Terjemahan Feminis: Antara Perjuangan Hak Wanita dengan Cengkaman Ideologi

Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Teori terjemahan feminis merupakan sebuah pendekatan yang menekankan bagaimana gender dan kuasa mempengaruhi proses terjemahan. Terjemahan membawa erti pemindahan makna dari satu bahasa ke bahasa lain tanpa menghilangkan makna teks sumber (Nida 1964). Namun, dalam konteks teori terjemahan feminis, terjemahan tidak dianggap sebagai proses yang neutral atau semulajadi sebaliknya berperanan sebagai arena di mana suara wanita dan kelompok terpinggir boleh diberi ruang serta struktur kuasa dalam bahasa dan teks boleh dianalisis. Justeru, teori terjemahan feminis membolehkan kajian menilai bagaimana tafsiran dan penghasilan teks dipengaruhi oleh faktor gender dan budaya (Simon 1996; Von Flotow 1997).

Secara umumnya, feminis ialah ideologi dan gerakan yang mengangkat hak wanita dalam masyarakat. Uniknya, ideologi ini wujud juga dalam bidang terjemahan. Permulaan munculnya istilah feminisme adalah pada abad ke-17, yang merupakan medium dalam menuntut kesedaran rakyat mengenai hak-hak demokratik serta menentang ketidakadilan hak yang dialami oleh para wanita pada ketika itu (Suhendradkk 2023). Zalila Sharif (2003) menjelaskan bahawa fahaman feminisme ini semakin berleluasa pada abad ke-18 apabila golongan wanita berasa mereka tidak mendapat hak yang sewajarnya dalam aspek pendidikan, harta, mengundi serta kebebasan dalam bermasyarakat. Kesedaran ini mendorong kaum wanita untuk menuntut hak mereka kepada pemerintah.

Dari sudut takrifan, istilah feminisme didefinisikan sebagai tingkah laku, mempunyai kualiti atau unsur yang secara khusus lebih memihak kepada kaum wanita. (Zaitul Azma 2007). Adapun menurut Febrianti (2019), istilah feminisme berasal dari kata femme (perempuan), yang merujuk kepada perjuangan untuk membela hak-hak perempuan sebagai golongan sosial. Beliau menjelaskan lagi bahawa wujudnya perbezaan antara male-female dan masculine–feminine (psikologi dan budaya) adalah perkara penting bagi menunjukkan perbezaan antara seks dan gender. Feminisme bertujuan untuk menciptakan keseimbangan dan kesetaraan antara  lelaki dan perempuan. Menurut Humm pula, feminisme merupakan ideologi transformasi sosial yang bertujuan menciptakan dunia yang lebih adil bagi perempuan. (Hardianti et al. 2025).

Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, Gender ditakrifkan sebagai jantina dan golongan jenis kata dalam tatabahasa sesuatu bahasa seperti maskulin, feminin dan neuter. Butler (1990) pula menyatakan bahawa gender sebagai konstruksi sosial yang dibentuk oleh norma budaya dan bahasa. Menurut Connell (2002), konsep gender berkait dengan kuasa dan hubungan sosial antara lelaki dan perempuan. Adapun West & Zimmerman (1987) mentakrifkan gender sebagai “doing gender” iaitu sesuatu yang dilakukan melalui interaksi sosial.

Kebelakangan ini, isu  ketidaksetaraan gender  menjadi perbualan hangat dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana, perbezaan gender menimbulkan ketidakadilan khususnya terhadap wanita. (Ida Nursida 2015). Antara bentuk ketidakadilan termasuk stereotaip, kekerasan dan beban kerja yang tidak seimbang. Hal ini demikian kerana wanita sering dianggap sebagai individu yang tekun, sabar dan pendidik. Justeru, pekerjaan yang dianggap sesuai bagi mereka ialah guru, setiausaha atau pembantu rumah. Sebaliknya, jawatan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi seperti pengarah atau guru besar lazimnya dipegang oleh lelaki (Fakih 2023). Beliau jelas mengatakan jawatan tertentu dimonopoli oleh lelaki. Bertitik tolak daripada kenyataan ini maka, kajian teori feminisme dianalisis bagi mengatasi ketidakadilan sosial dalam bidang terjemahan. 

Isu perbezaan gender turut dibincangkan melalui kerangka teori terjemahan feminis yang menekankan hubungan antara bahasa, kuasa dengan representasi gender. Walaupun teori ini bertujuan menegaskan kesetaraan antara lelaki dengan wanita, kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa suara dan pengalaman wanita dalam teks terjemahan masih sering dipengaruhi oleh norma patriarki serta stereotaip gender. Tambahan pula, perbincangan mengenai aspek gender dalam teori terjemahan feminis didapati tidak seragam sama ada dari segi pendekatan teori, fokus kajian mahupun konteks budaya yang dianalisis.

Selain itu, kajian empirikal dan konseptual berkaitan teori terjemahan feminis masih cenderung tertumpu kepada konteks Barat arus perdana, manakala kajian yang meneliti teori ini dalam konteks bahasa minoriti atau budaya tertentu seperti Quebec adalah terhad dan belum menyeluruh. Keadaan ini menunjukkan wujudnya jurang dalam kajian sedia ada khususnya, teori terjemahan feminis dan aspek gender yang memerlukan penelitian lanjut.

Penterjemah sebagai Subjek Beragensi (Gendered Agency)

Dalam kerangka teori yang dikemukakan oleh Sherry Simon (1996), peranan penterjemah wanita ditakrifkan semula dengan menolak persepsi konvensional yang seringkali meminggirkan mereka sebagai sekadar penyampai teks yang pasif. Simon menegaskan bahawa penterjemah sebenarnya berfungsi sebagai aktivis sastera dan agen budaya yang berautoriti dalam menentukan hala tuju makna. Agensi ini bukan sahaja melibatkan pemindahan bahasa, malah merupakan satu bentuk intervensi sedar di mana identiti dan posisi ideologi penterjemah menjadi tunjang utama dalam proses transmisi idea. Dapatan ini disokong oleh hujah Olga Castro dan Emek Ergun (2018) yang menyatakan bahawa pilihan dalam terjemahan tidak pernah bersifat neutral, sebaliknya ia dibentuk secara aktif oleh kesedaran jantina dan etika feminis penterjemah sebagai subjek yang berpolitik.

Sehubungan itu, kajian ini mendapati bahawa agensi penterjemah wanita berupaya meruntuhkan konsep “ketidaknampakan penterjemah” (translator’s invisibility) yang selama ini mendominasi bidang penterjemahan tradisional. Melalui lensa Isra Irshad dan Musarat Yasmin (2022), penterjemah dilihat sebagai entiti yang sedar akan dinamika kuasa dan menggunakan strategi tertentu untuk mencabar wacana patriarki. Hal ini terbukti dalam konteks yang lebih kompleks seperti terjemahan teks agama, di mana penglibatan tokoh seperti Laleh Bakhtiar membuka ruang kepada tafsiran yang lebih peka gender. Rui Gao (2024) turut mengukuhkan dapatan ini dengan menunjukkan bahawa subjektiviti penterjemah bukan sekadar isu teknikal, tetapi merupakan manifestasi kuasa yang membolehkan suara wanita diangkat sebagai subjek yang sah dan berdaulat dalam teks sasaran. Implikasinya, agensi penterjemah bukan sekadar isu linguistik, tetapi merupakan satu tindakan epistemik yang mencabar autoriti mutlak dalam penterjemahan tradisional, sekaligus memberikan ruang kepada keberadaan wanita dalam sejarah intelektual.

Strategi dan Teori Terjemahan Feminis 

Dapatan daripada sorotan literatur mendedahkan bahawa strategi terjemahan feminis bukanlah sekadar transformasi linguistik yang bersifat teknikal, malahan ia merupakan manifestasi daripada kesedaran jantina dan pegangan ideologi penterjemah. Sherry Simon (1996) menghuraikan bahawa dalam sistem bahasa yang mempunyai penandaan gender tatabahasa, penterjemah memikul tanggungjawab besar dalam merundingkan dinamika kuasa melalui setiap pilihan perkataan. 

