Ramadan: Bukan Sekadar Rutin, Tetapi Madrasah Kesempurnaan Insan

Picture of Ustaz Amar Ismat

Ustaz Amar Ismat

Penyelidik PEMIKIR

Pemegang Ijazah Sarjana Usuluddin Al Azhar dan Ijazah Sarjana Usuluddin & Pemikiran Islam, UIS. Kini bertugas sebagai Sekretariat Ulum Syarak di Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR).

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Ramadan kembali mengetuk pintu kehidupan kita. Saban tahun kita menyambutnya, namun dalam keadaan diri yang berbeza-beza. Bagi sebahagian daripada kita, Ramadan mungkin sekadar rutin tahunan—berpuasa di siang hari, Tarawih di malam hari, dan kemudian berulang sehingga ke penghujungnya.

Namun, jika Ramadan hanya dilalui sebagai jadual untuk melengkapkan kitaran setahun tanpa memahami makna besar di sebaliknya, itu adalah satu kerugian yang nyata. Rasulullah SAW pernah memberi amaran keras melalui sabdanya:

رَغِمَ أنفُ رجلٍ دخل عليه رمضانُ ثمَّ انسلخَ قبل أن يُغفَرَ له

Terjemahan: “Hinalah (amat rugilah) seseorang yang apabila tiba bulan Ramadan, kemudian bulan itu berlalu pergi sebelum dosa-dosanya diampunkan.” [Hadith riwayat al-Tirmidhī].

Sebagai insan yang dikurniakan akal, kita wajar bertanya: Mengapa kita perlu berpuasa? Apakah matlamat agung (maqāṣid) di sebalik syariat ini?

Ibadah Adalah Untuk Manusia, Bukan Untuk Tuhan

Satu hakikat yang perlu kita fahami ialah Allah SWT sedikit pun tidak mendapat manfaat daripada ibadah kita. Segala bentuk pengabdian yang kita lakukan sebenarnya kembali kepada kemaslahatan manusia itu sendiri, sama ada dari sudut pahala di akhirat mahupun manfaat di dunia.

Dalam sebuah hadith qudsi, Allah berfirman:

 يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا. يَا عِبَادِي! لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا.

Terjemahan: “Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu.” [Hadith riwayat Muslim].

Hadith ini mengukuhkan bahawa ibadah disyariatkan untuk manfaat dan maṣlaḥah manusia yang segala pulangannya adalah untuk diri mereka sendiri. Allah SWT tidak memperolehi apa-apa manfaat daripada ibadah yang dilakukan oleh manusia, dan tidak berkurang apa-apa kudrat-Nya daripada ibadah yang ditinggalkan oleh kita. Allah SWT tetap agung dengan kerajaan dan kekuasaan-Nya.

Ini membuktikan bahawa ibadah adalah “hadiah” Allah untuk manusia. Setiap aturan-Nya mempunyai hikmah tersendiri untuk meningkatkan elemen keinsanan kita, sama ada hikmah itu dinyatakan secara terus melalui wahyu atau perlu dirumus melalui akal fikiran.

Kesempurnaan Insan Sebagai Hikmah

Ibadah puasa Ramadan, secara khususnya disyariatkan dengan pelbagai hikmah untuk manusia. Antaranya hikmah terbesarnya adalah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Allah berfirman:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (al-Baqarah: 183).

Insan yang bertaqwa adalah insan yang paling sempurna kemanusiaannya. Setiap aspek diri mereka: ruh, akal, jasad dan nafsu berfungsi sebagaimana yang sepatutnya. Nafsu syahwat mereka tidak dicabut dan dihilangkan dari diri, tetapi dididik untuk mengikut telunjuk ruh dalam setiap gerak gerinya.

Latihan mendidik nafsu yang khusus daripada Allah SWT adalah menerusi madrasah Ramadan. Tabiat nafsu yang tidak suka pada sekatan akan tidak menggemari puasa yang menyekat kita daripada makan, minum serta menggauli isteri kita yang pada asalnya halal pada bulan selain Ramadan. Dengan berpuasa di bulan Ramadan, kita belajar menahan diri daripada perkara yang asalnya halal untuk kita. Hasilnya, kita akan lebih terlatih untuk menahan diri daripada melakukan perkara haram yang sememangnya dilarang dan ditegah oleh Allah SWT.

Selain itu, nafsu juga tidak suka melakukan sesuatu perkara secara berturut-turut. Kita mungkin senang untuk berpuasa sehari dalam sebulan. Namun untuk berpuasa 30 hari berturut-turut, ia memerlukan disiplin dan komitmen yang amat tinggi. Disiplin ini adalah bertentangan dengan tabiat nafsu yang sukakan kerehatan dan kesenangan. Atas sebab itu, puasa Ramadan disyariatkan selama 30 hari berturut-turut, untuk membiasakan diri manusia dengan sikap inḍibāṭ (disiplin) dalam kehidupan. Ini adalah kerana tiada perjuangan yang akan berjaya tanpa disiplin dan komitmen yang tinggi untuk mencapai cita-cita dan kemenangan.

Itu adalah makna taqwa yang sebenar yang diinginkan dari Ramadan, di mana manusia mencapai kesempurnaan insan dan memaknai erti kewujudannya. Manusia hanya akan keluar daripada elemen kehaiwanan dan menuju elemen ketinggian hanya dengan ubūdiyyah kepada Allah SWT. Ubūdiyyah hanya kepada Allah SWT, akan membebaskan manusia daripada segala cengkaman taghut yang membelenggu kemajuan mereka. Dengan kemerdekaan ini, manusia akan maju dan sempurna sebagai seorang insan, yang kenal hakikat dirinya sebagai khalifah Tuhannya di dunia.

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights