Perkataan manusia dan kemanusiaan sering menjadi sandaran apabila kita bercakap tentang pelbagai isu kehidupan. Kemanusiaan itu seperti matlamat yang dicari disebalik daya usaha manusia dalam kehidupan ini. Baik buruk sesuatu perkara itu berbalik kepada impak baik buruknya perkara itu kepada kemanusiaan. Oleh itu, kemanusiaan itu ternyata bagi semua pihak adalah satu nilai pertimbangan yang penting. Dewasa ini kelihatan seakan-akan Barat lah yang mempelopori idea kemanusiaan ini. Dari sana lahirnya berbagai konvensyen yang menjurus ke arah menjaga hak asasi manusia. Manakala disebelah sini tiada perbicangan tentang kemanusian seolah-olah ia tiada dalam tsaqafah Islamiyyah walaupun hakikatnya Islamlah yang telah mengangkat martabat insaniah. Dari sini kita perlu mencari apa erti insaniah di sisi Barat dan bandingannya di sisi Islam serta implikasi kedua-dua tafsiran itu kepada kemanusiaan.
Memahami Humanisme: Manusia sebagai ‘Tuhan’
Insaniah dari sudut pandang Barat adalah merujuk kepada fahaman humanisme, yakni fahaman yang menjadikan kemanusiaan itu sebagai matlamat dan sumber hukum. Barat Kristian masih lagi mengembangkan mafhum humanisme ini untuk mencapai tahap tertinggi sehingga manusia itu benar-benar menjadi sempurna seperti Tuhan.
Untuk mencapai kesempurnaan humanisme ini, mereka mengangkat kebebasan sebagai nilai tertinggi. Apabila kebebasan yang sebenarnya dapat direalisasikan, maka manusia boleh lakukan apa sahaja yang mereka suka dan itulah secara teorinya merupakan syariat yang tertinggi. Tiada lagi firman atau sabda yang lebih tinggi dari firman dan sabda manusia. Inilah yang disebut sebagai kuasa rakyat—waktu itu manusia adalah Tuhan.
Fatamorgana Kebebasan dan Ancaman Kapitalisme
Namun adakah sebenarnya manusia telah mengecapi kesempurnaan itu atau ia hanya penipuan fatamorgana semata? Sebenarnya apabila manusia bebas dari segala pegangan dan ikatan intima’, mereka tidak menjadi Tuhan, sebaliknya telah menjadi hanyut terkapai-kapai memenuhi keperluan naluri tanpa panduan.
Segala aspek kehidupan mereka akhirnya dikawal oleh kapitalis dan kuncu-kuncunya yang mengeksploitasi seluruh kehidupan untuk kekayaan mereka. Kuasa rakyat bukanlah sesuatu yang realistik untuk membawa kebahagiaan. Yang berkuasa sebenarnya ialah golongan kapitalis yang memanipulasi segenap aspek kehidupan. Merekalah sebenarnya Taghut yang merupakan tuhan baru yang disembah oleh manusia tanpa sedar.
Konsep Insaniah Islam: Merdeka daripada Taghut
Sebaliknya, Islam mengangkat insaniahtul insan dengan membebaskan manusia dari kongkongan para taghut yang mengeksploitasi kehidupan. Tidak kira apa bentuk taghut pada setiap zaman, Islam menganggap inilah penghalang manusia mencapai kesempurnaan. Manusia tidak akan dapat mengecapi kebebasan diri selagi seluruh aspek kehidupan mereka masih dibelenggu oleh para taghut.
Sebab itu Allah SWT mengutuskan rasul-rasul untuk membebaskan manusia dari belenggu tersebut dengan mengasaskan kehidupan berasaskan ubudiyyah (pengabdian) hanya kepada Allah SWT.
Ubudiyyah sebagai Kunci Kemuliaan Insan
Perjuangan kebebasan di sisi Islam tidak membawa manusia kepada bayangan palsu untuk menjadi Tuhan, tetapi membebaskan mereka dari dimanipulasi oleh pengaruh taghut. Ubudiyyah kepada Allah tidak membawa konotasi negatif. Sebaliknya, ia membawa erti bahawa tiada makhluk yang boleh memanipulasi kehidupan manusia lain.
Dengan itu, setiap manusia dapat menyumbang daya usaha secara merdeka untuk mencapai kesempurnaan diri sendiri. Di bawah bayangan ubudiyyah kepada Allah SWT, manusia dapat mencapai kejayaan paling unggul tanpa dikongkong oleh sistem kapitalis yang menghisap darah.
Ust Hj Abdullah Zaik Abd Rahman
Amir Ikatan Muslimin Malaysia
(ISMA).


