Picture of Admin

Admin

Kongsi artikel

Isi Kandungan

Sains bukan sesuatu yang beku atau statik. Ia adalah satu proses yang sentiasa bergerak dan memperbaiki dirinya. Teori dalam sains boleh berubah apabila muncul penemuan baharu, namun perubahan itu tidak berlaku secara semberono. Teori asas tidak ditolak begitu sahaja, melainkan wujud percanggahan yang nyata, berulang, konsisten, dan boleh diuji serta dibuktikan.

Apabila percanggahan ini semakin kukuh, teori lama tidak “dibunuh” secara kasar. Sebaliknya, ia ditinggalkan secara berperingkat, digantikan dengan kerangka baharu yang lebih mampu menjelaskan realiti dengan satu syarat utama iaitu ia mesti lebih hampir kepada kebenaran. Dalam sains, pencarian kebenaran mengatasi ego individu. Penyelidik pula tidak rigid dengan satu kaedah sahaja, ada yang boleh diukur dengan menentukan hitam atau putih dan ada juga yang boleh ditentukan mengikut julat tertentu seperti maksimum atau minimum.

Bagaimana pula dengan sains politik?

Adakah sains politik berfungsi dengan logik yang sama, atau adakah “kebenaran” dalam politik ditentukan oleh siapa yang paling kuat, siapa yang paling lantang, atau siapa yang menguasai naratif dan struktur kuasa?

Jika dalam sains, fakta akhirnya menundukkan ego(sepatutnya), dalam politik sering kali berlaku sebaliknya ego dan kuasa menundukkan fakta. Maka soalan yang lebih patut untuk kita tanyakan ialah adakah politik hari ini masih mencari kebenaran, atau sekadar mencari kemenangan?

Mengapa realiti ini kelihatan berbeza dalam sains politik?

Antara sebab utamanya ialah objek kajian sains politik itu sendiri. Sains politik mengkaji manusia dan kuasa, bukan atom, batu, haiwan atau graviti. Manusia bukan semata-mata makhluk rasional mereka mempunyai kepentingan, dipengaruhi emosi, dibentuk oleh ideologi, dan digerakkan oleh naluri kelangsungan hidup. Kuasa pula mempunyai sifat tersendiri ia cenderung menolak cabaran, enggan dikoreksi, ingin kekal berkuasa dan sukar mengakui kesilapan.

Adakah ini bermaksud sains politik tidak bermoral?

Tidak semestinya. Masalahnya bukan pada ilmunya, tetapi pada siapa yang menggunakannya, untuk tujuan apa ia dimanfaatkan, dan dalam ekosistem kuasa yang bagaimana ia beroperasi. Seperti ilmu lain, sains politik hanyalah alat analisis dan kerangka kefahaman; nilai moralnya lahir daripada niat, konteks, dan amalan manusia yang menggunakannya.

Keadaan ini sama seperti sains nuklear yang boleh digunakan untuk menjana tenaga atau mencipta bom pemusnah. Begitu juga sains politik ia boleh menjadi asas kepada pembinaan keadilan, tadbir urus yang baik, dan kesejahteraan bersama, atau sebaliknya dimanipulasi untuk mengekalkan kuasa, menjustifikasi penindasan, dan mengaburkan kebenaran.

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk mencari kebenaran dan mengujinya, bukan sekadar mengikut arus. Kebenaran perlu ditegakkan dengan hujah, bukti, dan keadilan. Kita tidak boleh menyerahkan akal kepada ahli politik semata-mata kerana apabila kebenaran tunduk kepada kuasa, yang lahir bukan petunjuk, tetapi kesesatan.

Kita juga membawa Al Quran. Terdapat risalah yang perlu difahami dan ditegakkan dalam realiti semasa. Adakah kita bersedia mengubah minda? Bagaimana kajian empirikal dalam sains politik boleh membantu menegakkan risalah? Apakah jambatan antara ilmu tauhid dengan ilmu sains politik?

Sumber: FB Khairul Fatihin
https://www.facebook.com/kfatihin

 

Baca Lagi

Scroll to Top
Verified by MonsterInsights