tidak menempati ruang, dan dicirikan oleh kesedaran dan pemikiran. Yang kedua adalah Res extensa, “benda yang terbentang,” iaitu jasad dan seluruh alam fizikal, bersifat berjirim (material), memnuhi ruang, dan tunduk kepada hukum mekanikal semata-mata.
Bagi Descartes, kedua-dua substansi ini wujud secara berasingan dan tidak bergantung antara satu sama lain dari segi hakikat asasinya, walaupun berinteraksi (menurutnya, melalui kelenjar pineal dalam otak). Justeru, jasad manusia, malah seluruh isi alam semesta yang bersifat fizikal termasuk haiwan, dilihat oleh Descartes semata-mata sebagai jentera (machine) yang beroperasi mengikut hukum mekanikal, tanpa jiwa atau tujuan (telos) yang wujud di dalam setiap satunya.
Sarjana sejarah intelektual John Cottingham, dalam karyanya Descartes (1986), menghuraikan bahawa dualisme substansi Cartesian ini menjadi asas kepada keseluruhan projek epistemologi Descartes yang ingin meletakkan ilmu pengetahuan di atas dasar yang bersifat mutlak dan bebas daripada sebarang keraguan. Stephen Gaukroger pula, dalam Descartes: An Intellectual Biography (1995), menegaskan bahawa dualisme ini lahir daripada keperluan Descartes untuk mengasingkan ranah kemutlakan rasional (minda) daripada ranah alam fizikal yang boleh dikaji secara objektif dan matematik (jasad/alam), ni merupakan satu langkah yang kelak menjadi asas metodologi sains moden. Charles Taylor, dalam bab “Descartes’s Disengaged Reason” daripada karya monumentalnya Sources of the Self (1989), menamakan fenomena ini sebagai kelahiran “akal yang terlerai” (disengaged reason), iaitu satu bentuk diri yang menarik diri sepenuhnya daripada alam, tradisi, dan kosmos yang punyai makna dan tujuan, lalu berdiri sebagai pemerhati objektif berdaulat terhadap alam yang telah direndahkan tarafnya sebagai jirim semata-mata.
Pemilahan inilah, antara subjek yang berfikir dan objek yang terbentang, antara jiwa bermakna dan jasad/alam yang tidak bermakna, yang menjadi benih kepada satu pandangan alam yang jauh berbeza daripada pandangan alam bersepadu yang wujud sebelumnya, sama ada dalam tradisi skolastik Kristian mahupun dalam tradisi tamadun Islam.

Impak Dualisme Terhadap Peradaban Ilmu Barat
Dari sudut sejarah intelektual (intellectual history), kesan Dualisme Descartes terhadap perkembangan sains moden Barat amat mendalam dan berpanjangan, malah boleh dikesan evolusinya merentasi hampir empat abad.
Pada abad ke-17 sendiri, pandangan alam mekanistik yang lahir daripada pemisahan res cogitans–res extensa menyediakan asas falsafah kepada Revolusi Sains. Carolyn Merchant, dalam kajian klasiknya The Death of Nature: Women, Ecology, and the Scientific Revolution (1980), menghujahkan bahawa peralihan daripada pandangan alam alam sebagai organisma hidup yang bernyawa kepada pandangan alam alam sebagai jentera yang tidak bernyawa (sebagaimana dianjurkan Descartes bersama Francis Bacon) merupakan prasyarat falsafah yang membolehkan manusia mengeksploitasi alam tabii tanpa bebanan moral, kerana di mata mereka itu, jentera atau mesin tidak memiliki roh, maka tiada sebab untuk manusia menjaga dan memelihara alam yang dilihat oleh mereka itu tidak berbeza ibata sebuah jentera. Isaac Newton kemudiannya menyempurnakan lagi visi mekanistik ini menerusi hukum fizik universalnya dengan mengibaratkan alam semesta sebagai sebuah jam raksasa yang bergerak mengikut hukum matematik yang tetap.
Memasuki era Pencerahan (Enlightenment) abad ke-18, warisan dualisme Cartesian ini berkembang dengan drastik sehingga menjadi satu bentuk pemujaan terhadap akal manusia yang autonomi (res cogitans) kerana dianggap mampu menemui kebenaran secara bebas daripada wahyu atau autoriti tradisi. Akal akhirnya dipuja-sembah oleh Kaum Tercerah Eropah sebagai penentu tunggal kepada kebenaran dan kemajuan.