Dalam hal ini, pendekatan feminis berfungsi sebagai instrumen untuk membetulkan ketidakseimbangan jantina dalam teks melalui intervensi yang terancang. Antara langkah yang dominan termasuklah pengintegrasian bahasa inklusif serta penolakan terhadap struktur bahasa yang terlalu memihak kepada maskulin. Sehubungan itu, Olga Castro dan Emek Ergun (2018) menekankan peranan parateks seperti prakata (prefacing) dan nota kaki (footnoting) sebagai ruang strategik bagi penterjemah untuk menzahirkan identiti serta posisi politik mereka kepada pembaca. Malah, teknik radikal seperti hijacking digunakan secara sengaja untuk mengubah suai atau mencabar elemen patriarki dalam teks asal, sekaligus menolak mitos bahawa terjemahan mestilah bersifat pasif dan neutral.

Seterusnya, kajian oleh Isra Irshad dan Musarat Yasmin (2022) menyokong dapatan ini dengan menegaskan bahawa metodologi feminis bertujuan untuk mengganggu hegemoni lelaki dalam bahasa dan mengangkat pengalaman wanita yang seringkali dipinggirkan. Terjemahan diangkat sebagai sebuah arena perjuangan di mana makna asal dinilai semula melalui rombakan struktur ayat dan sudut pandang penceritaan. Selaras dengan itu, Rui Gao (2024) memperincikan strategi ini melalui penggunaan gaya bahasa yang lebih menyeluruh serta keberanian dalam mengekalkan rujukan fizikal dan anatomi wanita secara nyata. Proses transformasi terminologi ini bukan sahaja menolak normalisasi perspektif lelaki sebagai piawaian universal, malahan mengesahkan kehadiran wanita sebagai subjek yang berdaulat. 

Kesimpulannya, strategi yang dibincangkan oleh sarjana seperti Zunaidi Nur (2019) dan Al-Awawdeh (2023) membuktikan bahawa teori terjemahan feminis telah berkembang menjadi sebuah respons kritis terhadap wacana patriarki, di mana setiap keputusan penterjemahan berfungsi sebagai alat ideologi untuk menjamin kesetaraan makna dan memperkasakan suara wanita dalam literatur dunia. Hal ini membuktikan bahawa evolusi strategi feminis telah mengubah landskap penterjemahan daripada sekadar proses literal kepada satu bentuk wacana yang peka terhadap keadilan sosial dan representasi jantina.

Diskriminasi antara Feminis Barat dengan Feminis Arab

Menurut Sherry Simon (1996), pengalihan cara berfikir dan struktur kuasa menjadi alat yang saling berkait dengan hubungan gender dan terjemahan. Pengkaji gender di Arab dan India seringkali dianggap membawa masuk konsep feminisme Barat dan agenda imperialis. Hal ini merupakan faktor penolakan masyarakat terhadap gagasan feminisme kerana ia boleh merosakkan nilai budaya dan tradisi tempatan (Alsharekh, A. 2016). 

Realitinya, Salaheddine Bekkaoui (2024) memetik kenyataan daripada Hartman (2020) iaitu seorang penterjemah terkenal karya sastera Arab yang menyatakan bahawa Barat telah menghasilkan teks yang mengandungi pengulangan stereotaip kepada golongan wanita. Justeru, mereka telah banyak mengubah elemen teks asal hanya untuk menghasilkan teks yang bersesuaian dengan ideologi mereka. Pengubahan yang dilakukan bagi menepati imaginasi pembaca Barat berbentuk terjemahan judul dan penyusunan semula plot sehingga mengubah makna teks asal. Hal ini dapat dibuktikan melalui novel berjudul Hikayat Zahra (1980) yang diterjemah oleh Peter Ford pada tahun 1986 dan Misk al-Ghazal (1989). Terdapat penyesuaian ideologi pada kedua-dua novel tersebut yang merupakan karya seorang sastera wanita Arab bernama Hanan al-Shaykh. Pengubahsuaian proses terjemahan terhadap teks asal novel The Story of Zahra berlaku dalam skala yang besar kerana ia melibatkan pemadaman maklumat penting seperti latar belakang, hubungan peribadi serta persekitaran sosial dan budaya watak. Mereka lebih cenderung mengubah penonjolan teks feminis Arab dalam terjemahan novel agar dapat melemahkan imej protagonis wanita Arab yang sebenar (Zaylah, P., Hilal, H., & Yahchouchi, L. 2021).

Sehubungan itu, penterjemahan juga boleh mengambil alih konsep, isi kandungan termasuk pertukaran judul karya bagi mengukuhkan stereotaip masyarakat Arab sedia ada. Misalnya, novel karya seorang feminis Arab Nawal El Saadawi, yang berjudul al-Wajh al-ʿĀrī lil-Marʾa al-ʿArabiyyah manakala terjemahan Barat memperkenalkan judul The Hidden Face of Eve. Mahrooqi, R., & Denman, C. (2016) memetik kenyataan daripada Tag-El-Din (2009) mengemukakan bahawa terdapat perbezaan makna daripada kedua-dua judul tersebut. Judul bahasa Arab menerangkan mengenai pembebasan dan pendedahan wanita yang tertindas agar disuarakan dan diatasi isu tersebut manakala judul bahasa Inggeris menekankan ketertindasan dan penyembunyian selari dengan stereotaip mereka ke atas masyarakat Arab. Begitu juga, buku tulisan Anbara Khalidi (Lubnan) pada tahun 1978 dan tulisan Huda Shaarawi (Mesir) pada tahun 1981 telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris merupakan penterjemahan feminis Barat terhadap teks Arab feminis yang mengandungi pelbagai unsur tambahan. Penterjemah Barat telah memanipulasi tajuk buku, menukar imej kulit buku serta menambah parateks dan nota kaki bagi menyesuaikan teks asal dengan agenda feminis mereka (Al-Batineh, M., & Al-Issa, M. 2024).

Konflik antara Feminisme dengan Autoriti Teks Suci

Menurut Etikasari (2024), ideologi feminisme yang berkembang di Barat telah mempengaruhi pemikiran feminis Islam sehingga mereka berani mengkritik Al-Quran, hadis dan undang-undang Islam. Hasil daripada dasar gerakan tersebut yang menggagaskan semangat emansipasi kepada golongan wanita menyebabkan penglibatan proses penafsiran semula karya ulama klasik agar kekal relevan. Contohnya, tindakan Amina Wadud menafsirkan ayat Al-Quran berkenaan gender dengan memasukkan pengalaman wanita ke dalam proses penafsiran. Perkara ini memperlihatkan akan kepentingan konteks serta pengalaman wanita untuk memahami ayat al-Quran. Selain itu, Zunaidi Nur (2019) memaparkan kaedah Dr. Laleh Bakhtiar yang juga membawa kesedaran terhadap keadilan gender dalam menterjemahkan ayat al-Quran. Beliau menukar makna perkataan tertentu dan menggunakan simbol (f) sebagai penanda gender dalam bahasa Inggeris untuk merujuk kepada ideologi feminis. Pada zahirnya, ia kelihatan seperti menghapuskan sistem hierarki yang mendiskriminasi golongan wanita namun hakikatnya, tindakan tersebut telah menerapkan dan menambahkan kesetaraan gender yang tidak diperlukan dalam Al-Quran.

Seterusnya, hal ini diperincikan lagi melalui perdebatan feminisme terhadap teologi perasaan benci kepada wanita atau “misogini’ dalam ayat al-Quran iaitu mengenai penciptaan wanita daripada tulang rusuk Nabi Adam AS. Antara isu yang ditimbulkan ialah terdapat konotasi yang merendahkan martabat wanita. Tambahan pula, feminis turut berdebat pada Surah al-Nisa’ ayat 34 yang menunjukkan kuasa dominan bagi lelaki untuk melindungi wanita. Wujud juga perselisihan dalam hadis Nabi SAW berkenaan kebanyakan penghuni neraka ialah daripada golongan wanita. Mereka mempertikaikan sambungan hadis tersebut pada ucapan Nabi SAW yang menyifatkan golongan wanita seakan-akan orang yang kurang akalnya dan agamanya (Hidayah, A. 2020). Justeru, feminis menganggap suatu keperluan bagi para mufassir untuk mengulang tafsir kerana terdapat ayat diskriminasi terhadap wanita lebih-lebih lagi, ketidakadilan tindakan para mufassir klasik yang cenderung meletakkan kelebihan lelaki melebihi wanita dalam teks al-Quran dan hadis. Namun begitu, Niam, Z. W. (2019) menyatakan dari sudut lain bahawa terdapat feminis Muslim yang tidak menyeleweng dalam memperjuangkan hak wanita kerana meyakini kurniaan Allah SWT kepada seluruh manusia. 

