Penyelesaian yang tepat bagi sesuatu isu adalah berdasarkan bagaimana kita memahami akar permasalahan (root cause) isu tersebut. Dengan memahami akarnya membolehkan kita memahami faktor dan asal usul berlakunya sesuatu perkara, pengakhiran serta solusi perkara tersebut. Di sinilah falsafah ilmu berperanan sebagai landasan serta metodologi berfikir bagi seorang insan untuk menafsirkan sesuatu realiti. Mereka yang sumbernya terhad seperti sumber empirikal (sumber kajian dan pancaindera) semata-mata akan menyimpulkan realiti yang berlaku dengan makna yang sempit. Manakala insan yang falsafah ilmunya luas dan mengambil sumber ilmu bersepadu (melalui akal dan wahyu) mampu menyimpulkan realiti secara luas lalu menghasilkan kebenaran.
Kaedah yang boleh sama boleh diaplikasikan dalam memahami isu al-Quds. Sejauh mana seseorang itu merungkai akar permasalahan isu ini akan memberi kesan kepada sejauh mana dia mampu mengungkapkan penyelesaiannya. Atas sebab itu golongan yang mengutarakan penyelesain two state solution dikritik. Ini adalah kerana mereka menyangka (atau cuba mengangkat naratif) permasalahan yang berlaku adalah sekadar dua pihak nasionalis sedang berebut satu bidang tanah atau semata-mata isu geopolitik .
Namun apabila sumber penafsiran sejarah dan realiti diambil secara meluas, ia akan menghasilkan kesimpulan yang berbeza dengan naratif politik. Fakta dan realiti seperti sejarah pertembungan di Palestin, sejarah Nakbah, gambaran wahyu tentang Baitulmaqdis, al-Aqsa sebagai kiblat yang pertama, pengkhianatan bangsa Yahudi, Baitulmaqdis dalam Sirah Nabi SAW perlu diambil kira dalam memahami isu al-Quds. Dengan penafsiran yang menyeluruh ini, isu al-Quds bukan lagi dilihat sebagai pertembungan dua pihak dalam medan politik, tetapi realitinya merupakan pertembungan antara dua orde dunia.

Dalam buku Ismail Faruqi (1921-1986), Islam and the Problem of Israel beliau telah cuba menggariskan akar permasalahan kepada konflik al-Quds ini. Menurutnya, konflik ini lebih daripada sekadar isu nasionalis atau sebuah bangsa yang mahukan tanah akibat dizalimi. Zionisme adalah pergerakan yang terancang, berakar umbi sejak ribuan tahun serta tertanam kukuh sebagai sebuah ideologi sesat yang cuba menggugat umat Islam khususnya. Zionisme juga merupakan himpunan kepada seluruh ideologi yang lahir daripada rahim falsafah barat dan berteraskan politik Machiaveli.
Al-Faruqi menghuraikan akar permasalahan isu al-Quds ini secara tuntas berasaskan 17 persoalan yang dijawab pada 10 bab buku tersebut. Beliau juga menyatakan penyelesaian tuntas bagi isu ini adalah dengan Islam menjadi orde dunia. Orde Dunia Islam ini akan membawa keamanan dan kemakmuran pada perspektif hubungan antarabangsa berbanding “keamanan Barat” hari ini yang berdiri kekuatan bom atom dan kekerasan ketenteraan. Orde Barat ini realitinya membawa kebinasaan manakala Orde Islam adalah satu-satunya jalan keluar kepada kemakmuran insan.
Penyelesaian khusus bagi isu Palestin menurut al-Faruqi boleh disimpulkan sebagai ‘menghapuskan Israel dari peta dunia’. Beliau menggariskan tiga bentuk penyelesaian iaitu (1) penyatuan dunia Islam dengan memecahkan identiti nasionalisme tajaan Barat (2) negara haram Israel perlu dihapuskan apa sahaja cara termasuk dengan kekerasan dalam keadaan orang yahudi akan hidup aman di bawah pemerintahan Palestin tanpa penjajahan (3) Orang Yahudi diberikan hak kemanusiaan untuk tinggal di Palestin sebagai seorang zimmi. al-Faruqi mendokong perlunya sebuah gerakan revivalisme baru bersifat revolusi dan penentangan secara keras kerana cita-cita dan kehendak Zionis tidak dapat disekat melainkan dengan sebuah kebangkitan bersifat revolusi. Penyelesaian ini yang disaksikan dalam bentuk penentangan yang dilakukan oleh Hamas, kerana kekerasan adalah satu-satunya bahasa yang difahami oleh rejim Zionis.
Apa yang umat Islam hari ini perlu pelajari adalah budaya fikir pada akar permasalahan pada setiap isu umat Islam. Selain mengikuti berita atau perkembangan dunia Islam, kemampuan intelektual sebagai seorang muslim perlu dipertingkatkan. Dalam isu Al-Quds misalnya, sejarah penyelewengan Yahudi, sirah Nabi Muhammad SAW dengan Yahudi di Madinah, ideologi Zionism sebagai suatu falsafah perlu difahami dengan mendalam. Kefahaman akar permasalahan secara tepat ini akan membangunkan kerangka fikir yang tersendiri lalu dihimpunkan menjadi sistem fikir yang diletakkan asas kepada membangun peradaban masa hadapan.
Muhammad Firdaus Bin Zalani
Pengarah Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR)