“Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan” (al-‘Alaq: 1). Ayat pertama yang ditanzilkan dan ditalqinkan kepada Rasulullah S.A.W. ini merupakan tunjang utama yang mengikat seluruh perbincangan ilmu dalam pandangan alam Islam. Falsafah ilmu yang lahir dari wahyu ini bukan sekadar satu bentuk ilmu berbentuk kognitif. Sebaliknya ianya berasaskan kerangka Ilahiyyah yang mengandungi dan menyatukan epistemologi, ontologi dan aksiologi ilmu yang bertunjangkan wahyu.
Ertinya, “Bacalah” merupakan tuntutan menuntut ilmu yang disempurnakan kaedahnya dengan menegaskan ontologi ilmu, iaitu Tuhan sebagai punca segala kewujudan. Pendekatan ini sekaligus menyanggah pandangan alam yang mengutamakan secara muktamad kaedah falsafi, sekular, dan empirik serta mengecilkan keutamaan intuisi.
Hakikatnya, ontologi ilmu dalam pandangan Islam tanpa selindung mengutamakan wahyu, kerana ia menyebut Tuhan sebagai sumber, malah turut menetapkan kaedah dalam pencarian ilmu yang disimpulkan dengan istianah daripada-Nya, dengan keyakinan imaniyyah kepada Allah S.W.T. sebagai al-‘Alim, sebagaimana Dia memperkenalkan diri-Nya adalah “yang mengajarkan al-Quran” serta “mengajarkan hikmah” kepada Rasul-Nya dengan peranan ar-Rahman dan al-Hakim.
Maka, pencarian ilmu memiliki unsur ketergantungan rohani dengan sumber utama: Allah, sekaligus mengundang persiapan rohani melalui tazkiyah an-nafs dan membetulkan maqsad pencarian kepada aksiologi tertinggi: Allah S.W.T. itu kembali. Pertentangan dari maqsad ini ditonjolkan dalam al-Quran:
“Itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia pulalah yang paling mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (an-Najm: 30).
Ayat yang menzahirkan pengetahuan kaum Musyrikin tidak mencapai pengetahuan tentang akhirat, sebaliknya terperangkap dalam pagar ilmu dunia semata berpunca dari keadaan rohani yang tidak dipersiapkan untuk membenarkan aksiologi hakiki ilmu, malahan upaya pencarian ilmu pula dilemahkan melalui epistemologi yang menyingkirkan wahyu sebagai sumber.

Kesedaran ini, apabila dimasuki lebih dalam dengan menghubungkan bidang-bidang ilmu, akan menemukan pula kesedaran bahawa al-Quran bukan sekadar sumber yang pegun, sebaliknya ia adalah sumber yang kandungannya diajarkan oleh Sumber sebenar: Allah. Bahkan, satu daripada corak rabbaniyyah Tuhan dalam mengajarkan ialah kalimat Quraniyyah itu sendiri, yang diungkap dengan lisan kaum Muslimin – bukan dari bahasa asing, tetapi dengan ukuran kefasihan yang unggul, malah sejagat apabila ia menjadi kalimat dalam bahasa yang mampu dipelajari oleh selain yang berfikir dan mengungkap dengan bahasanya sendiri: ‘Ajam. Seterusnya, ia mempamerkan wahyu sebagai sumber ilmu yang amat rapat dengan diri kerana ia dihidupkan dalam interaksi harian dengan matlamat penyebaran ilmu, khususnya oleh Rasulullah S.A.W. bersama generasi sahabatnya.
Tambahan pula, keseluruhan kalimat Quraniyyah dalam firman yang lengkap menjanjikan perubahan paradigma pandangan alam kaum Muslimin as-Sabiqin al-Awwalin, sehingga kehidupan mereka tertumpu kepada akhirat dengan erti yang tidak dapat disaingi oleh generasi kemudian, namun cukup layak untuk disoroti sebagai sebaik-baik teladan. Hal ini diterjemahkan melalui keseluruhan riwayat kehidupan mereka, termasuklah terhadap alam yang mengandungi makna rohani sebagai ciptaan Tuhan yang terbentang, kemudian menjadi pemicu pencarian ilmu yang berakar dari Tuhan sebagai ontologi, ayat-ayat-Nya sebagai epistemologi, mengenali-Nya untuk berakhlak dengan-Nya, dan berakhlak pula dengan seluruh ciptaan-Nya sebagai aksiologi.
