Polemik di manakah Allah ini merupakan polemik sejak zaman berzaman yang kekal sebagai khilaf hingga kini. Kecenderungan untuk memuktamadkan khilaf ini dan berpegang kepada sebuah pendapat sahaja masih samar kerana beberapa pendapat yang sedia ada mempunyai justifikasi yang valid berdasarkan hujahan yang dikemukakan. Polemik ini perlu diperhalusi (tahqīq) untuk merumuskan titik persepakatan dan perbezaan antara pendapat-pendapat yang ada. Ini bertujuan untuk mengurangkan pergeseran yang terhasil daripada polemik, dan menatijahkan noktah-noktah yang boleh disepakati walaupun bukan pada semua perkara.
Golongan yang mengikut jalan para salaf mengisbatkan sifat ‘uluw, yang menyatakan bahawa Allah bersemayam di atas ‘Arasy. Ini adalah berdasarkan beberapa nāṣ darial-Quran yang Hadith yang mengisbatkan sifat ‘uluw bagi Allah SWT.
Menurut kefahaman ini, ayat-ayat al-Quran dan Hadith tersebut perlu difahami secara lafaz haqīqī (hakikat), bukan majāzī (kiasan). Ini tidak bermakna kedudukan Allah sama seperti kedudukan makhluk, kerana kaifiyah ‘uluw itu tidak diketahui (samada makna ‘uluw ma’lūm atau tidak). Penafian terhadap sifat dilihat sebagai ta’ṭīl atau pembatalan sifat bagi Allah, di mana ini membawa makna kekurangan terhadap-Nya.
Sepatutnya semua orang beriman tentang Allah SWT sebagaimana yang disifatkan oleh-Nya sendiri. Pendapat ini ada asas yang kukuh, di mana kamāl (kesempurnaan) Allah SWT menurut golongan “salafi” ini adalah dengan menetapkan sifat-sifat sebagaimana adanya tanpa sebarang penambahan atau penolakan terhadap sifat-sifat tersebut.
Bahkan menyatakan bahawa ayat-ayat tersebut tidak memberi makna secara zahir yang adalah satu petunjuk kepada kelemahan dan kekurangan bagi Allah SWT. Kamāl bagi Allah menurut mereka adalah menetapkan sifat-sifat Allah sebagaimana Allah menyifatkan diri-Nya.
Manakala golongan khalaf seperti al-Asya’irah merasakan bahawa ayat mutasyābihāt yang memberikan waham tasybīh (sangkaan persamaan) antara Allah dengan makhluk perlu ditakwīlkan. Ayat-ayat mutasyābihāt ini dalam kategori majāz yang perludi takwīlkan berpandukan ayat-ayat muḥkamāt.
Ini adalah kerana menurut golongan al-Asya’irah dan selari dengannya, memahami ayat mutasyābihāt ini dengan makna zahir boleh menafikan kesempurnaan pada zat dan sifat Allah SWT. Apabila sifat seperti al-uluw difahami dengan makna lokasi, maka akan timbul sangkaan bahawa zat Allah berubah-ubah dan tidak qadim, di mana ini menandakan kekurangan serta kelemahan- nauzubillahi minzālik.

Dari sini datangnya ijtihad untuk memahami keluasan lafaz yang digunakan berdasarkan premis bahawa setiap kalimah dalam al-Quran itu ma’qūlah al-maknā (mempunyai makna yang diketahui) oleh al-rāsikhūn fī al-ilm (mereka yang mendalam ilmunya).
Makna-makna ini cuba dikemukakan oleh ulama golongan al-Asya’irah dalam kerangka memahami nuṣūṣ sesuai dengan kesempurnaan Allah SWT, dalam masa yang sama tidak membawa kepada ta’ṭīl (penafian atau pembatalan) teks asal nāṣter sebut.
Polemik ini boleh dilihat dari perspektif ontologi dan epistemologi, di mana aspek ontologi berpaksi pada pemahaman terhadap kesempurnaan pada zat, sifat dan perbuatan Allah SWT. Aspek epistemologi pula adalah pada sumber dan metode pemahaman ayat-ayat mutasyābihāt dalam menggambarkan kesempurnaan Allah SWT. Golongan khalaf merumuskan bahawa ayat-ayat mutasyābihāt ini mempunyai makna-makna muḥtamal selain daripada makna zahir, dimana makna muḥtamal ini perlu dikemukakan bersama dengan makna zahir.
