Sejak dahulu, manusia sentiasa terdorong untuk mencari makna kesempurnaan dalam kehidupan. Dorongan ini dapat dilihat dalam pelbagai bentuk—keinginan untuk menjadi lebih baik, lebih berilmu, lebih berakhlak, atau lebih berjaya. Apabila diteliti, persoalan yang mendasari pencarian ini ialah: apakah yang dimaksudkan dengan kesempurnaan itu sendiri? Adakah ia terletak pada pencapaian kebendaan, kekuatan fizikal, kecemerlangan intelektual, atau kemuliaan akhlak? Bagaimana kesempurnaan itu dapat dicapai oleh insan?
Secara asasnya dalam perspektif Islam, kesempurnaan tidak difahami secara terpisah antara jasad dan roh, antara akal dan wahyu. Ia merujuk kepada keseimbangan dan keselarasan seluruh dimensi diri manusia sehingga potensi dirinya sebagai seorang khalifah dapat direalisasikan secara menyeluruh. Dalam kerangka inilah Ramadan sepatutnya kita fahami—bukan sekadar sebagai bulan ibadah secara semput, tetapi sebagai suatu madrasah pembentukan insan bagi mencapai makna kesempurnaannya yang hakiki di sisi Allah SWT.
Sudut pandang ini penting terutama dalam realiti kontemporari, makna kesempurnaan sering disempitkan kepada banyaknya harta, pencapaian kerjaya atau populariti yang banyak dibentuk oleh modenisasi Barat. Apabila kesempurnaan ditafsirkan secara materialistik, manusia akan terjerumus ke dalam persaingan tidak sihat, ketamakan dan kehilangan kompas nilai moral. Fenomena rasuah, penyalahgunaan kuasa dan keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa kalangan masyarakat hari ini adalah tanda bahawa manusia telah tersasar dalam menentukan kesempurnaan yang dicari.
Di sinilah bulan Ramadan mampu berperanan sebagai mekanisme pembetulan atau realignment. Ia mengingatkan manusia bahawa kesempurnaan serta kemuliaan sebenar terletak pada ketakwaan dan penguasaan diri, bukan pada kemegahan luaran.
Puasa Menyampaikan Pada Kesempurnaan Kawalan Diri
Oleh kerana bulan ini adalah perjalanan insan menuju kesempurnaan dirinya, ibadah puasa menjadi teras kepada madrasah Ramadan. Secara zahirnya, puasa ialah menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya dalam tempoh waktu tertentu. Namun secara hakikatnya, ia adalah latihan penguasaan diri secara mendalam yang merupakan antara inti kepada makna kesempurnaan.
Manusia secara fitrah memiliki dorongan jasmani dan keinginan nafsu. Dorongan ini bukan sesuatu yang salah kerana ia adalah sebahagian daripada struktur penciptaan diri manusia. Namun apabila dorongan tersebut tidak diberikan objektif yang tinggi serta mulia, ia boleh menguasai manusia dan menurunkan martabatnya ke dalam lembah kehinaan. Puasa mendidik manusia untuk membuktikan bahawa dirinya bukan hamba kepada kemahuan shahwat, sebaliknya mampu menguasai dan mengawalnya.
Di sinilah letaknya dimensi kesempurnaan yang pertama: kemampuan untuk memimpin diri sendiri. Kesempurnaan bukan bermaksud menghapuskan keinginan, tetapi meletakkannya di bawah panduan akal dan wahyu. Apabila manusia mampu menahan diri daripada perkara yang asalnya halal (seperti makan dan minum) semata-mata kerana ketaatan kepada perintah Allah, maka lebih utama lagi ia sepatutnya mampu menjauhi perkara yang sudah jelas keharamannya. Latihan ini membentuk kekuatan dalaman yang menjadi asas kepada pembinaan akhlak dan integriti diri.
Makna kawalan diri juga dapat dilihat apabila Ramadan mengajar kita tentang disiplin masa. Puasa bermula dan berakhir pada waktu yang telah ditetapkan secara spesifik. Ketepatan terhadap masa ini melatih manusia untuk menghargai keteraturan dalam kehidupan. Ini kerana kehidupan yang teratur tidak lahir secara spontan, tetapi melalui pembentukan disiplin yang berterusan. Ramadan mengajar bahawa setiap saat kita sebagai insan mempunyai nilai dan tanggungjawab (al-amanah) yang perlu dipelihara.
Menariknya juga Ramadan mengajar kita bahawa Islam tidak menuntut kesempurnaan secara utopia (gambaran ideal yang mustahil dicapai). Di sana wujudnya konsep rukhsah (keringanan) di dalam Syariat kepada mereka yang berada dalam keadaan kesusahan seperti sakit atau bermusafir. Hal ini menunjukkan bahawa kesempurnaan dalam Islam sentiasa mengambil kira realiti dan keterbatasan manusia sebagai seorang manusia. Kesempurnaan bukanlah idealisme yang menafikan kelemahan, tetapi kemampuan mengurus kelemahan dalam kerangka ketaatan. Pendekatan ini menjadikan Ramadan sebagai tempat tertanamnya benih keseimbangan antara sifat disiplin dan belas ihsan.