Berdasarkan perspektif lain, Mujahidin, S. (2021) mengemukakan bahawa feminis Simone De Beauvoir berkeinginan untuk membebaskan wanita dari cengkaman penindasan dan ketidakadilan sejarah mahupun agama melalui Post-Feminisme. Meskipun begitu, beliau bersikap memilih dalam menerima ayat al-Quran yang hanya menyokong kesamaan gender. Hal ini menunjukkan penolakan beliau terhadap sebahagian ayat lain yang dianggap tidak adil terhadap wanita. Oleh yang demikian, feminis tersebut mengemukakan beberapa strategi kepada wanita untuk mengelakkan penindasan dari lelaki antaranya, beliau menyeru wanita agar menjadi seorang yang berintelektual, berkerja, dan memiliki kekuatan ekonomi tersendiri.

Penterjemah sebagai Subjek Beragensi (Gendered Agency)

Dapatan kajian ini mengesahkan bahawa penterjemah wanita bertindak sebagai subjek beragensi yang membawa autoriti intelektual dalam setiap karya yang dihasilkan. Berbeza dengan tanggapan tradisional yang meletakkan penterjemah sebagai figura yang pasif, hasil analisis menunjukkan bahawa penterjemah secara aktif melakukan intervensi teks bagi memastikan perspektif wanita tidak tenggelam.

Sebagai contoh, agensi ini dapat dilihat melalui tindakan Laleh Bakhtiar (2011) yang memilih untuk menterjemah istilah “اضربوهنّ” dalam Surah An-Nisa (4:34) sebagai “go away from them” dan bukannya “beat them“. Tindakan ini bukan sekadar pilihan linguistik, tetapi merupakan manifestasi agensi penterjemah untuk memberikan tafsiran yang lebih adil dan tidak bersifat menindas wanita. Hal ini membuktikan bahawa penterjemah wanita menggunakan autoriti mereka untuk mencabar norma patriarki yang sedia ada dalam terjemahan tradisional dan secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa agensi penterjemah turut dipengaruhi oleh faktor geografi dan ideologi dimana penterjemah di Barat seperti Laleh Bakhtiar (2011), memaparkan agensi yang lebih terbuka dan radikal manakala penterjemah di Timur Tengah seperti Umm Muhammad (1995) mempamerkan agensi yang lebih terikat dengan tradisi namun tetap berusaha menonjolkan keberadaan wanita dalam teks.

Strategi dan Teori Terjemahan Feminis

Seterusnya, dapatan kajian bagi tema kedua mendedahkan bahawa aplikasi strategi terjemahan feminis berfungsi sebagai alat kritikal untuk merombak struktur kuasa dalam teks. Analisis menunjukkan bahawa strategi seperti supplementing dan prefacing merupakan keputusan strategik untuk menangani kecenderungan maskulin dalam teks.

Contohnya, strategi supplementing digunakan dengan cara menambah maklumat tambahan dalam kurungan atau menggunakan nota kaki untuk menjelaskan rujukan jantina. Dalam kajian Najlaa Aldeeb (2022), Laleh Bakhtiar (2011) menggunakan strategi ini untuk memastikan kata ganti nama feminin yang jelas (seperti penggunaan “f” bagi merujuk kepada kumpulan wanita) tidak hilang dalam struktur bahasa sasaran yang lebih neutral. Selain itu, penterjemah juga menggunakan prefacing (prakata) untuk menjelaskan kedudukan ideologi mereka sebagai wanita yang sedang melakukan “penulisan semula” terhadap teks tersebut. Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan bahawa penterjemah berjaya mengubah paradigma penterjemahan daripada sekadar pemindahan makna literal kepada satu tindakan subversif yang mengangkat martabat pengalaman wanita. 

Secara tuntasnya, aplikasi strategi terjemahan feminis oleh beberapa tokoh ini membuktikan bahawa pilihan kata dalam terjemahan mampu mengubah cara pandang lama yang sering meminggirkan wanita. Hal ini kerana, keupayaan penterjemah untuk memberi penjelasan tambahan dalam teks agama menunjukkan bahawa tafsiran yang peka jantina dapat memberikan gambaran yang lebih adil dan saksama terhadap peranan wanita dalam teks suci.

Diskriminasi antara Feminis Barat dengan Feminis Arab

Terdapat persamaan gagasan feminisme antara feminis Barat dengan feminis Arab iaitu memperjuangkan hak wanita. Namun, dasar ideologi daripada Barat lebih ekstrem dan bersifat menjejaskan reputasi feminis dari rantau lain. 

Hal ini dibuktikan melalui kesalahtafsiran Barat terhadap permasalahan identiti asal masyarakat Arab dalam bidang terjemahan karya sastera. Dalam konteks ini, wujud gambaran identiti tersebut dalam keadaan tidak asli dan berat sebelah kerana mereka telah menapis identiti Arab mengikut kerangka pemikiran mereka sendiri. Selain itu, penjajahan Barat ke atas mereka juga menjadi faktor kedudukan identiti Arab berubah-ubah mengikut struktur konteks hubungan kuasa dan sosial. Mereka menganggap bahawa masyarakat Arab memerlukan “penyelamat” melalui pencerahan Barat. Oleh yang demikian, kuasa Barat mencapai matlamat tersebut menerusi penguasaan naratif negatif masyarakat Arab dengan mengatakan mereka sebagai suatu yang misteri, mundur, tradisional, berbahaya dan sensual (Mahrooqi, R. & Denman, C. 2016).

Selain itu, jelaslah bahawa gerakan feminisme mengimplementasikan gagasan tersebut mengikut strategi teori feminis dalam terjemahan. Meskipun demikian, terdapat juga kecenderungan penterjemah terhadap pembawaan ideologi sebenar yang cuba menerapkan pemikiran stereotaip tersebut kepada masyarakat di rantau lain.

 Hal ini diperkukuh melalui petikan Hartman (2020) dalam artikel Salaheddine Bakkaoui (2024) bahawa kesetiaan dalam penterjemahan merujuk kepada penyesuaian teks asal terhadap pemahaman dan perspektif pembaca Barat. Tambahan pula, manifestasi suatu keputusan politik dan ideologi bagi mempengaruhi cara pembaca Barat melihat budaya Arab merupakan peringkat pertama dalam pemilihan teks untuk penterjemahan (Salaheddine Bakkaoui 2024). 

Konflik antara Feminisme dengan Autoriti Teks Suci

Feminis Barat turut menyumbang kepada salah tafsiran terhadap budaya dan agama masyarakat Arab selain daripada melakukan penterjemahan berdasarkan stereotaip. Hal ini semakin membingbangkan kerana mereka mengaitkan terjemahan gender dengan ayat al-Quran yang dianggap mempunyai unsur diskriminasi terhadap wanita. Seiring dengan itu, mereka juga memperlihatkan agama Islam sebagai imej yang negatif. 

Primadhany, E. F. (2023) menyatakan bahawa permasalahan sebenar yang berlaku kepada golongan wanita Arab ialah daripada diskriminasi kelas sosial dan struktur pemerintahan yang kejam kecuali penindasan daripada peraturan agama. Namun, timbul perspektif yang berlebihan mengenai salah tafsir ayat-ayat al-Quran berunsur gender yang dimanfaatkan oleh Barat untuk menjatuhkan kredibiliti Islam (Niam, Z. W. 2019). Mereka memukul rata fahaman bahawa agama Islam di seantero dunia memperlakukan wanita dengan ketidakadilan (Hasyim, Z. 2012). Rentetan daripada itu, muncul solusi daripada feminis Simone De Beauvoir melalui pendekatan Post-Feminisme. Beliau menerima sebahagian ayat al-Quran dan menolak sebahagian ayat yang lain kerana beranggapan bahawa terdapat ayat ketidakadilan terhadap wanita. Walhal, solusi bagi pendekatan tersebut masih tidak menepati mesej Islam secara keseluruhannya kerana beliau menzahirkan ketidakakuratan imej diskriminasi dalam konteks ayat al-Quran.

Jika diteliti, feminis Muslim juga turut terlibat dalam terjemahan teks agama walaupun ideologi feminisme berasal daripada Barat. Hal ini berlaku kepada feminis radikal kerana mereka terpengaruh dengan ideologi Barat sehingga sanggup mencabar autoriti teks suci. Keadaan ini dapat disimpulkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan terhadap pegangan gagasan feminisme di Barat dan di Timur Tengah (kecuali feminis yang radikal). 