Ini adalah kerana waham tasybīh (sangkaan persamaan Allah dengan makhluk) yang timbul daripada ayat-ayat mutasyābihāt perlu ditolak melalui takwīl yang sesuai dengan Allah SWT. Iḥtimāl makna yang dipilih adalah berdasarkan disiplin bahasa dan konteks ayat tersebut berpandukan kepada ayat-ayat muḥkamāt yang lain.
Selain itu, dalam nuṣūṣ al-Quran dan Hadith sendiri terdapat banyak arah dan lokasi yang disandarkan kepada Allah SWT, bukan sekadar dilangit semata-mata. Allah juga menyifatkan diri-Nya bersama dengan orang mukmin, paling hampir dengan hamba-Nya ketika sujud, berada di mana sahaja kamu berada, lebih dekat daripada urat leher dan pelbagai lagi lokasi.
Dalam menanggapi tanāquḍ (pertentangan) ini, khalaf menggunakan metode takwīl dalam konteks menghilangkan pertentangan dari sifat Allah SWT. Salaf pula melihat makna tersebut sesuai dengan zat Allah SWT, walaupun makna yang terlintas dalam fikiran manusia memberi waham tajsīm dan tasybīh secara zahir.
Kedua-dua salaf dan khalaf mengithbātkan kesempurnaan bagi sifat Allah dengan cara yang berbeza, di mana inilah titik persepakatan antara kedua-dua aliran ini, Salaf dengan tafwīḍ nāṣ sebagaimana ianya datang tanpa apa-apa penambahan sesuai dengan kesempurnaan Allah SWT, khalaf pula takwīl nāṣ dengan makna yang layak dengan kesempurnaan Allah SWT tanpa lari dari madlūl asal lafaz. Kedua-dua metode ini adalah valid dan sesuai pada masa dan tempatnya.
Menyatakan metode Asya’irah dalam isu sifat ‘uluw ini sebagai cara Aristotle atau Jahmiyah adalah tidak tepat. Beberapa persamaan yang wujud dalam menanggapi ketuhanan tidak bermakna aqidah yang dinyatakan sama secara total. Asya’irah mendirikan hujah bahawa zat Allah tidak boleh disifatkan dengan arah dan lokasi, kerana ini akan membawa kepada zat Allah itu berubah-ubah dan tidak qadīm.

Dalam masa yang sama, Al-Asya’irah menetapkan sifat‘uluw dalam erti al-makānah (kedudukan), bukan al-makān (lokasi). Ini berbeza dengan kefahaman Jahmiyah yang menafikan terus sifat ‘uluw.
Dalam masa yang sama, perkara ini dinyatakan oleh al-Ṭaḥāwī (w239H) sendiri, dimana beliau menggunakan metode tanzīh yang menafikan arah daripada Allah SWT, mirip dengan manhaj Asya’irah.
Ini menunjukkan keseragaman faham ulama terhadap tanzīh Allah SWT. Dalam masa yang sama, tidak semua salaf yang memahami ayat mutasyābihāt dengan makna tajsīm dan tasybīh.
Masalah hanya akan timbul apabila makna yang digunakan untuk memahami ayat ini membawa kekurangan zat dan sifat Allah SWT, serta menunjukkan tanāquḍ dalam memahami nuṣūṣ. Ini adalah usul aqidah yang sepatutnya dipegang oleh semua umat Islam dalam memahami isu dimana Allah.
Selain itu, antara usul aqidah yang penting adalah kesan daripada memahami zat Allah dan kedudukan-Nya. Adakah kita betul-betul mengakui keunggulan dan ketinggian martabat ketuhanan, yang menyebabkan kita beramal selaras dengan kehendak Allah SWT?
Ini yang dipesan oleh guru kami Dr Mahmoud Abd Rahman bahawa ramai umat Islam fokus pada bahagian pertama hadith tentang Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam, tetapi mengabaikan bahagian kedua hadith tentang keperluan amal, berdoa dan beristighfar pada waktu tersebut.
Maksudnya: “Rabb Tabāraka wa Ta’āla turun ke langit dunia pada setiap malam, iaitu pada saat sepertiga malam terakhir lalu berfirman, ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku nescaya akan Aku kabulkan dan siapa yang meminta kepada-Ku nescaya akan Aku berikan dan siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya akan Aku ampuni [Sahih Muslim, Kitāb Ṣolāt al-Musāfirīn, no: 757].