Ilmu Membawa Insan Kepada Makna Kesempurnaan
Satu aspek penting yang memaknai makna kesempurnaan insan ialah hubungan antara Ramadan dan ilmu. Ibadah yang sempurna bukan sekadar terletak pada ikhlas, tetapi juga menuntut kepada kefahaman yang benar sehingga boleh dilaksanakan dengan betul. Tanpa ilmu, seseorang mungkin sekadar mampu menahan makan dan minum secara luaran, tetapi tidak akan mampu melaksanakan ibadah ini secara sah dan sempurna meliputi rukun, syarat dan tujuan sebenar ibadah tersebut.
Penentuan awal Ramadan, waktu berbuka dan sahur, serta pelbagai hukum berkaitan puasa menuntut kefahaman secara berstruktur dan ilmiah terhadap hukum hakam perbuatan (ilmu fiqh) dan pergerakan objek langit (ilmu falak). Ini menunjukkan bahawa kesempurnaan dalam Islam tidak pernah terpisah daripada keilmuan. Agama tidak berdiri atas emosi atau perasaan semata-mata, tetapi atas asas cara fikir yang betul serta pengetahuan yang sahih.
Besarnya makna ilmu dalam melaksanakan ibadah Ramadan menunjukkan besarnya makna ilmu dalam kehidupan insan itu sendiri. Dengan memiliki kaedah menyampaikan kepada kebenaran terhadap sesuatu perkara akan membawa dirinya kepada tujuan dan tindakan yang betul. Oleh sebab itu sebahagian pemikir menggangap memiliki ilmu inilah jalan kepada kesempurnaan diri insan. Dengannya ia membolehkan seorang insan menyingkap sesuatu realiti itu secara benar.
Atas hakikat keilmuan inilah kemuncak Ramadan terletak pada peristiwa penurunan kitab Al-Quran. Wahyu ini yang disebut dalam firmanNya (2:185) sebagai petunjuk (al-Hidayah), keterangan (al-Bayyinah) juga pemisah hak dan batil (al-Furqan) yang membimbing manusia memahami hakikat wujud dirinya serta apa yang ada disekelilingnya berlandaskan kebenaran. Al-Quran bukan sekadar teks bacaan, tetapi sinar cahaya yang menjadi suluhan pada akal dan jiwa. Melalui wahyu, akal manusia dibimbing untuk menilai semula makna kejayaan, kebahagiaan dan kesempurnaan.
Ini dapat membetulkan penyelewengan yang melihat kesempurnaan berasaskan kehendak materialistik dan hedonistik. Dengan panduan Al-Quran, manusia dapat melihat kehidupan dalam perspektif yang lebih luas dan bermakna. Dengan ini, kesempurnaan yang ditawarkan oleh Ramadan akhirnya membawa kepada kehidupan yang sejahtera (al-Hayah al-Tayyibah)—bukan hanya dari sudut kebendaan, tetapi juga ketenangan jiwa dan kejernihan makna
Ramadan sebagai Madrasah Penyempurnaan Insan
Secara keseluruhannya, Ramadan merupakan madrasah penyempurnaan insan yang menyentuh seluruh dimensi kehidupan. Ia membangunkan daya penguasaan diri melalui puasa, disiplinmasa melalui pelaksanaan ibadah secara tersusun, keperluan ilmu dalam pelaksanaan ibadah secara sempurna, dan menyempurnakan daya akliah yang ada panda insan melalui hidayah Al-Quran.
Kesempurnaan dalam Islam bukanlah seperti dicanang oleh Barat yang kononnya adalah kesempurnaan namun hakikatnya adalah penghambaan pada nafsu dirinya. Tetapi ia hakikatnya adalah kesempurnaan yang objektif, realisitik, bersesuaian dengan kemampuan manusia sebagai hamba Allah. Ramadan menyediakan ruang untuk mendekati kesempurnaan diri insan secara berperingkat dan berterusan.
Menghayati Ramadan dengan kesedaran yang mendalam bererti mula memasuki satu perjalanan perubahan diri—daripada kelalaian kepada kesedaran, daripada keserabutan kepada kawalan diri, daripada kejahilan kepada ilmu, daripada kegelapan kepada cahaya. Inilah makna sebenar ketakwaan yang disebut sebagai objektif dari ibadah ini. Hanya melalui proses inilah manusia mampu mengembalikan martabatnya dan mencapai hakikat kesempurnaan yang sebenar.


