Nihilisme Melahirkan Generasi Pascamodernisme Yang Celaru Terhadap Nilai Moral

Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Maksud Nihilisme dan Pasca Modenisme

Dalam era Pascamoden ini telah memaparkan pelbagai isu yang melibatkan sosial, politik, ekonomi, sistem dan sebagainya. Kepelbagaian isu-isu yang berlaku di sekeliling ini sedikit sebanyak mempengaruhi gaya pemikiran, gaya hidup dan tingkah laku seseorang. Ditambah dengan arus pemodenan teknologi yang memudahkan kita untuk mendapatkan maklumat luar dan dalam negara, bermakna lebih mudah untuk kita terpengaruh dan meresap unsur-unsur dan budaya luar yang bertentangan dengan adat, budaya, dan agama islam khususnya berkaitan dengan moral. Pembentukan nilai moral secara dasarnya dibentuk mengikut acuan sesebuah masyarakat tersebut. Hal ini kerana peraturan moral lazimnya berlandaskan norma masyarakat dan bersifat relatif, iaitu berbeza-beza mengikut tempat serta komuniti (Aziz Hadani, 2015). Namun hasil penyusupan unsur-unsur dan budaya luar yang diibaratkan seperti api dalam sekam telah memberi kesan yang buruk kepada nilai moral sesebuah masyarakat.

Penulis berpandangan bahawa akar kepada segala isu permasalahan yang berlaku ini adalah hasil daripada wujudnya fahaman, ideologi, dan pandangan Barat yang menyesatkan yang meresap ke dalam budaya masyarakat lain, khususnya masyarakat yang beragama Islam. Fahaman yang penulis ingin ketengahkan ialah fahaman nihilisme. Perkataan nihilisme ini berasal daripada perkataan Latin iaitu nihil yang membawa maksud “tiada” atau “tiada apa-apa” dan diakhiri dengan imbuhan -isme yang merujuk kepada suatu fahaman atau aliran pemikiran (Norshairin Asri, 2023). Idea ini dikembangkan secara meluas oleh seorang tokoh falsafah Jerman yang terkemuka dalam perbahasan falsafah Barat, iaitu Friedrich Nietzsche, menerusi ungkapan masyhurnya, “God is dead” (Kleinman, 2013). Ungkapan ini dikemukakan oleh beliau kerana peredaran zaman memperlihatkan institusi dan nilai-nilai keagamaan kian dipinggirkan, manakala sains dan rasionalisme diangkat sebagai mercu tanda kebenaran (Kleinman, 2013). Lantaran itu, nilai-nilai kehidupan, kepercayaan, serta kerangka tindakan tradisional perlu dinilai dan dicorak semula bagi mewujudkan nilai serta makna kewujudan yang baharu (Kleinman, 2013; Norshairin Asri, 2023).

Nilai fahaman nihilisme yang dibawa oleh Friedrich Nietzsche ini tidak terhenti di era beliau sahaja, tetapi ia telah berkembang sehingga ke hari ini iaitu zaman pascamodenisme. Majoriti sarjana bersetuju bahawa pascamodenisme ini mula berkembang sebagai wacana falsafah sekitar tahun 1970-an atau 1980-an (Ibrahim Majdi Mohamad Kamil, 2024). Idea atau fahaman yang cuba dibawa pada zaman pascamodenisme ini ialah kebebasan seseorang dalam menentukan sesuatu kebenaran itu, di mana tiada lagi satu kebenaran mutlak atau autoriti tunggal yang diakui (Docherty, 1993; Honderich, 1995). Bermakna, hakikat kebenaran sesuatu perkara itu tidak wujud dalam sudut pandang mereka kerana semua pandangan dianggap relatif iaitu tidak ada yang mutlak betul dan tidak ada yang salah (Docherty, 1993; Ibrahim Majdi Mohamad Kamil, 2024). Penulis melihat naratif relativisme epistemologi yang dibawa ini dapat mengukuhkan lagi fahaman nihilisme dan sekaligus menghakis nilai moral sesebuah masyarakat.

Friedrich Nietzsche

Cara Nihilisme Mencetuskan Kekeliruan Moral

Persoalan utama yang timbul ialah bagaimanakah fahaman nihilisme ini berupaya mencetuskan kekeliruan moral yang parah dalam masyarakat kita hari ini? Titik tolak kepada kekeliruan ini bermula apabila fahaman yang dipopularkan oleh Friedrich Nietzsche ini menolak mentah-mentah nilai tradisional dan pegangan agama yang sekian lama menjadi pasak kehidupan manusia (Norshairin Asri, 2023). Menerusi gagasan kontroversinya mengenai “kematian Tuhan” (God is dead), Nietzsche berhujah bahawa manusia moden semakin mengenepikan Tuhan dan institusi keagamaan kerana sains dan teknologi telah diangkat menjadi mercu kebenaran baharu (Norshairin Asri, 2023).

Kesan daripada penafian terhadap autoriti agama ini, timbul lah lompong besar dalam jiwa masyarakat kerana tidak ada lagi sumber mutlak yang boleh dijadikan panduan bagi menentukan erti baik atau buruk (Norshairin Asri, 2023). Nilai moral tidak lagi dilihat sebagai satu ketetapan objektif yang mengikat semua manusia, sebaliknya diturunkan taraf menjadi sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada pandangan individu semata-mata.