Hasil akhir sebagai keindahan hakiki yang dipancarkan oleh kerangka falsafah Islam mengenai ilmu, ialah kelahiran insan Qurani sebagai pengiktirafan kesedaran eksistensial bertuhan bersama taklif terhadap ekosistem eksistensial itu sendiri. Insan Qurani yang memancarkan nilai-nilai al-Quran dari kaedah berfikir yang tidak sekadar mengumpulkan maklumat dan data, tetapi berdaya intelek tinggi dalam menjalin erat kaitan antara pelbagai bidang walaupun berlainan; juga dari kaedah bertutur yang tidak sekadar beradab dengan pemahaman permukaan semata seperti lembut, tepat, dan baik, sebaliknya setiap adab itu berpusatkan ontologi yang mantap, seterusnya mengesahkan adab seumpama binaan indah dari bahan akidah yang kukuh, tanpa dikhianati amanah pembinaan oleh juruteranya yang diwakili diri.
Paradigma perubahan pandangan alam ini dengan pantas menyapa Umar bin al-Khattab R.A. ketika saatnya ingin menghunus pedang ke arah adik dan suami yang dikhabarkan telah menerima agama baharu bawaan Muhammad S.A.W. – satu kunjungan penuh amarah tanpa secebis niat awal untuk mempertimbangkan kebenaran agama itu. Namun, sedikit dari bacaan sumber ilmu yang menggetarkan jiwa terus menyimbah ledakan amarah dengan sapaan kebenaran, yang kemudiannya berkembang seiring perjalanan hidupnya dalam Islam, sehingga ada kala ia mengenang karakter dirinya semasa Jahiliyyah – menjadi bukti empirikal pembentukan pandangan alam melalui al-Quran, melalui seorang sahabat terunggul yang mengalami perubahan makna eksistensial dalam dua ruang yang berbeza: Jahiliyyah dan Islam.
Contoh lain yang turut menunjukkan falsafah ilmu dalam praktik sejak zaman Baginda S.A.W adalah jawapan Mu’az bin Jabal R.A. apabila ditanya apakah sumber penghakimannya sebelum berangkat ke Yaman, yang menegaskan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber utama – inilah petunjuk akan kukuhnya falsafah ilmu yang berpadu dengan pandangan alam Islam, memuliakan wahyu sebagai sumber, kaedah dan penentuan nilai.
Sesungguhnya, pengembalian sumber ilmu kepada wahyu tidak memisahkan kaedah falsafi, penggunaan indera jasmani, dan empirikal kerana kesemuanya berupaya menghasilkan sumbangan ilmu; sebaliknya, ia menegaskan bahawa wahyu adalah sumber terunggul – malahan menggagaskan falsafah kepada ilmu – manakala kaedah-kaedah yang lain mesti disaring, diselaraskan, bahkan ditundukkan kepada autoriti itu. Hal ini demikian, wahyu mengajarkan kaum Muslimin untuk aktif berinteraksi dengannya, bahkan secara kerohanian, sebagaimana yang diteladankan oleh Rasulullah S.A.W. pada satu keadaan yang menyaksikan Baginda S.A.W. menangis mendengarkan bacaan yang dipinta dari lisan sahabat ilmuan al-Quran, Abdullah bin Mas’ud R.A.; ini menjadi petunjuk interaksi antara akal dan rohani Baginda S.A.W. terhadap firman-Nya:
“Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?” (an-Nisa’: 41).
Dalam keadaan lain, tangisan Baginda S.A.W. mengalir kerana interaksi serupa terhadap peringatan Allah S.W.T:
“Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu; dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Maidah: 118).

Tangisan ini menjadi isyarat nyata bahawa ayat-ayat al-Quran bertindak sebagai epistemologi ilmu, kerana tidak mungkin ia ditangisi tanpa didasari ilmu mengenai akhirat, dan tidak mungkin juga ditangisi jika epistemologi ini tidak mencapai tingkatan aksiologi, iaitu nilai di sebalik maqsad ilmu dikembalikan kepada Allah S.W.T. Malahan, tingkatan aksiologi ini menjelmakan perubahan fizikal Rasulullah S.A.W. akibat kegentaran rohani yang didasarkan dari ontologi yang sahih, bahawa Surah Hud dan saudara-saudaranya; Surah al-Waqi‘ah, al-Mursalat, an-Naba’, dan at-Takwir telah membuatkan Baginda S.A.W. beruban sebelum usia. Tanpa kerangka ilmu yang bertumpukan aksiologi yang benar, tidak mungkin satu surah, bahkan lebih dari satu, mempercepatkan rambut beruban – tanda pemahaman yang dalam dan penghayatan yang hidup mengenai kedahsyatan Kiamat dan balasan akhirat.