Peranan feminis yang sejati telah dibuktikan melalui kenyataan Hamidah, H. (2011) bahawa emansipasi wanita perlu berada dalam batas ajaran agama Islam yang lurus. Justeru, teori terjemahan yang berdasarkan kecenderungan ideologi boleh membawa kepada tindakan yang tidak wajar dan berlebihan apatah lagi apabila berhadapan dengan ayat al-Quran.

Kesimpulan

Kajian ini menekankan bahawa teori terjemahan feminis dari lensa Sherry Simon boleh dilihat dalam lingkungan perspektif yang luas. Berdasarkan analisis data, kajian menunjukkan kepentingan peranan penterjemah memanfaatkan kuasa mereka untuk mencabar norma patriarki sedia ada dalam terjemahan tradisional serta penggunaan strategi dan teori terjemahan feminis yang tepat. Walaupun begitu, berlaku diskriminasi antara feminis Barat dengan feminis Arab sehingga menyebabkan konflik terhadap karya sastera Arab dan autoriti teks suci. Implikasi yang lebih meluas daripada kajian ini memperlihatkan keperluan untuk mematuhi etika penterjemahan meskipun gerakan feminisme mempunyai matlamat yang tersendiri. Hal ini telah menyebabkan berlaku tindakan yang berlebihan seperti tanggapan stereotaip kepada bangsa lain, penyelewengan karya sastera Arab serta mencabar kesucian al-Quran. Sumbangan utama kajian ini adalah pengkaji dapat melihat sejauh mana kajian-kajian lepas membincangkan mengenai teori terjemahan feminis ini dalam aspek yang berbeza sekaligus menyatakan dapatan kajian sewajarnya. Sehubungan itu, kajian seterusnya wajar untuk meneliti dan menilai perkembangan jangka masa panjang penggunaan teori terjemahan feminis dalam karya sastera Arab dan al-Quran serta pendekatan bagi menangani diskriminasi feminis Arab yang tertindas. Oleh itu, seruan kepada penterjemah feminis agar berhati-hati dalam melakukan penterjemahan feminisme kerana matlamat yang murni tidak mewajarkan penggunaan kaedah yang tidak beretika.