Pada abad ke-19, warisan ini bercambah dalam bentuk positivisme Auguste Comte, yang mengehadkan ilmu yang mutlak, sah dan tepat kepada apa yang boleh diperhatikan dan diukur secara empirikal, iaitu ilmu tentang res extensa semata-mata, sambil meminggirkan persoalan metafizik, teleologi, dan nilai sebagai hal-hal yang tidak saintifik. Max Weber turut mencatatkan fenomena ini sebagai proses “penyahsakralan alam” (disenchantment of the world) yang mengiringi rasionalisasi Barat, di mana alam yang dahulunya sarat makna kosmik kini direndahkan menjadi bahan-bahan mentah bagi pengeksploitasian ekonomi semata-mata. Inilah proses yang menurut Weber, turut menjadi asas kepada kelahiran etika kerja kapitalis moden.
Memasuki abad ke-20, dikotomi minda-jasad Cartesian ini mencetuskan pelbagai aliran falsafah sains seperti behaviorisme dan positivisme logik, sebelum ditentang oleh gerakan sains kognitif yang cuba, walaupun masih dalam rangka kerja materialistik, memahami minda semula sebagai fenomena fizikal otak semata-mata (reductive physicalism), satu usaha yang secara ironik “menyelesaikan” masalah dualisme Descartes dengan cara menghapuskan res cogitans sepenuhnya dan meninggalkan hanya res extensa. Kini, dalam era kontemporari, perbahasan tentang kesedaran (consciousness), kecerdasan buatan, dan neurosains terus bergelut dengan kerangka Dualisme Descartes; bolehkah minda, jiwa, dan makna direduksikan sepenuhnya kepada proses jirim mekanikal?
Justeru, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa seluruh trajektori sains moden Barat, yang bercambah daripada fizik mekanikal Newtonian sehinggalah neurosains reduksionis hari ini, beroperasi dalam kerangka pandangan alam yang diwarisi daripada pemisahan Cartesian ini, yakni pandangan alam yang meletakkan alam fizikal (termasuk jasad manusia) sebagai objek yang neutral serta bebas nilai, boleh dikaji, diukur, dan dimanipulasi tanpa pertimbangan metafizik atau moral yang ada padanya secara semula jadi.
Dari Pandangan Alam kepada Keruntuhan Nilai
Persoalannya kini, bagaimana pandangan alam saintifik yang bersifat neutral-nilai dari Dunia Barat itu boleh melimpah sehingga meruntuhkan gagasan moral itu sendiri?
Jawapannya terletak pada apa yang ahli falsafah moral gelar sebagai “dikotomi fakta-nilai” (fact-value dichotomy). Ini merupakan satu warisan langsung daripada pemisahan res cogitans–resextensa. Hal ini kerana, apabila alam fizikal (res extensa) dianggap sebagai tempat yang merumahkan fakta-fakta objektif yang bebas-nilai semata-mata, sementara nilai/moral pula diserahkan sepenuhnya kepada ranah subjektif minda individu (res cogitans) yang terpisah dan relatif, maka moral tidak lagi memiliki sebarang asas objektif dalam struktur alam itu sendiri. Moral lantas hanya menjadi sekadar hal-hal pilihan peribadi atau, seperti dihujahkan Alasdair MacIntyre dalam karya klasiknya After Virtue (1981), moral hanyalah sekadar luahan emosi (emotivisme) yang tiada kaitan dengan sebarang tatanan objektif kebaikan atau tujuan (telos) kewujudan manusia. MacIntyre berhujah bahawa kehilangan kerangka teleologi Aristotelian-skolastik, yakni kerangka yang dahulunya menyatukan “apa yang ada” (fakta) dengan “apa yang patut” (nilai) menerusi konsep fungsi semula jadi manusia, telah mengakibatkan wacana moral moden dalam keadaan berserabut dan tidak koheren.
Jadi, dalam konteks negara kapitalis, kekosongan asas moral objektif ini diisi bukan oleh wahyu atau tradisi, tetapi oleh logik pasaran itu sendiri. Apa sahaja yang menguntungkan, cekap, dan boleh dipasarkan dianggap sah, kerana tiada lagi sempadan metafizik atau sakral yang boleh menghalangnya. Akhirnya, res extensa yang merangkumi jasad, alam, masa dan tenaga manusia, sepenuhnya ditundukkan pada logik komoditi kapitalisme, kerana ia telah lama dilucutkan daripada sebarang unsur kesucian dan makna oleh pandangan alam Cartesian.
