Dalam keriuhan dunia moden yang serba mekanistik, keberanian untuk berfikir secara tuntas sebenarnya adalah sebuah proklamasi kemerdekaan yang paling hakiki. Berfikir bukan sekadar proses kognitif yang berlaku di ruang sempit kranium, malahan ia merupakan wadah eksistensial yang berfungsi memecah “pembentungan minda” yang sering kali tersumbat oleh arus dogma dan sistem yang membeku. Sering kali, minda kita terperangkap dalam takungan kejahilan yang sengaja dibiarkan tepu, menyebabkan potensi intelek tidak lagi mengalir jernih. Apabila seseorang mula mengasah ketajaman akalnya, dia sebenarnya sedang membina kompas dalaman yang menjadikan dirinya lebih terarah, terpandu, dan berani berdiri di atas paksi kebenaran yang mandiri tanpa perlu berpaut pada dahan yang rapuh.
Keupayaan untuk membuat keputusan sendiri yang berakar daripada suluhan ilmu merupakan martabat tertinggi bagi seorang insan. Tanpa kemandirian dalam menaakul, manusia hanya akan menjadi objek yang hanyut dibawa arus, bukannya subjek yang menentukan haluan tamadun. Tradisi Islam sendiri meletakkan aktiviti penaakulan ini pada makam yang sangat mulia, di mana wahyu sering kali mencabar manusia untuk menembus sempadan kebodohan melalui proses tadabbur yang mendalam. Hal ini dirakamkan dengan begitu tuntas dalam Surah Ar-Ra’d (13:11):
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Potongan ayat ini secara epistemologi menegaskan bahawa perubahan nasib sesuatu kaum, sama ada dalam kelompok kecil organisasi mahupun sebuah negara besar, bermula daripada anjakan dalaman (inner transformation). Perubahan diri ini merujuk kepada transformasi paradigma, pembersihan jiwa daripada karat ketakutan, serta kemerdekaan akal daripada belenggu kepatuhan yang buta. Tanpa perubahan cara berfikir, kita akan terus terperangkap dalam kitaran kegagalan yang sama, memuja kegelapan sambil mengharapkan cahaya.

Lebih jauh lagi, ketajaman berfikir adalah perisai utama untuk menjauhi jerat pragmatisme sempit. Dalam dunia kerjaya yang kompetitif, ramai yang terjebak dalam pemikiran pragmatik yang hanya mengejar keberkesanan jangka pendek, sehingga sanggup mengorbankan prinsip moral serta nilai kemanusiaan. Pragmatisme yang tidak dipandu akal budi akan menghalalkan apa sahaja cara demi mencapai matlamat, sekali gus menyuburkan budaya yes-man atas alasan kelangsungan organisasi. Manusia yang berfikir tidak akan mudah tertipu dengan janji-janji kemudahan sementara jika ia menuntut pelupusan integriti.
Kesan daripada budaya ini melahirkan sebuah kitaran hegemoni yang membimbangkan dalam struktur kasta organisasi. Apabila seseorang meniti tangga kekuasaan hasil daripada sistem yang menghargai kepatuhan buta, mereka cenderung untuk mengulangi corak yang sama apabila memegang tampuk kepimpinan. Individu yang dahulunya menjadi yes-man demi kelangsungan kerjaya, akhirnya menjadi pemimpin yang menuntut kepatuhan yang sama daripada subordinatnya. Malah, dalam keadaan di mana ruang untuk bersuara seolah-olah dibuka, sering kali wujud “tangan-tangan ghaib” yang mengongkong penggunaan akal kritis tersebut secara tidak langsung. Tekanan struktur, ancaman halus terhadap kedudukan, atau peminggiran secara sistematik bertindak sebagai rantai halimunan yang memastikan akal fikiran tetap terkunci dalam sangkar yang dibina oleh sistem.
Namun, realiti di alam pekerjaan bahkan kehidupan masyarakat hari ini sering kali menghidangkan pemandangan yang menyedihkan melalui apa yang boleh kita istilahkan sebagai “kebodohan berstruktur”. Ia bukanlah kebodohan semula jadi, melainkan sebuah keadaan yang direkayasa oleh sistem organisasi yang hegemonik. Dalam sistem ini, neraca keadilan dipasung apabila pihak atasan hanya mendambakan subordinat yang berperanan sebagai yes-man. Kebodohan berstruktur berlaku apabila birokrasi dan hierarki digunakan untuk mematikan fungsi kritikal manusia, di mana prosedur lebih diagungkan daripada kebenaran, dan “kesetiaan” ditakrifkan sebagai “diamnya seorang bawahan terhadap kepincangan”.
