Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu syiar utama dalam Islam. Ia berasal dari kalimah ‘Aid dalam bahasa Arab membawa maksud kembali, iaitu kembali kepada Allah SWT secara menyeluruh dan holistik. Pengertian ini menunjukkan bahawa perayaan dalam Islam bukan sekadar suatu adat atau tradisi tahunan, sebaliknya merupakan manifestasi ubudiyyah bertujuan membentuk jiwa dan kerangka fikir manusia agar selaras dengan fitrah yang diciptakan Allah SWT. Ia juga hadir sebagai titik peralihan daripada madrasah Ramadan kepada kesinambungan kehidupan seorang mukmin yang lebih sedar, matang dan mempunyai agenda hidup yang jelas.
Islam meletakkan perayaan sebagai satu bentuk ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT, yang berfungsi sebagai medium untuk mengembalikan manusia kepada fitrah asalnya sebagai insan. Falsafah perayaan ini bukanlah sekadar hari yang diwarnai dengan kegembiraan lahiriah dan juadah sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam. Tetapi ia adalah kegembiraan yang dirasai oleh seorang mukmin hasil daripada kejayaan melaksanakan ketaatan sepanjang Ramadan, yang seterusnya membentuk jiwa fitrah insani yang sentiasa menghubungkan setiap tindakan dengan Allah SWT.

Madrasah di bulan Ramadan menuntut kesinambungan. Tarbiah yang diterima tidak sepatutnya terhenti dengan berlalunya bulan mulia itu. Aidilfitri seharusnya menjadi titik mula kepada pengukuhan terhadap manhaj utama kehidupan iaitu al-Quran. Al-Quran merupakan sumber ilmu dan panduan yang membentuk worldview (tasawur) manusia. Kefahaman terhadap al-Quran melahirkan kerangka fikir yang menyeluruh, menghubungkan dimensi rohani, intelektual dan sosial. Ia selaras dengan peranan manusia sebagai khalifah bagi memikul amanah untuk mengurus kehidupan berdasarkan wahyu dan meninggikan kedudukan al-Quran melalui kefahaman yang mendalam terhadap tujuan penurunannya. Peranan ini menuntut al-Quran dijadikan asas dalam membuat keputusan, menyusun keutamaan, dan membina peradaban. Justeru, muhasabah selepas Ramadan adalah proses re-centering iaitu memusatkan kembali kehidupan agar berpaksikan al-Quran selari dengan fitrah kejadian manusia.
Selain itu, hubungan antara ibadah dengan perayaan dalam Islam tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya berakar pada dua dimensi utama kehidupan manusia, iaitu hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. Persamaan asas antara keduanya terletak pada matlamat penciptaan manusia, iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT. Kefahaman terhadap tujuan hidup ini melahirkan suatu kesedaran yang melangkaui kepentingan diri, di mana seseorang individu bukan sahaja mengejar kebahagiaan peribadi, bahkan turut memikirkan kesejahteraan masyarakat sekeliling. Kesedaran ini mendorong seseorang untuk berkorban dan berkongsi nikmat yang dimiliki, khususnya terhadap golongan yang memerlukan. Justeru, kekayaan tidak lagi dilihat sebagai hak mutlak individu, tetapi sebagai amanah yang perlu dizahirkan melalui rasa syukur kepada Allah SWT dengan membantu golongan fakir dan miskin. Seiring dengan itu, ungkapan hikmah yang menyatakan bahawa kebahagiaan sebenar bermula dengan membahagiakan orang lain mencerminkan hakikat fitrah manusia yang cenderung kepada kebaikan. Bahkan, keinginan untuk melakukan kebaikan sahaja sudah mampu menghadirkan ketenangan dalam jiwa.

Seiring dengan itu, pensyariatan Aidilfitri turut disertai dengan pelbagai hukum dan adab seperti bertakbir, menunaikan solat Aidilfitri, mengeluarkan zakat fitrah, serta menghidupkan amalan silaturahim dan saling memaafkan. Kesemua amalan ini mengandungi dimensi pendidikan yang mendalam dalam membentuk kerangka fikir masyarakat Islam. Ia mengajar bahawa kegembiraan hendaklah dizahirkan dalam batas syariat dan hubungan sosial perlu dibina atas dasar kasih sayang dan keadilan. Ini menunjukkan kehidupan manusia yang fitrah sentiasa berhubung dengan panduan wahyu yang mengarahkan untuk kembali kepada Allah SWT.
Kesimpulannya, Aidilfitri bukan sekadar penutup kepada bulan Ramadan, tetapi merupakan permulaan kepada kehidupan yang lebih bermakna bagi insan kembali kepada fitrah. Ia juga menuntut kepada manusia kembali mengukuhkan sumber ilmu melalui penghayatan al-Quran yang menjadi asbab kemuliaan insan. Ini kerana ibadah dan perayaan yang dilakukan bukan hanya semata-mata ubudiyyah kepada Allah SWT, tetapi hakikatnya melengkapkan dan membangun sisi insaniah yang sebenar (menjadi Khalifah).