Jasad yang Didagang, Alam yang Dicabul, Insan yang Diasing
Bagi menjelaskan lagi bagaimana pemisahan minda-jasad ini benar-benar meruntuhkan gagasan moral dalam masyarakat kapitalis, ada tiga contoh jelas yang boleh penulis kemukakan.
Pertama, pengkomersialan tubuh badan manusia. Michael Sandel, dalam karyanya What Money Can’t Buy: The Moral Limits of Markets (2012), menulis tentang bagaimana pelbagai aspek tubuh badan manusia, daripada sewaan rahim (surrogacy), perdagangan organ, sehingga komersialisasi hubungan intim, kini menjadi komoditi pasaran yang boleh dijual-beli. Fenomena ini hanya boleh dihalalkan secara moral (dalam pandangan masyarakat sekular) kerana tubuh badan (res extensa) dilihat sebagai harta persendirian jasad semata-mata, terpisah sepenuhnya daripada kesucian jiwa (res cogitans) atau apa-apa dimensi sakral yang melekat padanya. Sekiranya jasad dan jiwa dilihat sebagai satu kesatuan bermakna (sebagaimana pandangan alam Islam) pengkomersialan sedemikian sudah tentu tidak akan dapat dijustifikasikan secara moral dengan mudah.
Kedua, kemusnahan alam sekitar. Sebagaimana dihujahkan oleh Merchant, apabila alam (res extensa) dilucutkan padanya daripada sebarang unsur-unsur kejiwaan atau kesucian, ia menjadi semata-mata bahan mentah bagi eksploitasi ekonomi tanpa had. Krisis iklim, kepupusan beberapa spesis haiwan, dan pencemaran global yang dihadapi dunia hari ini tidak lain tidak bukan diakibatkan pandangan alam yang telah lama menidak-nafikan kewajipan moral manusia terhadap alam sebagai amanah (dalam kaca mata pandangan alam Islam) atau sebagai ciptaan yang sakral yang wajib dipelihara.
Ketiga, pengasingan diri manusia dan krisis kesihatan mental. Dalam sistem kapitalis, manusia direduksikan kepada unit pengeluaran ekonomi semata-mata. Tenaga kerja jasadi (res extensa) dinilai semata-mata berdasarkan produktiviti dan output. Bauman seperti yang penulis huraikan tadi, berhujah bahawa individu dalam era moderniti mutakhir ini terpaksa hidup dalam keadaan sentiasa tidak menentu, terputus daripada ikatan komuniti dan makna kolektif yang stabil, lalu tenggelam dalam kesunyian eksistensial walaupun dikelilingi kemewahan material. Epidemik kesunyian, kemurungan, dan kehilangan makna hidup yang melanda belia di negara-negara maju hari ini boleh dilihat sebagai kesan lanjutan daripada peminggiran dimensi rohani (ruh yang sebenar) daripada persamaan kewujudan manusia, digantikan sekadar kesedaran individu yang terasing dan berdiri sendiri.
Ketiga-tiga contoh ini berakar dari benih permasalahan yang sama, yakni apabila res extensa dilucutkan akanya daripada sebarang makna, kesucian, dan tujuan tertingginya, ia dengan mudah menjadi mangsa eksploitasi logik pasaran kapitalis, sama ada dalam bentuk tubuh badan, alam sekitar, mahupun tenaga manusia itu sendiri.
Bayang yang Sama Menyinggah Dunia Islam
Walaupun akar sejarah Dualisme Cartesian bersifat khusus kepada Barat, kesannya tidak terhenti di sempadan geografi Barat sahaja. Wajarlah kita sedar, bahawa menerusi penjajahan kuasa-kuasa kolonial, sistem pendidikan sekular warisan penjajah, dan budaya kapitalis yang agresif diglobalisasikan, pandangan alam bersifat dikotomi ini turut meresap ke dalam struktur berfikir masyarakat Muslim kontemporari. Syed Muhammad Naquib al-Attas, dalam karya besar beliau Islam and Secularism (1978), menegaskan bahawa proses sekularisasi bukan fenomena yang terhad kepada Dunia Barat sahaja, tetapi turut merebak ke Dunia Islam menerusi sistem pendidikan dan institusi warisan tradisi keilmuan Barat sekular, walaupun kesan terhadap akidah umat Islam tidak semestinya sama seperti kesannya ke atas masyarakat Kristian Barat.
