Picture of Ustaz Firdaus Zalani

Ustaz Firdaus Zalani

Pengarah PEMIKIR

Pemegang Ijazah Sarjana Pengajian Islam UKM dan Ijazah Sarjana Syariah Universiti al Azhar, Mesir. Kini bertugas sebagai Pengarah Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR). Boleh dihubungi melalui [email protected]

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Tahun lalu kami berpeluang ziarah ke rumah Prof Zainiy Uthman bertanyakan beberapa persoalan berkenaan idea utama al-Attas tentang ‘wujud’ (terutama 3 bab akhir dalam buku Prelogomena). Dalam diskusi tersebut saya ada bertanya:

“Prof jika boleh tanya, adakah betul saya katakan idea al-Attas perihal konsep wujud ini banyak disandarkan pada satu tradisi tertentu? Boleh ke saya kata ia berkesinambungan pada tradisi Akbari atau Sadra?”

Lalu Prof menjawab dengan memperbetulkan kefahaman saya tentang makna seorang ilmuan. Kata Prof:

“Perlu difahami seorang ilmuan itu adalah umpama bintang-bintang yang berada di atas langit, setiap satu bintang itu berdiri atas dirinya sendiri, bukan atas sumber cahaya lain (walaupun mungkin kita melihat cahaya yang terbit darinya seolah sama).

Begitu jugalah ilmuan dalam sejarah Peradaban Islam, al-Ghazali, Ibn Sina, al-Farabi, Mulla Sadra dan sebagainya adalah setiap satu bintang yang memancarkan cahayanya sendiri. Begitulah juga al-Attas (dan ilmuan lainnya) adalah satu bintang dikalangan gugusan bintang-bintang tersebut.”

Bila difikirkan, bagi saya jawapan ini memberi makna yang besar apa yang diertikan dengan seorang ilmuan disisi pandang worldview kita. Terutama hari ini apabila kita cenderung melihat tradisi kita melalui kacamata yang asing dari makna keilmuan kita.

Kita sering dipaksa melihat tradisi keilmuan kita pada kacamata ‘dialektik hegel’ yang banyak mencorakkan perkembangan pemikiran Barat. Lalu kita melihat segala idea yang berlaku dalam rangka semudah tesis-anti tesis-sintesis seolah sentiasa bertelagah antara satu sama lain.

Kita juga sering dipaksa melihat sejarah tradisi ilmu kita berdasarkan ‘taasub mazhab’ atau ‘taqlid’. Seolah inilah yang telah membentuk perselisihan dan perbezaan pandangan sepanjang zaman. Kita secara bermudah melonggokkan ilmuan kita pada kelompok tertentu.

Sedangkan ilmuan dalam sejarah kita bukan berdiri atas taasub, tetapi berdasarkan ‘nazar’ dalam mencari hakikat kebenaran. Dihadapan mereka bukanlah ‘pendapat’ yang ingin ditentang atau didokong, tetapi hakikat realiti yang ingin disingkap bagi mencapai ‘makna seperti ianya’.

Maka pandangan yang diambil dalam mengungkap realiti tersebut bukanlah kerena taasub pada individu. Tetapi ia terbit dari renungan mendalam terhadap kebenaran realiti itu sendiri kemudian barulah pandangan lain diambil yang dilihat selari dengan makna yang telah dicapai dirinya.

Oleh sebab itu yang mendasari perjalanan tradisi keilmuan seperti kata yang disandarkan pada Saidina Ali: “Kebenaran itu tidak dicapai bersandarkan individu, tetapi dengan kebenaran itu barulah dikenali individu (yang dokong kebenaran), maka kenalilah kebenaran lalu engkau akan kenal ahlinya”

Ilmuan yang hadir dan mereka yang telah mendahului kita hakikat mengajar bagaimana menjadi pemikir dan ilmuan yang sebenar. Ia adalah keadaan insan saat berdiri secara sedar sebagai al-‘alim (subjek ilmu) secara berhadapan dengan objek ilmu yang ingin disingkap maknaya sebagai al-ma’lum.

Menjadi seorang ilmuan lebih besar daripada penyelidik yang mengumpul data, menyusun dan membuat kesimpulan dari data yang sedia ada. Ia adalah kemampuan membangun daya akliah, jiwa serta ruhani yang ada dalam dirinya sehingga terzahir ketajaman dan kebijaksanaan pada buah fikirannya.

Makna ilmuan adalah seperti yang dirakamkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab al-Munqiz. Ia adalah sebuah perjalanan jiwa insan sebagai seorang pencari kebenaran. Lalu pelbagai kaedah dan cara dilalui yang dilihat boleh menyampaikan dirinya pada hakikat kebenaran.

Walaupun jasad mereka telah tiada, cahaya bintang mereka ini akan terus menyinari kehidupan manusia zaman berzaman. Ini kerana kesimpulan yang mereka capai dari nazar ini sendiri telah menjangkaui masa dan tempat, ia adalah singkapan hakikat kebenaran itu sendiri.

Moga Allah merahmati para ilmuan yang menjadi bintang pada ummah dibalik liku-liku musafir kehidupan ini.

Sabda Baginda “Sesungguhnya perumpamaan ‘ilmuan’ di bumi adalah seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk di dalam kegelapan bumi dan laut” (Riwayat Ahmad)

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights