Setiap hari, manusia bangun daripada tidur untuk melalui rutin yang serupa. Bermula dengan membersihkan diri, menjamah hidangan, mencari rezeki dan kembali berehat. Kitaran yang ditakdirkan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana ini sebenarnya mengandungi hikmah yang sangat mendalam. Di sebalik pengulangan rutin tersebut, tersingkap satu hakikat yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun, iaitu sifat makhluk yang tidak berdaya dan sentiasa berada dalam kekurangan.
Manusia yang asalnya dari kandungan ibu, kemudiannya dijaga makan minumnya, kemudiannya dididik melalui sekolah atau rumah, mahupun tempat lain, menjadi manusia yang mampu membantu orang lain. Bermula dari satu keadaan yang lemah berubah kepada keadaan yang mampu memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat. Maka, mengapa tidak untuk kita bersyukur atas nikmat tersebut? Setiap orang mempunyai kekurangan, dan di sebalik kekurangan itu ada keberkatan, apabila digunakan untuk beribadah kepada Tuhan seluruh alam.
Kita bergantung pada makhluk lain bukanlah bermaksud kita mensyirikkan Tuhan melainkan untuk mencapai rahmat Allah SWT. Seorang alim tetap memerlukan untuk belajar daripada ulama. Seorang pemimpin juga belajar daripada khalifah sebelumnya bahkan seorang ibu sendiri pernah melalui proses didikan daripada ibunya juga. Tiada yang hebat kecuali setelah mendapat pertolongan daripada yang hebat juga dengan izin Allah SWT. Dalam buku Sejarah Umat Islam, karya Hamka, bahawa pada masa kecil Umar bin Abdul Aziz beliau selalu menyatakan kepada ibunya bahawa beliau hendak hidup seperti moyangnya iaitu Umar bin Al-Khattab r.a. Maka ibunya berkata bahawa dia akan serupa dengan nenek moyangnya. Maka pada zaman pemerintahan khalifahnya, Umar bin Abdul Aziz menjadi adil, tawaduk, dan bertakwa.
Demikianlah, khalifah yang baik tidak akan terjadi tanpa didikan yang baik juga, walaupun diberi kekuasaan atau pangkat tinggi. Asalkan niat kerana Allah, maka kelebihan yang diperolehi menjadi berkat. Pemimpin perlu ada umat agar dapat memimpin, dan umat perlu pemimpin agar dapat dipimpin. Kalau tiada pemimpin, maka kemungkinan umat akan berpecah-belah sehingga akhirnya menjadi lemah dan pupus. Apabila seorang pemimpin melakukan kesalahan, lalu rakyatnya menghina, hakikatnya pemimpin itu juga hanyalah seorang manusia. Tiada yang sempurna kecuali Allah SWT. Maslahat diutamakan agar umat tetap dalam keselamatan dan sejahtera.
Ramai orang dahulu berperang di jalan Islam, walaupun mempunyai kekurangan diri. Mereka bukan malaikat, juga bukan tuhan tapi sebagai manusia yang bergerak setakat mampu yang diizinkan Allah SWT. Hal ini dapat dinyatakan dalam peristiwa Perang Badar berdasarkan Biografi Muhammad bin Abdullah, karya Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman, bahawa pada masa Perang Badar, tentera Islam yang berjumlah 313 orang, dengan bantuan Allah SWT, dapat mengalahkan tentera Quraisy yang hampir 1,000 orang.

Maka, peristiwa demikian tidak terjadi tanpa rahmat Allah SWT. Hakikatnya, setiap gerak langkah manusia sepanjang kehidupan ini tidak terlepas daripada pertolongan-Nya. Di mana sahaja kita berada, kita tetap memerlukan bantuan Allah SWT agar terus hidup. Perjuangan di jalan Islam sememangnya berat, namun besar ganjarannya bagi orang yang berjihad. Justeru itu, sebagai hamba yang sentiasa bergantung kepada-Nya, manusia perlu mengisi kehidupan dengan perkara yang memberi manfaat, antaranya melalui pencarian dan penyebaran ilmu. Hal ini kerana ilmu merupakan salah satu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta memberi kebaikan kepada masyarakat.
Manusia mencari ilmu agar berilmu, dan untuk menyampaikan ilmu kepada orang lain. Bahkan, satu kata-kata yang baik sahaja sudah mampu menghasilkan impak besar kepada orang lain. Tiada sesuatu pun yang sia-sia apabila untuk kebaikan, terutamanya dalam agama Islam. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُمْ جَنَّـٰتٌۭ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْكَبِيرُ
(Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.)
(QS Al-Buruj: 11)
Manusia dilahirkan di dunia, dan akhirnya akan kembali meninggalkannya. Kematian merupakan satu hakikat yang tidak dapat dielakkan, walaupun ia perit untuk dihadapi. Oleh itu, manusia seharusnya bukan sahaja takut kepada kematian, tetapi lebih utama lagi kepada kehidupan akhirat yang menanti. Akhirat dengan izin dan kekuasaan Allah SWT, menjadi penentu bagi setiap manusia sama ada menuju ke syurga atau neraka.
Dengan itu, kita perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan iman dan amal soleh kita. Kita mungkin tidak mampu seperti orang lain, misalnya berharta banyak, berpangkat tinggi, atau kehidupan yang selalu tenang. Namun, hal tersebut bukanlah ukuran utama di sisi Allah SWT. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kepada hambanya yang bertakwa.
Perkara yang perlu diberi perhatian adalah kesihatan dan masa iaitu nikmat yang sangat mempengaruhi kehidupan manusia sama ada kearah kebaikan atau keburukan. Dalam kitab Sahih Bukhari, daripada Ibnu Abbas r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Dua nikmat yang dilalaikan oleh banyak manusia, iaitu kesihatan dan masa lapang.”
(Riwayat Bukhari)
Persoalannya adakah kita benar-benar menjaga kedua-duanya? Hakikatnya, manusia tidak mampu hidup tanpa rehat,makanan dan minuman, serta tidak berupaya mengubah masa yang telah berlalu mahupun yang akan datang. Namun manusia diberi pilihan untuk mengisi masa yang ada dengan kebaikan dan menjahui keburukan, agar terhindar daripada azab neraka, dengan izin dan kuasa Allah SWT. Antara amalan utama yang perlu dijaga dalam mengisi masa tersebut tersebut ialah solat, yang merupakan tiang agama dan tanda ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Maka, walaupun solat itu terasa berat, hakikatnya ia mampu dilaksanakan dengan adanya iman, atau dengan kata lain percaya mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT kepada Bani Israil dalam Surah Al-Baqarah:
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (iaitu) mereka yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.”
(QS Al-Baqarah: 45–46)
Apabila setiap individu Muslim benar-benar berpegang kepada tuntutan ini, maka lahirlah kekuatan iman yang bukan sahaja membentuk peribadi, malah turut menyatukan seluruh umat Islam. Kesatuan inilah yang menjadi asas kepada kejayaan bersama dalam kehidupan.

Kejayaan di dunia dan akhirat tidak akan tercapai tanpa pertolongan dan sokongan saudara sesama Islam. Kita adalah umpama butiran pasir di tepi pantai yang berselerak dan lemah jika bersendirian. Namun apabila butiran pasir itu terkena air, ia akan bercantum menjadi lebih kuat dan kukuh. Begitulah juga umat Islam, di mana air itu diumpamakan sebagai Islam yang menyatukan dan menguatkan hati serta kehidupan manusia.
Daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Tidaklah beriman di antara kamu sehingga mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(HR Bukhari)
Mencintai diri sendiri adalah mencintai rahmat Allah SWT yang diberikan kepada saudara lain. Tidak kira muda atau tua, miskin atau kaya, mulia atau hina, asalkan berada di atas jalan yang benar dan mendapat hidayah Allah SWT, maka mereka wajar dihargai dan dibantu. Namun, cinta pada manusia yang serba kekurangan, yang berpedomankan Islam, perlu disertai ilmu agar cinta itu tidak salah. Selagi dia berpegang pada kebenaran, maka orang yang mencintainya juga perlu disertai dengan kesabaran. Hakikatnya, ilmu itu menuntut kesabaran, dan kesabaran yang benar lahir daripada ilmu.
Natijah daripada pengamalan nilai-nilai Islam seperti kasih sayang, ilmu dan kesabaran ini akhirnya membawa kepada kehidupan masyarakat yang lebih aman dan sejahtera. Setelah Tanah Melayu dan Borneo bebas daripada penjajahan, kemudian terbentuknya Malaysia serta berkembangnya pelbagai kemudahan dan kemajuan, kita kini dapat menikmati kehidupan yang lebih aman dan sejahtera tanpa peperangan. Oleh itu, kita sewajarnya mensyukuri nikmat kebebasan ini serta memeliharanya dengan sebaik mungkin.
Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah bersyukur kepada Allah apabila seseorang tidak bersyukur kepada manusia.”
(HR Abu Daud)
Kesyukuran terjadi setelah seseorang menerima kebaikan, lalu membalasnya dengan perbuatan yang baik, sama ada untuk membantu orang daripada keadaan yang sukar kepada kehidupan yang lebih baik. Masa, kesihatan, pakaian, saudara, adalah nikmat yang perlu diusahakan dengan baik untuk dibalas kembali. Bagaimana?
Dengan menggunakan nikmat itu untuk agama. Menolong diri dan makhluk lain untuk mencapai rahmat Allah SWT, iaitu syurga yang diperoleh oleh orang yang bersyukur kepada kebaikan.
Demikian semua tadi, disimpulkan bahawa setiap manusia mempunyai kekurangan. Walaupun kita mempunyai kekurangan, kita masih mampu beribadah dan berusaha untuk mendapat rahmat Tuhan Yang Maha Penyayang, dengan izin-Nya. Hakikatnya, manusia bergantung pada sesuatu untuk hidup, dan sebaik-baik manusia adalah yang bertakwa.
Penulis : Anil Azwady bin Salleh, Penulis bebas
https://www.facebook.com/ardibayu.228186
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


