
Pendahuluan
Pluralisme merupakan sebuah aliran pemikiran yang mempercayai kewujudan pelbagai agama dan dakwaan terhadap kebenaran (religious truth claim). Menurut mazhab pluralis, agama adalah relatif dan relatif adalah agama. Tiada satu agama pun yang berhak mendakwa bahawa mereka memgeng kebenaran yang mutlak. Ini adalah kerana semua agama mempunyai sisi kebenaran yang tersendiri yang sepatutnya diiktiraf oleh semua agama yang berbeza.
Kepercayaan terhadap wujudnya pelbagai agama secara asasnya adalah tidak bermasalah. Bahkan mengiktiraf kewujudan pelbagai agama adalah sebahagian daripada intipati penting agama Islam. Ini jelas daripada firman Allah SWT dalam surah al-Māʾidah:
لِكُلٍّۢ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةًۭ وَمِنْهَاجًۭا ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ وَلَـٰكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِى مَآ ءَاتَىٰكُمْ ۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًۭا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Terjemahan: “Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah SWT menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah SWT jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya” (al-Māʾidah: 48).
Ayat ini menggambarkan bahawa kepelbagaian agama dan sistem hidup diiktiraf oleh Islam. Sepanjang sejarah Islam juga, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak memusuhi agama lain selagi mereka tidak memusuhi agama Islam dan membenarkan dakwah Islam dijalankan. Kewujudan golongan Yahudi di Madinah, hijrah para sahabat RA ke Ethiopia, peristiwa Saidina ʿUmar al-Khaṭṭāb tidak meruntuhkan gereja dan lain-lain membuktikan penerimaan Islam terhadap kewujudan agama-agama lain.
Walaupun begitu, pengiktirafan terhadap kepelbagaian agama tidak menandakan pengiktirafan yang sama terhadap kebenaran agama-agama atau religious truth claim yang ada dalam setiap agama tersebut. Ini yang sepatutnya difahami oleh umat Islam bahawa terdapat perbezaan antara pengiktirafan kepelbagaian agama dan kepelbagaian religious truth claim. Pluralis menggunakan hujah ini untuk mengelirukan masyarakat tentang dakyah mereka. Pluralisme yang mendakwa kepelbagaian religious truth claim adalah berbeza dengan pluraliti yang mengiktiraf kewujudan pelbagai agama yang boleh hidup bersama (coexist) antara satu sama lain.
SEJARAH PLURALISME
Sejarah pluralisme sinonim dengan Enlightenment yang berlaku dalam tradisi kebudayaan Barat pada kurun ke 18. Krisis keagamaan dan pertumpahan darah yang berlaku dalam sejarah Barat menyebabkan pluralisme perlu diwujudkan untuk menyelesaikan konflik yang berlaku. Ada tiga faktor utama yang melatari kemunculan arus pluralisme dalam sejarah Barat;
- Pertumpahan darah yang berlaku pada masyarakat Barat ketika itu adalah disebabkan dasar eksklusif dalam dakwaan kebenaran, yang dimonopoli atas nama agama (truth claim). Contoh dakwaan kebenaran yang ketara adalah tiada keselamatan (salvation) melainkan mereka yang menganut agama Kristian Katolik. Isu yang sama yang dibangkitkan juga dirakamkan dalam Al-Quran ketika mengisahkan tentang sikap orang-orang Yahudi dan Nasrani:
وَقَالُوا۟ لَن يَدْخُلَ ٱلْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا۟ بُرْهَـٰنَكُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar” [al-Baqarah:111)
- Sikap saling memusuhi dan tidak toleran masyarakat dalam menerima kepelbagaian agama (religious intolerance). Ini mengakibatkan negara yang mempunyai penganut agama yang berlainan tidak tenteram dan sering bertelagah sesama sendiri. Barat tidak dapat menerima kepelbagaian agama dalam satu-satu masyarakat atau negara, menyebabkan banyak berlaku konflik akibat perbezaan agama dan ideologi.
- Peranan signifikan (Significant Role) pluralisme dalam meleburkan permusuhan yang berlaku. Pluralisme juga dilihat mampu mengurangkan peperangan yang berlaku antara Kristian Katolik dengan Protestan, Mormon, Orthodoks dan sebagainya. Selain itu, ia juga dilihat berkesan menangani permusuhan Barat dengan Islam yang disifatkan dengan terrorisme dan ekstremisme.
Selain itu, ada teori yang dikemukakan oleh Dr Anis Malik Thoha yang mengatakan bahawa pluralisme bermula seawal kurun ke 15 di India dengan kemunculan agama Sikh (yang cuba menyetarakan antara agama Islam dan Hindu). Pluralisme di India timbul dalam bentuk agama baru yang menyamaratakan agama-agama yang ada, bukan seperti yang berlaku di Barat, di mana aliran pemikiran yang wujud yang terpisah daripada agama.
