Majoriti kita tatkala mendengar perkataan mahasiswa, sudah pastinya fikiran akan terbawa melayang ke universiti. Sebuah institusi besar yang gah berdiri, menampung lautan manusia yang dahagakan ilmu dan menjadi pusat kecemerlangan dalam pelbagai bidang keilmuan. Universiti sering digambarkan sebagai mercu tanda ketamadunan, tempat lahirnya idea-idea segar, serta medan pertemuan antara ilmuwan, akademik, dan golongan intelektual lantas menjadi denyut nadi sesebuah tamadun.
Berbalik kepada mahasiswa dan universiti. Benar, dua perkataan ini begitu sinonim bersama, umpama dua unsur yang tidak dapat dipisahkan, sepertimana proton dan neutron, umpama isi dan kulit. Kewujudan mahasiswa memberi roh kepada universiti, lalu menjadikan universiti itu lebih daripada sekadar bangunan konkrit yang megah. Sebaliknya, ia berdiri gah sebagai wadah yang membentuk jati diri mahasiswa, menggilap pemikiran mereka dan mengangkat martabat ilmu ke tahap yang lebih tinggi. Kedua-dua nama ini memikul amanah yang besar dalam kesinambungan ilmu. Amanah yang besar ini menuntut setiap universiti dan mahasiswa agar kembali mencari makna kebenaran ilmu bagi melonjakkan potensi sebenar ke tahap yang lebih tinggi.
Tanpa mahasiswa, tiada maknalah sebuah universiti itu. Begitu juga sebaliknya, tanpa universiti, siapalah mahasiswa itu.
Siapa Itu Mahasiswa?
Persoalan yang ingin penulis dibangkitkan; siapakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan mahasiswa?
Secara etimologi, perkataan mahasiswa berasal daripada dua kata dalam bahasa Sanskrit, iaitu maha (मह) dan sisya (शिष्य). Maha membawa makna besar, tinggi, atau berkuasa, manakala sisya atau siswa merujuk kepada pelajar di institusi pendidikan tinggi, khususnya universiti. Dalam konteks bahasa Melayu pula, Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan mahasiswa (مهاسيسوا) sebagai pelajar atau penuntut di universiti, manakala kemahasiswaan merujuk kepada segala hal yang berkaitan dengan mahasiswa.
Daripada sudut bahasa ini, dapat penulis simpulkan bahawa mahasiswa itu bukannya sekadar pelajar biasa, tetapi golongan yang berada di kedudukan tertinggi dalam hierarki intelektual masyarakat. Mahasiswa merupakan antara golongan yang menguasai tangga tertinggi piramid intelektual. Penulis berpendapat, kedudukan istimewa ini tidaklah datang tanpa sebab, sebaliknya ia boleh disandarkan kepada dua perkara utama.
Pertama sekali, mahasiswa itu merupakan individu yang mempunyai kapasiti dan kebolehan akal fikiran yang lebih tinggi. Mahasiswa adalah individu yang telah melalui tapisan akademik yang ketat dan diakui mempunyai kebolehan intelektual untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Mereka bukan sekadar penerima ilmu, tetapi juga pelopor pemikiran yang mencorakkan masa depan masyarakat.
Sandaran kedua pula melibatkan amanah besar yang dibawa oleh mahasiswa dalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Mahasiswa bukan sahaja bertanggungjawab menimba ilmu tetapi juga mengkaji, menganalisis, serta menyampaikan ilmu kepada masyarakat sekeliling. Peranan mereka lebih daripada sekadar memenuhi keperluan akademik peribadi semata-mata tetapi mereka adalah agen perubahan dalam lanskap keilmuan dan sosial masyarakat. Mahasiswa perlu memperlihatkan diri sebagai satu manifestasi ilmu yang memberikan seribu satu manfaat kepada masyarakat.
Inilah seharusnya konteks intelektual yang mampu ditonjolkan oleh mahasiswa, dengan menterjemahkan kapasiti dan kebolehan ini ke pelbagai peringkat sama ada di peringkat akademik atau praktikal di kampus. Keupayaan untuk berinovasi dan berfikiran secara kritikal dalam mencari penyelesaian yang berlaku adalah petunjuk kepada ketinggian martabat mereka.
Ketinggian darjat mahasiswa ini bukan sahaja diiktiraf dalam masyarakat tetapi juga dalam agama.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11.