Fenomena ini bukan sekadar isu pengurusan yang remeh, tetapi merupakan satu tindakan yang secara halus membunuh jiwa manusia. Bayangkan sebuah institusi yang sedang merangka polisi besar, namun apabila ada individu yang memiliki kepakaran mengesan kepincangan moral atau teknikal, dia dipaksa membungkam suara demi menjaga ego pemimpin atau mengekalkan status quo. Di situlah bermulanya keruntuhan ilmu. Apabila teguran ilmiah dianggap sebagai ancaman, institusi tersebut sebenarnya sedang membina tembok kebodohan yang akan meruntuhkan inovasi serta integriti dalam jangka masa panjang.
Inilah yang menjadi punca utama kepada bibit-bibit kebencian dan lahirnya sikap “kau-kau, aku-aku” dalam persekitaran kerja serta kehidupan bermasyarakat. Apabila kata-kata orang rendahan tidak lagi memiliki keberatan (weightage) dalam perkembangan bersama, maka sinergi organik akan mati. Yang tinggal hanyalah jasad-jasad kaku yang bekerja semata-mata demi kelangsungan gaji, bukannya demi kecemerlangan tamadun. Hal ini mengingatkan kita kepada pesanan tajam Buya Hamka:
“Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”
Teguran ini menyedarkan kita bahawa tanpa penggunaan akal yang merdeka dan prinsip yang tuntas, manusia sebenarnya sedang menurunkan darjat mereka ke tahap haiwani yang hanya mengikut naluri kelangsungan hidup semata-mana. Menyekat manusia daripada menjadi bijak demi mengekalkan kuasa adalah satu bentuk penindasan intelektual yang paling zalim dan ia bukan sahaja mengkhianati naluri insani, malah membantutkan nadi perkembangan budaya secara kolektif.

Peri Pentingnya mengasah kemampuan berfikir ini adalah untuk memastikan kita tidak melahirkan generasi yang memiliki segulung sijil tetapi tiada jati diri, atau memiliki jawatan tinggi tetapi kosong integritinya. Perkembangan ilmu menuntut keberanian untuk bertanya, dan kemajuan tamadun memerlukan keterbukaan untuk dikritik. Memecah pembentungan minda adalah langkah pertama ke arah pemulihan martabat insan yang sebenar. Kita perlu kembali kepada fitrah berfikir yang murni, di mana akal dan wahyu berjalan seiring untuk menyingkap kebenaran serta menolak pragmatisme yang membutakan nurani. Janganlah dibiarkan diri kita terus terperangkap dalam kepompong kebodohan hanya kerana takut untuk berbeza pendapat, kerana pada akhirnya, manusia yang benar-benar hidup adalah manusia yang berani berfikir, berani berkata benar, dan berani untuk tidak menjadi sekadar bayang-bayang kepada sistem yang merosakkan akal budi.
Memecah pembentungan minda adalah langkah pertama ke arah pemulihan martabat insan yang sebenar. Kita perlu kembali kepada fitrah berfikir yang murni, di mana akal dan wahyu berjalan seiring untuk menyingkap kebenaran serta menolak pragmatisme yang membutakan nurani. Janganlah dibiarkan diri kita terus terperangkap dalam kepompong kebodohan hanya kerana takut untuk berbeza pendapat, kerana pada akhirnya, manusia yang benar-benar hidup adalah manusia yang berani berfikir, berani berkata benar, dan sedar bahawa kedaulatan akal budi adalah benteng terakhir maruah kita sebagai hamba dan khalifah.
Rujukan
- Al-Attas, S. M. N. (2001). Risalah untuk kaum Muslimin. ISTAC.
- Al-Ghazali, A. H. (1997). Ihya’ ulum al-din (Jilid 1). Dar al-Ma’rifah.
- Al-Quran Al-Karim. Surah Ar-Ra’d (13:11).
- Bennabi, M. (2003). On the origins of human society (M. T. El-Mesawi, Trans.). Islamic Book Trust. Freire, P. (1970). Pedagogy of the oppressed (M. B. Ramos, Trans.). Continuum.
Penulis : Muhammad Ainuddin Bin Mohd Hata
Jurufoto, UiTM Puncak Alam / Calon PhD Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM
https://www.facebook.com/ainuddin.hata/
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