Falsafah ilmu ini juga memiliki teladan praktikal yang unggul dan kekal melalui Baginda S.A.W. sebagai “al-Quran yang berjalan”, melanjutkan huraian bahawa keseluruhan epistemologi yang bersumberkan wahyu itu tidak berhenti pada teori semata-mata dengan praktik yang dingin atau sifar, malah unsur praktikalnya dihangatkan oleh Nabi Musa A.S. melalui pemahaman eksistensial yang menimbulkan keinsafan akan kemestian ilmu, sebagaimana firman Allah,
“Katakanlah: Wahai Tuhanku, tambahkanlah aku ilmu.” (Taha: 114).
Ayat ini mengandung makna keperluan asasi bahawa ilmu tidak diperoleh secara rawak, sebaliknya Allah S.W.T. adalah Pengajar yang berterusan. Dari lisan Nabi Muhammad S.A.W. juga tersurat anjuran cemburu kepada dua golongan sahaja, salah satunya ialah ahli al-Quran yang membaca, belajar, mengamalkan, dan dipuji sebagai sebaik-baik insan. Ini bermaksud, anjuran menjadi ahli al-Quran secara tersirat mengangkat falsafah ilmu, kerana al-Quran menyiratkan epistemologi, ontologi, dan aksiologi, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai wahyu yang memuktamadkan kerangka falsafah ilmu.
Perkara ini dihujahkan lagi dengan al-Quran yang memuatkan dorongan perenungan alam, serta rakaman kisah para Anbiya’ yang menunjukkan kemahiran berilmu dalam pelbagai bidang: seperti Nabi Sulaiman dan Nabi Daud A.S. sebagai hakim dan pemerintah, Nabi Nuh A.S. sebagai tukang kayu, Nabi Yusuf A.S. dalam pengurusan kewangan dan pentafsiran mimpi, Nabi Syu’aib A.S. dalam perniagaan, malah ibu Nabi Musa A.S. yang dikurniakan intuisi (petunjuk hati) secara langsung dari Allah S.W.T. untuk menghanyutkan anaknya – kesemuanya memuatkan epistemologi, ontologi, dan aksiologi ilmu.
Apabila diselami lagi, falsafah ilmu ini turut menarik satu elemen utama iaitu bahasa: lisan al-Qawm yang diberikan pemaknaan semula mengikut keperluan kaum untuk memahami dari kerangka pandangan alam Islam. Ini menzahirkan hubungan erat antara bahasa dan penstrukturan pandangan alam, yang menjadi asas kepada kemampuan bahasa itu tersalur dengan erti Islami apabila ia difikir dan diungkap oleh individu yang berasaskan ontologi yang benar, iaitu Allah S.W.T. Oleh sebab itu, bahasa Arab menjadi bahasa sumber dalam pembinaan pandangan alam bangsa yang telah menanamkan ontologi hakiki.
Contoh nyata bagi pernyataan ini ialah bahasa Jawi yang menyerap bahasa Arab dalam bentuknya dengan adaptasi abjad mengikut lisan al-Qawm, membolehkan ia menjadi bahasa ilmu di Alam Melayu. Bahasa ini difikir dan ditutur oleh bangsa yang pada awalnya kosong daripada sebarang kepercayaan rohani, malah tumpuan mereka hanya kepada nilai estetika. Namun, estetika inilah yang mempermudahkan pintu akidah Islam dibuka luas untuk dimasuki oleh kaum sepanjang penyebaran agama Islam di Alam Melayu, kerana ia tidak pernah menganuti pandangan alam dengan makna rohani yang batil melalui mitos dewa yang dibesar-besarkan oleh para elit demi mengukuhkan dakwaan mereka sebagai perwakilan Tuhan. Demikianlah falsafah ilmu pada peringkat tinjauan awal melalui wahyu, sirah dan bahasa demi menyatukan teori dan praktik bersama.
Penulis : Umi Khairunnisa binti Mohd Ali, Pelajar Ijazah Sarjana al-Quran dan as-Sunnah, UIAM
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