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat
Ayat ini memberi gambaran jelas bahawa seseorang yang berilmu bukan sahaja dihormati dalam masyarakat, malah mendapat kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah SWT.
Oleh yang demikian, berbanding ahli masyarakat yang lain, mahasiswa berada di barisan hadapan dalam piramid intelektual. Peranan mahasiswa tidak terbatas hanya dengan menjadi penuntut ilmu, tetapi peranan itu lebih luas iaitu sebagai pewaris dan penyebar ilmu yang bakal mencorak masa depan negara dan umat. Justeru, kesedaran akan hakikat ini haruslah tersemat dalam setiap sanubari mahasiswa agar mereka memahami amanah besar yang dipikul. Mahasiswa perlu sedar dengan tanggungjawab yang harus digalas dengan penuh keinsafan dalam kerangka intelektualisme yang sebenar.
Penuntut Ilmu Barisan Hadapan
ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ١
خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ٢
ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ٣
ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ٤
عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ٥
Maksudnya: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)
Seruan Iqra’ sebagai wahyu pertama merupakan antara bukti yang unggul bahawa Islam sebagai agama yang amat menitikberatkan ilmu. Allah SWT mengiktiraf ketinggian ilmu melalui firmannya dalam Surah al-‘Alaq dengan menerangkan kepada manusia akan kaedah terbaik bagi memperoleh ilmu iaitu dengan Iqra’; Bacalah! Mulakan setiap bacaan dengan kalimah Bismillah. Menerusi proses Iqra’ atau membaca, manusia dapat menyerap segala ilmu yang tercapai oleh akal dengan izin Allah SWT.
Menurut kaca mata Islam, menuntut ilmu itu merupakan ibadah yang suci. Ianya merupakan tuntutan yang wajib dipenuhi oleh setiap makhluk yang bergelar manusia, bermula dari peringkat awal kehidupan sehingga detik nafas terakhir dihembus jasad.
اطْلُبُوا العِلمَ مِنَ المَهدِ إِلى اللّحْدِ
Maksudnya : “Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”.
Senada dengan kalam mutiara di atas, cukup jelas bahawa Islam mewajibkan setiap umatnya untuk mengejar ilmu sepanjang hayat di atas muka bumi ini. Hal ini demikian kerana ilmu mempunyai kepentingan yang tidak boleh dipandang ringan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa semua kaum Muslimin adalah penuntut ilmu sepanjang hayat.
Ustaz Umar Mukhtar Mohd Noor melalui Irsyad al-Hadith, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2016) juga menekankan kepentingan menuntut ilmu dalam perspektif Islam. Menurut beliau, menuntut ilmu adalah jambatan menuju syurga, sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]
Selain itu, tanpa ilmu, mustahil bagi kita untuk membina masyarakat berpendidikan yang mampu membentuk tamadun yang maju. Sepanjang sejarah manusia, hampir semua tamadun hebat diterajui oleh sekelompok bijak pandai yang berani berfikir, rajin menuntut ilmu, dan menggali khazanah pengetahuan. Justeru, hanya dengan ilmu, sesebuah tamadun dapat bergerak maju.
Hakikat ketinggian martabat penuntut ilmu ini wajib diberi perhatian oleh mahasiswa dalam usaha mengejar intelektualisme yang seimbang di alam kampus. Pengajian ilmu fardhu ain harus diseimbangkan dengan ilmu fardhu kifayah dan begitu juga sebaliknya. Imam al-Ghazali (1962) menerusi Ihya Ulum al-Din mentakrifkan ilmu fardhu ain sebagai:
“Ilmu tentang tata cara amal perbuatan yang wajib. Oleh itu, barang siapa yang telah mengetahui ilmu yang wajib berserta waktu wajibnya, bererti dia telah mengetahui ilmu fardu ain.”
Sementara itu, Mukhlas Nugraha (2017) dalam artikel Konsep Ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah dan Kepentingan Amalannya dalam Kurikulum Pendidikan Islam mengulas pandangan al-Ghazali mengenai ilmu fardhu kifayah:
“Sedangkan ilmu fardu kifayah ialah sesuatu ilmu yang tidak difardukan bagi setiap Muslim untuk mempelajarinya, namun cukup dipelajari oleh orang-orang tertentu yang telah memiliki kemampuan untuk mempelajari ilmu tersebut. Dan ia juga dituntut hanya pada batasan tertentu.”
Dalam soal ini, seseorang hamba yang taat kepada Allah SWT mestilah mempunyai dan menguasai ilmu yang mantap, baik dalam ilmu fardhu ain seperti ilmu Aqidah dan Feqah mahupun ilmu fardhu kifayah yang meliputi segala ilmu duniawi seperti teknologi, perubatan, sains manusia, dan seumpamanya. Mahasiswa yang menguasai bidang-bidang Fardhu Kifayah seperti Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, dan Perubatan adalah contoh konkrit penyumbang kepada tamadun yang kompeten. Tanpa ilmu yang cukup, seseorang itu berkemungkinan besar jatuh ke lembah kesesatan sekaligus meluaskan jarak antara dirinya dengan ganjaran syurga di akhirat kelak.
Sudah terang lagi bersuluh, seorang mahasiswa harus memahami dan menekuni makna di sebalik seruan Iqra’. Bacalah! Jadikan membaca sebagai tabiat harian. Pilihlah buku-buku berkualiti sebagai teman akrab. Terokailah idea dan topik yang rencam, rentasilah lautan ilmu yang luas, gapailah mutiara-mutiara ilmu—falsafah, politik, sejarah, matematik, sains dan seumpamanya yang dapat menyumbang kepada perkembangan intelektualisme dalam diri. Jadikan perpustakaan sebagai destinasi utama, luangkan masa untuk berfikir, berdiskusi, dan bergelumang dengan buku. Tegasnya, seorang mahasiswa wajib menjadikan buku sebagai teman rapat.
Memahami martabat ilmu di sisi Islam juga mempunyai peranan besar dalam kehidupan seorang mahasiswa. Dengan kesedaran yang jitu akan kedudukan dan martabat ilmu yang tinggi dalam Islam, nescaya semangat dan usaha mahasiswa untuk terus berjuang sebagai penuntut ilmu yang diredhai Allah SWT akan semakin berkobar. Yang paling utama, jadikan redha Allah SWT sebagai tujuan hakiki. Selain itu, usaha membina sebuah tamadun yang kompeten juga wajar dijadikan tujuan utama mahasiswa kerana tamadun yang kompeten merupakan impian setiap bangsa.
Akhir kalam, dengan menyedari hakikat ini, mahasiswa sebagai penuntut ilmu barisan hadapan perlulah bekerja keras di kampus untuk membangunkan masyarakat. Dengan wujudnya masyarakat yang matang dan berilmu, kita dapat membina tamadun yang berdaya saing menuju kemakmuran duniawi dan ukhrawi.
Semoga setiap mahasiswa menyedari peranan mereka yang sebenar dan tidak leka dengan keselesaan dunia kampus semata-mata. Sebaliknya, mereka harus bangkit dengan semangat intelektualisme yang tinggi, menjadikan ilmu sebagai paksi kehidupan, dan berusaha membawa perubahan yang bermakna dalam masyarakat. Penulis menyeru, kepada setiap mahasiswa di luar sana, bacalah, fahamilah, beramallah, dan bertindaklah. Kerana mahasiswa adalah penuntut ilmu barisan hadapan yang membawa obor ketamadunan bagi generasi akan datang.
Rujukan
- Al-Qur’an Karim.
- Al-Ghazālī, Abū Ḥāmid. Iḥyāʾ ʿUlūm al-Dīn (The Revival of the Religious Sciences). Book 1: Kitāb al-ʿIlm (The Book of Knowledge). Translated by Nabih Amin Faris. Lahore: Sh. Muhammad Ashraf, 1962.
- Sedyawati, Edi, et al. Kosakata Bahasa Sanskerta dalam Bahasa Melayu Masa Kini. Jakarta: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, 1994.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan., “IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-109: KELEBIHAN MENUNTUT ILMU.” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri, 16 Ogos 2016. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1122-irsyad-al-hadith-siri-ke-109-kelebihan-menuntut-ilmu.
- Nugraha, Mukhlas. 2017. “KONSEP ILMU FARDU AIN DAN FARDU KIFAYAH DAN KEPENTINGAN AMALANNYA DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM”. TAFHIM: IKIM Journal of Islam and the Contemporary World 10 (October). https://doi.org/10.56389/tafhim.vol10no1.4.
Penulis : Ahmad Fakhry Harraz Bin Ahmad Sabri
Mahasiswa Sarjana Muda Sejarah dan Tamadun, UIAM.
Fakhry Harraz (Facebook).
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