Terdapat dua watak utama yang melatari aliran pluralisme ini, iaitu Wilfred Cantwell Smith dan John Hicks. W.C Smith mengatakan bahawa perkataan Islam yang ada di dalam Quran merupakan sebuah kata terbitan yang bermaksud penyerahan (submission) pada Tuhan. Ini bermakusd, Islam bukanlah sebuah sistem yang menyeluiruh yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia seperti politik, ekonomi, sosial, peurndangan, hubungan luar dan lain-lain. Jadi secara tidak langsung, Yahudi dan Krisitan juga adalah “muslim” kerana mereka juga telah menyerahkan diri mereka kepada “Tuhan”.
John Hicks pula telah memanipulasi kata-kata Jalāl al-Dīn al-Rūmī “The lamps maybe different, but the Light is the same, it comes from the beyond” untuk menjaja fahaman pluralisme. Sedangkan frasa tersebut merujuk kepada watak Musa vs Firaun yang mungkin berubah mengikut peredaran zaman, namun perwatakan/karakter Musa vs Firaun (kebenaran lawan kebatilan) akan kekal sepanjang sejarah. Hicks menyalahtafsirkan frasa ini dengan tujuan menjaja hujah pluralisme yang dipegangnya pada umat Islam.
DASAR DAN PAKSI FALSAFAH PLURALISME
Akar pluralisme adalah LIBERAL. Secara ringkasnya, masyarakat Barat ketika Zaman Pertengahan merasakan bahawa agama telah mengongkong mereka daripada maju dalam kehidupan. Agama menjadi candu pada masyarakat. Akal, logik serta rasional telah bermaharajalela lalu menentang agama yang disifatkan sebagai rigid. Pluralisme secara khusus, bermula dengan pemisahan masyarakat dengan sumber agama yang berautoriti. Kehidupan mestilah tidak terkongkong dengan agama, pihak serta nas-nas yang berautoriti. Masyarakat mestilah liberal dan bebas pada dalam semua sudut, tanpa campurtangan agama. Syed Naquib Al-Attas menyifatkan perkembangan ini sebagai, ‘segala realiti dan kebenaran kini hanya berasaskan akal rasional, dan akal telah menggantikan peranan Tuhan.”
Selain itu, agama hanya dibataskan pada pengalaman keagamaan seseorang (Religious Experience), bukan sebagai sebuah ajaran yang diwahyukan oleh Tuhan. Ini bermaksud, tiada kesalahan pada pengamalan ibadah yang pelbagai, kerana interpretasi semua orang tentang beribadah pada Tuhan itu berbeza. Fahaman ini sangat bertentangan dengan Islam, yang secara keseluruhannya bersumberkan wahyu Allah SWT yang suci dan bukan disandarkan pada mana-mana individu.
Antara paksi yang tidak kurang pentingnya dalam pluralisme adalah relativiti. Relatif dalam menyatakan kebenaran. Tiada agama yang boleh mendakwa ajaran mereka adalah benar secara mutlak, dan memaksa orang lain menerima “kebenaran” yang dibawa oleh mereka. Ini bermaksud, semua agama adalah benar dan akan membawa penganutnya ke syurga. Tidak wujud istilah mereka yang akan diazab dan dihumban ke neraka. Bagi pluralis, mereka berpegang dengan prinsip “The truth is relative, and the relativity is true.”
Seterusnya, pluralisme juga berdiri atas dasar kebenaran yang dikatakan sebagai abstrak. Kebenaran bukan suatu perkara yang konkrit sepanjang masa dan tempat. Sesuatu perkara itu mungkin dianggap benar pada hari semalam, namun tidak semestinya pada hari ini perkara tersebut masih kekal kebenarannya. Dasar sebegini amat mencelarukan dan merosakkan tingkah laku manusia. Hal ini boleh dilihat dalam isu LBGT, di mana sebelum kurun ke 20, isu LGBT ini dianggap sebagai sebuah kesalahan dalam apa jua agama. Namun hari ini, bukan sekadar seks songsang, seks dengan binatang juga dihalalkan atas nama hak asasi manusia.
JARUM PLURALISME DI MALAYSIA
Tidak dapat dinafikan, arus pluralisme sudah mula mengasak secara deras di bumi Malaysia. Secara sedar atau tidak, arus ini semakin menular dalam masyarakat Malaysia yang dikatakan sering bertelagah kerana sosiopolitiknya bercorak multi-religious. Antara jarum-jarum yang dapat dikenalpasti adalah dengan KECELARUAN MAKNA, secara tidak sedar. Kita dapat melihat terdapat ramai yang cuba menyamakan pluralisme dengan plurality iaitu kepelbagaian agama (religious diversity) dan sikap toleransi beragama (religious tolerance). Ini boleh dilihat pada kenyataan Dr Chandra Muzaffar dalam kenyataan beliau yang tersebar dalam sebuah laman portal berita online.
Begitu juga dengan kenyataan Dato’ Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang menggesa Majlis Agama Islam Selangor untuk mendefinisikan apa itu liberalisme dan pluralisme, sedangkan umum sudah mengetahui apa yang dimaksudkan dengan dua-dua istilah itu. Istilah ini akan dimanipulasi sehinggalah tujuan akhir pluralisme itu tercapai, iaitu menyetarakan semua agama yang wujud di Malaysia.
Dialog antara agama (Interfaith Dialogue) juga antara alat yang sering digunakan oleh pluralis. Dialog ini tidaklah menjaja pluralisme secara mutlak, namun apabila dialog dianjurkan dengan tujuan untuk mencari common ground antara agama, maka ini boleh mengundang unsur-unsur pluralisme untuk memonopoli dialog tersebut. Akhirnya kebenaran akan berpihak kepada agama yang memenangi hujah dalam dialog antara agama tersebut. Jika dialog dianjurkan bertujuan untuk menunjukkan kebenaran agama Islam (salah satu wasīlah dakwah), maka itu tidak menjadi sebarang masalah, bahkan digalakkan seperti apa yang dilakukan oleh Dr. Zakir Naik dan Brother Shah Kirit.
Jarum ketiga yang boleh dikenalpasti adalah monopoli isu-isu yang berlaku. Apabila ada isu berkaitan yang timbul, unsur-unsur pluralisme akan disuntik secara halus dan tanpa disedari, Lebih berbahaya lagi, kadang-kadang ia dilihat seolah-olah sebuah unsur yang islamik, sehingga terdapat beberapa orang Islam yang terpedaya dengan kenyataan tersebut. Sebagai contoh, isu kematian mendiang Karpal Singh yang mengundang polemik ramai pihak. Ada yang cuba mengatakan mendiang Karpal tidak akan dimasukkan ke neraka, dengan justifikasi bahawa beliau merupakan seorang yang adil (dalam istilah demokrasi) dan memperjuangkan hak rakyat yang tertintas.
Takkan Allah yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui akan memasukkan seorang yang baik ke dalam neraka? Kenyataan seperti ini sangat sinonim dengan apa yang diperjuangkan oleh W.C Smith. Beliau mengatakan bahawa bukan mereka yang beriman dan beragama Islam sahaja yang masuk ke dalam syurga, bahkan mereka yang BAIK dan mentaati “Tuhan” juga berkelayakan untuk mendapat nikmat di dalam syurga. Ini secara jelas bertentangan dengan nas yang sudah termaktub dalam Al-Quran dan Hadith.
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَن تُغْنِىَ عَنْهُمْ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيْـًۭٔا ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۚ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ١١٦
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.” [Ali-Imran 116]
Tuntutan dan desakan dari beberapa NGO juga dilihat sebagai salah satu jarum pluralisme di Malaysia. Dalam isu ini. Sisters In Islam (SIS) dilihat jelas menjulang pluralisme apabila menegapalai 14 tuntutan Interfaith Council (IFC) serta beberapa kenyataan mereka yang berbaur pluralisme. Selain itu, Islamic Renaissance Front (IRF) serta Institut Kajian Dasar (IKD) juga antara pertubuhan yang lantang memperjuangkan kesamarataan antara agama. Antara tuntutan oleh pihak-pihak ini yang boleh disebut secara ringkas di sini adalah seperti isu kalimah Allah, pentafsiran semula Al-Quran yang diihat hanya dimonopoli oleh golongan ulama’, penghapusan perkataan Islam dalam MyKid, festival Seksualiti Merdeka dan beberapa isu lain yang jelas menunjukkan belang mereka di sebalik kebaikan yang diperjuangkan.
BERINTERAKSI DENGAN PLURALISME
Pelbagai pihak perlu berperanan untuk membendung fahaman pluralisme ini daripada berleluasa. Antara pihak yang perlu berperanan adalah ʿumarāʾ (pemimpin), ʿulamāʾ (ilmuwan) serta individu itu sendiri. Umara’ perlu menggunakan kuasa yang ada untuk menghalang mana-mana pihak atau acara yang cuba menyebarkan fahaman pluralisme, seperti yang dilakukan oleh MAIS yang mengharamkan SIS serta semua petubuhan yang terbabit dalam memperjuangkan fahaman yang menyimpang daripada Islam. Ulama’ pula perlu memberikan kesedaran, bimbingan, serta amaran kepada masyarakat tentang bahayanya fahaman ini pada semua penganut agama, samada islam atau agama-agama lain. Manakala individu perlu sentiasa cakna dengan isu semasa dan tidak jemu untuk menambahkan ilmu agama, supaya sentiasa sedar dengan ancaman yang wujud di sekeliling.
Amar Ismat Mohd Nasir
Sekretariat Modul Peradaban PEMIKIR
RUJUKAN
- Fi Ẓilāl Al Qurʾān, Asy-Syahid Sayyid Qutb
- At-Taʿaddudiyyah al-Dīniyyah wa Ittijāhātuha wa Mauqif Al-Islām minha, Prof Dr. Hesham Hosni Sakr
- Islam dan Pluralisme Agama, Dr. Khalif Muammar
- Pluralisme Agama, Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, Pertubuhan MUAFAKAT Malaysia