Gejala pendikotomian ilmu naqli (wahyu) dan ilmu aqli (rasional-empirikal) dalam sistem pendidikan kebanyakan negara Muslim hari ini, di mana “sains” dan “agama” diasingkan sebagai dua bidang terpisah yang tidak saling menyuburkan, merupakan salah satu manifestasi jelas warisan dikotomi Cartesian yang sedang membelenggu Dunia Islam. Natijahnya, gejala keruntuhan moral yang serupa, termasuklah amalan konsumerisme tanpa kawalan, hedonisme, dan kekeliruan nilai dalam kalangan generasi muda Muslim, turut kelihatan, walaupun dalam skala dan bentuk yang berbeza daripada apa yang berlaku di Barat.
Tauhid, Ta’dib, dan Agenda Islamisasi Ilmu
Menghadapi ancaman dikotomi Cartesian ini, kaum Muslimin tidak seharusnya bertindak secara defensif semata-mata, tetapi semoleknya perlu dibina semula pandangan alam ilmu yang bersepadu berteraskan Tauhid. Justeru, ada beberapa langkah umum dan realistik boleh penulis kemukakan.
Pertama, mengembalikan pandangan alam ilmu yang bersepadu berteraskan Tauhid. Al-Attas, dalam Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995), menghujahkan bahawa Pandangan Alam Islam pada asasnya menolak sebarang dikotomi tajam antara alam hal perihal fizikal dan hal perhal metafizika, antara jasad dan roh, kerana kedua-duanya adalah ciptaan Allah SWT yang tunduk kepada hierarki kewujudan yang bermakna dan bertujuan. Justeru, langkah pertama ialah menegaskan semula dalam wacana intelektual bahawa ilmu sains tabii bukan bidang neutral-nilai, tetapi tetap tertakluk kepada kerangka etika dan metafizik wahyu.
Kedua, meneruskan agenda Islamisasi Ilmu secara metodologikal dan bukan sekadar bermain retorik. Di samping Syed Muhammad Naquib al-Attas, Ismail Raji al-Faruqi, dalam Islamization of Knowledge: General Principles and Work Plan (1982), mencadangkan satu kerangka kerja sistematik untuk mengintegrasikan warisan ilmu Islam dengan disiplin ilmu moden, bagi mengatasi apa yang beliau gelar “dwipecahan” (bifurcation) antara ilmu wahyu dan ilmu perolehan manusia. Rosnani Hashim dan Imron Rossidy, dalam kajian perbandingan “Islamization of Knowledge: A Comparative Analysis of the Conceptions of al-Attas and al-Fārūqī” (2000) yang diterbitkan dalam jurnal Intellectual Discourse, mencadangkan bahawa gabungan pendekatan al-Attas (menekankan pembersihan konsep dan bahasa) dan al-Faruqi (menekankan kerja metodologi disiplin) mampu menghasilkan agenda Islamisasi Ilmu yang lebih menyeluruh dan praktikal. Secara realistiknya, ini bermakna institusi pengajian tinggi Islam perlu melabur dalam penyelidikan lintas-disiplin yang benar-benar mengintegrasikan pandangan alam Islam ke dalam lapangan sains, ekonomi, dan sains sosial, bukan setakat menambah kursus “Akhlak Islam” atau “Tamadun Islam” berasingan tanpa integrasi sebenar dan bermakna.
Ketiga, memperkasa pendidikan berasaskan konsep ta’dib. Wan Mohd Nor Wan Daud, dalam The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas (1998), menghuraikan bahawa punca krisis umat Islam banyak berpunca daripada kehilangan adab, yakni kekeliruan dalam meletakkan sesuatu ilmu pada tempat yang wajar dalam hierarki kewujudan. Pendidikan berasaskan ta’dib yang menekankan disiplin jiwa, akal, dan jasad secara bersepadu, perlu diperkasa semula sebagai alternatif kepada pendidikan sekular yang sekadar memindahkan kemahiran teknikal tanpa pembentukan adab dan tujuan hidup yang jelas.
Keempat, secara individu dan komuniti, umat Islam perlu mengamalkan sikap hormat-kritis (bukan penolakan buta atau penerimaan buta) terhadap ilmu Barat. Ini bermakna melatih generasi muda Muslim, khususnya pelajar sains, perubatan, ekonomi, dan sains sosial, mengenali andaian falsafah tersirat di sebalik disiplin yang dipelajari, supaya mereka mampu menyerap kemajuan teknikal Barat tanpa turut serta mewarisi pandangan alam dikotomis dan sekularnya secara tidak sedar.
Langkah-langkah ini realistik kerana ia tidak memerlukan seseorang itu daripada melakukan penolakan membuta-tuli terhadap sains moden atau kemajuan teknologi, tetapi melakukan satu proses “penyaringan” pandangan alam. Dalam erti kata mudah, mengambil apa yang bermanfaat daripada pencapaian Barat sambil menolak asas metafizik sekularnya yang meruntuhkan makna dan moral manusiawi.
Kritikan yang Membina
Dualisme Descartes, walaupun lahir daripada niat baik untuk meletakkan ilmu pengetahuan di atas asas yang mutlak dan bebas daripada kekeliruan, telah, secara tidak disangka oleh penciptanya sendiri. mewariskan satu pandangan alam yang memisahkan fakta daripada nilai, jasad daripada jiwa, dan sains daripada moral. Warisan inilah yang, apabila bertembung dengan logik pasaran bebas kapitalisme, membuka jalan kepada pengkomersialan tubuh badan, kemusnahan alam sekitar, dan krisis eksistensial manusia moden. Krisis-krisis, seperti yang penulis sebutkan, yang kini bukan sahaja melanda Barat, tetapi turut menular ke dalam tubuh Kaum Muslimin sendiri.
Adapun, sebagai seorang pelajar Sejarah dan Tamadun yang memegang teguh agenda Islamisasi Ilmu, penulis berpandangan bahawa diagnosis sejarah ini tidaklah wajar dijadikan alasan untuk berputus asa atau sekadar melontar kritikan tanpa penyelesaian. Sebaliknya, krisis yang sedang membadai ini adalah seruan mendesak buat kaum Muslimin untuk kembali menegaskan pandangan alam ilmu yang bersepadu, yang tidak memisahkan res cogitans daripada res extensa, jiwa daripada jasad, wahyu daripada akal, sebagai sumbangan tamadun yang tulen dan relevan buat dunia yang sedang lemas dalam kekosongan makna kini. Agenda Islamisasi Ilmu, sebagaimana dirintis oleh al-Attas dan al-Faruqi, bukanlah semata-mata projek defensif untuk melindungi umat Islam daripada ancaman Barat. Lebih tepat, agenda itu merupakan satu tawaran epistemologi dan metafizik alternatif yang mampu menyembuhkan luka dikotomi yang telah lama mencederakan tamadun manusia sejagat. Semua ini mampu dicapai, asalkan ia dilaksanakan sebagai kerja keilmuan yang tekun, kritis, dan berterusan dan bukan sekadar slogan yang dilambung-main dan selamanya lemas dalam arus kitaran idealisme yang terawang-awangan.
Senarai Rujukan
- Al-Attas, S. M. N. (1978). Islam and secularism. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
- Al-Attas, S. M. N. (1995). Prolegomena to the metaphysics of Islam: An exposition of the fundamental elements of the worldview of Islam. International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
- Al-Faruqi, I. R. (1982). Islamization of knowledge: General principles and work plan. International Institute of Islamic Thought (IIIT).
- Bauman, Z. (2000). Liquid modernity. Polity Press.
- Cottingham, J. (1986). Descartes. Basil Blackwell.
- Descartes, R. (1984). The philosophical writings of Descartes: Volume II (J. Cottingham, R. Stoothoff, & D. Murdoch, Trans.). Cambridge University Press. (Karya asal diterbitkan 1641)
- Descartes, R. (1985). The philosophical writings of Descartes: Volume I (J. Cottingham, R. Stoothoff, & D. Murdoch, Trans.). Cambridge University Press. (Karya asal diterbitkan 1637)
- Gaukroger, S. (1995). Descartes: An intellectual biography. Clarendon Press.
- Hashim, R., & Rossidy, I. (2000). Islamization of knowledge: A comparative analysis of the conceptions of al-Attas and al-Fārūqī. Intellectual Discourse, 8(1), 19–44.
- MacIntyre, A. (1981). After virtue: A study in moral theory. University of Notre Dame Press.
- Merchant, C. (1980). The death of nature: Women, ecology, and the scientific revolution. Harper & Row.
- Sandel, M. J. (2012). What money can’t buy: The moral limits of markets. Farrar, Straus and Giroux.
- Taylor, C. (1989). Sources of the self: The making of the modern identity. Harvard University Press.
- Wan Daud, W. M. N. (1998). The educational philosophy and practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas: An exposition of the original concept of Islamization. International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
- Weber, M. (1930). The Protestant ethic and the spirit of capitalism (T. Parsons, Trans.). George Allen & Unwin. (Karya asal diterbitkan 1904–1905)
Penulis : Fakhry Harraz ([email protected])
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