Situasi ini akhirnya memaksa manusia mencari dan mereka cipta ukuran nilai mereka sendiri mengikut selera, logik peribadi, dan pengaruh persekitaran semasa tanpa berpaksikan sebarang pedoman yang kukuh. Apabila setiap orang bebas menentukan benar dan salah mengikut neraca masing-masing, batas nilai moral menjadi kabur dan hilang ketetapannya. Inilah yang menjadi punca kepada lahirnya generasi hari ini yang mudah keliru, hanyut tanpa pegangan, serta kehilangan kompas moral dalam menempuh realiti kehidupan moden.

Bentuk kekeliruan Terhadap Nilai Moral

Kesan daripada penyerapan fahaman nihilisme dalam masyarakat moden tidak hanya terhenti pada tahap teori pemikiran, bahkan ia menzahirkan beberapa bentuk kekeliruan moral yang jelas dalam kehidupan seharian. Menerusi sorotan terhadap perbahasan falsafah Nietzsche, bentuk-bentuk kekeliruan ini dapat dilihat melalui beberapa dimensi utama (Norshairin Asri, 2023):

● Ketiadaan Kebenaran Moral Objektif (Relativisme dan Subjektivisme Moral) Kekeliruan paling ketara ialah apabila masyarakat mula menolak kewujudan moraliti sejagat (universal morality). Nilai baik atau buruk tidak lagi dianggap wujud secara mutlak dalam alam semesta mahupun wahyu agama, sebaliknya hanya bergantung kepada perspektif peribadi dan kerangka budaya setempat (Norshairin Asri, 2023). Hal ini melahirkan sikap relativisme tegar—apa yang betul bagi seseorang boleh jadi salah bagi orang lain, dan tiada siapa yang berhak menegur tindakan orang lain kerana ukuran kebenaran dianggap tidak pernah seragam.

● Pengagungan Autonomi Individu yang Berlebihan Nihilisme memberi penekanan melampau terhadap kebebasan dan autonomi individu dalam menentukan hala tuju moral masing-masing (Norshairin Asri, 2023). Akibatnya, timbul kekeliruan antara hak kebebasan peribadi dengan tanggungjawab moral terhadap masyarakat dan Tuhan. Atas nama hak asasi dan ekspresi kendiri, batas-batas moral tradisi serta pantang larang agama kerap dilanggar kerana dianggap menyekat potensi manusia untuk berfikir secara bebas.

● Penolakan terhadap Nilai Agama dan Ajaran Islam Dalam konteks masyarakat beragama, kekeliruan ini menjelma dalam bentuk keraguan terhadap ketetapan syariat dan etika Islam (Norshairin Asri, 2023). Prinsip halal dan haram yang sepatutnya menjadi garis panduan abadi mula dipersoalkan kesesuaiannya dalam zaman moden. Ada segelintir kelompok yang mula menuntut agar nilai agama dinilai semula atau dirombak mengikut peredaran masa, persis seruan Nietzsche yang mahukan nilai lama diolah semula bagi melahirkan nilai baharu.

● Hanyut dalam Pengaruh Budaya Popular dan Krisis Jiwa Apabila tiada pegangan nilai yang kukuh, tingkah laku individu mudah terumbang-ambing dan terpengaruh dengan budaya popular luar yang bersifat hedonistik dan mementingkan kepuasan nafsu semata-mata (Norshairin Asri, 2023). Lebih membimbangkan, kehilangan kompas moral dan rasa kekosongan makna hidup ini turut memberi impak langsung kepada kesihatan mental generasi muda—melahirkan rasa putus asa, keresahan eksistensial, dan hilangnya tujuan hakiki dalam kehidupan.

Rujukan

  • Aziz Hadani. (2015). Konsep asas moral [Slaid persembahan]. SlideShare. https://www.slideshare.net/slideshow/konsep-asas-moral-46310258/46310258
  • Docherty, T. (Ed.). (1993). Postmodernism: A reader. Harvester Wheatsheaf.
  • Honderich, T. (Ed.). (1995). The Oxford companion to philosophy. Oxford University Press.
  • Ibrahim Majdi Mohamad Kamil. (2024). Daripada falsafah liberalisme kepada pascamodenisme: Kajian awal peralihan falsafah di Malaysia. International Journal of West Asian Studies.
  • Kleinman, P. (2013). Philosophy 101: From Plato and Socrates to ethics and metaphysics, an essential primer on the history of thought (m/s 165–171). Adams Media.
  • Norshairin Asri. (2023). Falsafah moral dan politik Nietzsche dalam konsep nihilisme [E-buku]. AnyFlip. https://anyflip.com/nagro/bvkx/basic
  • Penulis: Abdullah AlMubarak Bin Azmi (Political Science students at IIUM) Jawatan: Presiden PEMBINA IIUM CHAPTER 26/27

Penulis : Abdullah AlMubarak Bin Azmi, Presiden PEMBINA UIA, Pelajar Tahun Akhir Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, UIA

Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights