Sekitar kurun ke-19 hingga awal kurun ke-20, dunia telah menempuh era kolonialisme. Kuasa-kuasa Eropah seperti Britain, Perancis, Belanda dan Sepanyol telah menjajah lebih separuh daripada keseluruhan daratan dunia.
Kolonialisme dalam tempoh ini, yang sering disebut sebagai kolonialisme moden, berbeza daripada bentuk penjajahan sebelumnya. Ia didatangkan bersama dengan agenda ketamadunan. Kolonial Eropah melihat diri mereka, iaitu orang putih (atau Barat), memikul beban untuk “mentamadunkan” bangsa lain yang bukan Barat.
Pemahaman ini merupakan manifestasi kepada Orientalisme, iaitu perasaan, pandangan dan sikap masyarakat Barat yang memperleceh orang Timur. Bagi masyarakat Barat, Eropah adalah “pusat autoriti dan kuasa,” manakala bangsa lain pula dilihat mundur, eksotik, tidak bertamadun dan boleh dieksploitasi. Malah, aspirasi orang Timur juga perlu disuarakan oleh orang putih atas alasan mereka tidak mampu menentukan nasib dan hala tuju kehidupan sendiri.
Perkara ini telah disinggung dengan panjang lebar oleh Edward Said dalam karyanya Orientalism (1978) dan dikembangkan oleh sarjana-sarjana pascakolonial yang lain. Bagi mereka, era yang sering dirujuk sebagai “pascakolonial” tidak bermaksud penjajahan telah tamat sepenuhnya, akan tetapi berterusan dalam citra yang berbeza. Kuasa kolonial tidak lagi menjajah secara konvensional, sebaliknya meneruskan agenda penguasaan secara lebih halus menerusi penyebaran cara berfikir, sistem dan nilai. Dalam hal ini, Orientalisme merupakan alat yang paling ampuh untuk kuasa kolonial meneruskan agenda penjajahan mereka dalam landskap yang berbeza daripada sebelumnya.

Meskipun selepas satu kurun sejak era kolonialisme dan selepas hampir lima dekad sejak penulisan Orientalism, kedua-duanya masih jelas terzahir dalam tindak-tanduk dan sikap Barat yang melihat diri mereka lebih unggul (superior) berbanding bangsa lain. Asia Barat dan Afrika Utara (West Asia and North Africa, WANA) menjadi rantau yang sentiasa bergolak dan terdedah kepada percaturan kuasa-kuasa besar, sekali gus menunjukkan bahawa kolonialisme dan Orientalisme masih berterusan menjadi agenda Barat “di dunia sebelah Timur.”
Kolonialisme dalam wajah yang baharu, atau neokolonialisme, diteruskan oleh Amerika Syarikat (AS), di mana penjajahan tidak lagi dijalankan secara langsung, sebaliknya secara tidak langsung. AS yang mewakili kuasa hegemoni Barat masih meneruskan gagasan Orientalisme, namun dalam citra yang berbeza daripada pendahulu-pendahulu Eropah sebelumnya. Selain menganggap dirinya sebagai “polis dunia” dan “pusat autoriti” dalam mendefinisikan nilai-nilai sejagat, citra Orientalisme AS juga terikat dengan obsesi terhadap keselamatan Israel di rantau WANA.
WANA sering menjadi perhatian AS kerana faktor keselamatan Israel dan hasil bumi yang kaya. Justeru, sebarang anasir yang dilihat boleh menghalang AS daripada memenuhi kedua-dua kepentingan ini akan dikelaskan sebagai “ancaman” yang perlu dihapuskan.
Iran selepas revolusi tahun 1979 dianggap sebagai ancaman utama kepada kepentingan AS di WANA. Negara republik Islam itu dilihat sebagai “dalang utama” kepada paksi penentang (axis of resistance) dalam mendanai dan menyalurkan bantuan kepada entiti-entiti bukan negara (non-state actor) yang berterusan menggugat keberadaan negara haram Israel dan kepentingan AS secara keseluruhan. Ironinya, ancaman ini dilihat tidak wujud sebelum daripada revolusi, ketika Iran dipimpin oleh Mohammad Reza Pahlavi. Malah, Iran pada era Reza Pahlavi merupakan sekutu kuat AS di rantau itu. Senario ini berubah 180 darjah selepas revolusi 1979, di mana Iran telah disifatkan sebagai “negara jahat,” “ekstrem” dan “menggugat kestabilan” di rantau itu.
Hal ini menunjukkan ciri Orientalisme pada AS yang merasakan dirinya sebagai pusat ontologi, epistemologi dan aksiologi dunia. Dari sudut ontologi, elit politik AS melihat merekalah yang berhak menentukan sama ada sesebuah entiti, rejim mahupun negara perlu wujud atau tidak, serta sejauh mana apa yang dianggap sebagai “ancaman kepada kestabilan” (menurut takrifan mereka) benar-benar ada atau tidak. Dari sudut epistemologi, mereka merasakan paling berhak untuk menetapkan apakah sumber untuk memahami dunia, bagaimanakah konflik dunia perlu difahami, dan apakah erti kebenaran, yang kesemuanya perlu mengikut lensa yang ditetapkan oleh mereka. Manakala dari sudut aksiologi pula, elit politik AS melihat merekalah yang berhak untuk menentukan nilai baik dan buruk pada tatanan dunia, mengapa tindakan mereka menyerang negara lain dianggap sebagai “bermoral”; sebaliknya, negara lain bukan sahaja tidak boleh melakukan hal yang sama, malah tidak dibenarkan untuk mempertahankan kedaulatan negara sendiri daripada diceroboh.

Pandangan ini berakar daripada tradisi Orientalisme Eropah yang memandang bangsa lain lebih rendah kedudukannya berbanding Barat. Meneruskan tradisi Orientalisme ini, AS merasakan persoalan kewujudan, kebenaran, nilai serta apa yang boleh dan tidak boleh selayaknya ditentukan oleh mereka yang paling berkuasa pada hari ini. AS sentiasa merasakan dirinya boleh menyerang sesiapa sahaja. Namun, pihak yang telah diserang itu tidak boleh menyerang balas AS, biarpun dengan tujuan untuk mempertahankan diri.
Krisis AS-Iran memperlihatkan neokolonialisme dan Orientalisme berterusan menjadi agenda utama AS di WANA. Bagi AS, Iran yang dicorakkan wajahnya oleh kepimpinan ayatollah adalah “ancaman” yang perlu dijatuhkan dan digantikan dengan kepimpinan yang “lebih lunak” bukan sahaja dengan AS, malah juga dengan Israel. Siapakah yang menjadi “ancaman” dan yang “lebih lunak” tertakluk sepenuhnya kepada perkiraan AS.
Cengkaman AS ke atas rantau WANA dilengkapkan lagi dengan penyebaran doktrin “kestabilan serantau.” Negara-negara Teluk terpaksa membayar harga yang mahal “demi mencapai kestabilan” seperti yang dicanangkan oleh AS, dengan membenarkan pembinaan pangkalan tentera AS di wilayah mereka. Pangkalan-pangkalan tentera inilah yang dijadikan “cagaran” oleh AS untuk “menjamin keselamatan” negara-negara Teluk daripada “ancaman” serantau yang didalangi oleh Iran. Pangkalan yang sama juga digunakan oleh AS untuk mengepung Iran sejak beberapa dekad dan menyerang republik Islam itu dalam krisis mutakhir.
Dunia umumnya, termasuk rakyat Malaysia, perlu cermat dalam memahami krisis AS-Iran ini. Di samping memikirkan kesan limpahan daripada krisis yang melanda (misalnya, penutupan Selat Hormuz yang akan memberi kesan ketara kepada bekalan minyak dan ekonomi dunia), persoalan yang paling asasi tidak boleh diabaikan.
Krisis ini bukan semata-mata mengenai AS dan Iran, atau jauh sekali mengenai persoalan sektarianisme seperti penyebaran Syiah di rantau WANA yang lebih didominasi oleh Sunni. Krisis ini adalah mengenai pihak yang berterusan membawa agenda neokolonialisme dan Orientalisme, yang sentiasa berkeinginan untuk mencatur rantau ini demi kepentingan mereka.
Penulis : Muhammad Khalis Ibrahim
https://www.facebook.com/maal.afsakh
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