RUJUKAN

  1. Al-Awawdeh, A. 2023. Gender Awareness in Translation: A Study of Feminist Strategies in Literary  Works. Journal of Language and Cultural Studies 5(2): 45-60.
  2. Al-Batineh, M., & Al-Issa, M. 2024. Feminist Translation and Paratextual Mediation: The Case of Shaarawi’s and Khalidi’s Memoirs in English. Cogent Arts & Humanities 11(1): 2-14.
  3. Aldeeb, N. R. 2022. Feminist Strategies in Qur’an Translations: A Comparative Study of The Sublime Quran and Saheeh International. International Journal of Linguistics, Literature and Translation (IJLLT) 6(1): 10-19.
  4. Alsharekh, A. 2016. Instigating Social Change: Translating Feminism in The Arab World and India. QScience Connect A Qatar Foundation Academic Journal 1: 3-8.
  5. Anon. 2025. Sherry Simon. https://www.concordia.ca/faculty/sherry-simon.html [24 Disember 2025].
  6. Bakhtiar, L. 2011. The Sublime Quran. Chicago: Kazi Publications.
  7. Bekkaoui, S. 2024. Between The Harem and Feminism: The Translation and Circulation of Arab Women Novelists. International Journal of Linguistics and Translation Studies5(4): 99-110.
  8. Butler, J. 1990. Gender Trouble: Feminism and The Subversion of Identity. Routledge.
  9. Castro, O. & Ergun, E. 2018. Feminist Translation Studies: Local and Transnational Perspectives. Routledge.
  10. Connell, R. W. 2002. Gender. Polity Press.
  11. Etikasari. 2024. Agama dan Postmodern (Analisis Studi Gender Pendekatan Ilmu Dakwah). Jurnal Manajemen Dakwah TADBIR 6(1): 67-80.
  12. Fakih, M. 2023. Analisis Gender dan Transformasi Sosial. Pustaka Pelajar.
  13. Febrianti, I. 2019. Feminisme dalam Sastera: Sebuah Tinjauan Teori. Jurnal Budaya dan Sastera 12(1): 45-58.
  14. Gao, R. 2024. Subversiveness and Subjectivity: The Role of Women Translators in Contemporary Literature. Global Translation Review 12(1): 102-118.
  15. Hamidah, H. 2011. Gerakan Tahrirul Mar’ah dan Feminisme (Studi Terhadap Kesetaraan Gender dalam Islam). Wardah 12(1): 1-8.
  16. ardianti, S., Yusra, A. & Amin, M. 2025. Ideologi Transformasi Sosial dalam Gerakan Feminisme Moden. Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan 20(1): 112-125.
  17. Hasyim, Z. 2012. Perempuan dan Feminisme dalam Perspektif Islam. Muwâzâh Jurnal Kajian Gender 4(1): 70-86.
  18. Hidayah, A. 2020. Feminisme dan Anti-Feminisme: Bias Teologi Gender yang Disalah Pahami. Jurnal Buana Gender 5(1): 16-17.
  19. Ida Nursida. 2015. Ketidakadilan Gender dalam Karya Sastera: Satu Analisis Kritikal. Jurnal Citra Wanita 9(2): 88-103.
  20. Irshad, I. & Yasmin, M. 2022. Feminism in Translation: A Critical Analysis of Gender-Inclusive Language. Journal of Humanities and Social Sciences 14(3): 210-225.
  21. Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  22. Mahrooqi, R., & Denman, C. 2016. Arab Identity and Literature in Translation: The Politics of Selection and Representation. Arab World English Journal (AWEJ) Special Issue on Translation 5: 5-20.
  23. Mujahidin, S. 2021. Pengamalan Al-Quran Perspektif Post-Feminisme Simone De Beauvoir. Hermeneutik: Jurnal Ilmu Al-Qur’an Dan Tafsir 15(2): 299-311.
  24. Niam, Z. W. 2019. Eksistensi Malala Yousafzai Dalam Mengubah Perspektif Dunia Barat Terhadap Perempuan Muslim. Jurnal Kajian Islam Interdisipliner 4(1): 21-44.
  25. Nida, E. A. 1964. Toward A Science of Translating. E.J. Brill.
  26. Nur, Z. 2019. Ideologi dalam Terjemahan Al-Quran Perempuan: Studi Studi Kritis atas The Sublime Quran Karya Laleh Bakhtiar. Disertasi Dr. Fal, UIN Sunan Kalijaga 
  27. Nur, Z. 2019. Strategi Terjemahan Teks Sensitif Gender: Satu Tinjauan Teori. Jurnal Penterjemahan Alam Melayu 4(1): 15-30.
  28. Primadhany, E. F. 2023. Kesalahpahaman Barat Tentang Perempuan Muslim: Kritik Lila Abu-Lughod dalam Do Muslim Women Need Saving?. Musãwa Jurnal Studi Gender dan Islam 22(2): 226-238.
  29. Simon, S. 1996. Gender in Translation: Cultural Identity and The Politics of Transmission. Routledge.
  30. Suhendra, A., Pratama, R. & Wijaya, K. 2023. Sejarah dan Evolusi Gerakan Hak Demokratik Wanita di Eropah. Jurnal Sejarah dan Tamadun 15(3): 201-218.
  31. Umm Muhammad. 1995. The Qur’an: Arabic Text with Corresponding English Meanings. Riyadh: Saheeh International.
  32. Von Flotow, L. 1997. Translation and Gender: Translating in The ‘Era of Feminism’. St. Jerome Publishing.
  33. West, C. & Zimmerman, D. H. 1987. Doing Gender. Gender & Society 1(2): 125-151.
  34. Zaitul Azma Zainon Hamzah. 2007. Bahasa dan Gender: Satu Tinjauan Sosiolinguistik. Jurnal Linguistik 5(1): 30-45.
  35. Zalila Sharif. 2003. Perkembangan Pemikiran Feminisme dan Hak Wanita dalam Sejarah. Jurnal Perspektif Gender 2(1): 10-25.
  36. Zaylah, P., Hilal, H., & Yahchouchi, L. 2021. Women Moving Across Cultures: The Representation of Zahra’s Character in The English Version of Hanan al-Shaykh’s The Story of Zahra. International Journal of Comparative Literature & Translation Studies 9(4): 1-12.

Penulis 1 : Nur Hafizatul Solehah binti Norizan, Prasiswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Instagram : solehahhafizah
Penulis 2 : Nur Maisarah binti Mohd Yusop, Prasiswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Instagram : nr_maisarahh03

Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights