Dalam usaha kita melakar wajah Malaysia Baharu, kita sering terperangkap dalam perdebatan ekonomi dan politik semata-mata. Kita jarang menyentuh usaha atau perdebatan kita tadi dengan krisis yang lebih fundamental iaitu krisis kemanusiaan atau cara kita memandang manusia itu sendiri. Berdasarkan kerangka pemikiran tokoh pemikir Abdel-Wahab El-Messiri, pembinaan semula negara harus bermula dengan menolak paradigma yang merendahkan martabat manusia dan mengangkat semula tabiat insan bagi memimpin pemulihan fitrah ini.
Paradigma Barat Musuh Tersembunyi Kemanusiaan
Langkah pertama dalam pemulihan ini adalah menyedari bahawa model modeniti Barat yang sering kita agung-agungkan sebenarnya bersifat “anti-manusia”. El-Messiri menjelaskan bahawa paradigma Barat didasari oleh falsafah kebendaan (materialisme) yang melihat alam dan manusia sebagai satu entiti fizikal semata-mata tanpa sebarang dimensi rohani atau transendensi.
Dalam paradigma ini, manusia telah diturunkan tarafnya menjadi sekadar “benda” atau komoditi ekonomi. Nilai manusia diukur berdasarkan produktiviti dan keupayaan penggunaan (consumerism), bukan pada nilai moral atau jiwanya. Ia adalah proses rasionalisasi kebendaan di mana segala-galanya termasuk hubungan sosial dan kekeluargaan diukur dengan ukuran materialistik atau untung rugi.
Akibatnya, masyarakat menjadi terpisah daripada nilai (value-free). Kita melahirkan sistem yang mungkin cekap secara teknikal tetapi buta secara moral. El-Messiri menyingkap wajah tersembunyi modeniti Barat yang hidup di bawah slogan “kelangsungan hidup adalah untuk mereka yang paling kuat”, di mana beliau melihat Darwinisme hanyalah produk sekularisme yang muncul pada era moden. Ia tidak memberikan sebarang pertimbangan kepada manusia mahupun Tuhan, malah mengenepikan segala nilai dan prinsip moral. Keadaan inilah yang menyuburkan apa yang digelar sebagai ‘Social Darwinism,’ di mana kehidupan menjadi medan pergelutan kuasa tanpa panduan etika yang luhur, membawa kepada pengasingan (alienation) dan hilangnya makna kehidupan. Jika Malaysia terus meniru model ini tanpa proses mengkritik dan menapis menggunakan lensa kita yang jernih dan tersendiri, kita hanya akan membina sebuah negara ‘berfungsi’ yang berkhidmat melayan pasaran global tetapi memusnahkan jiwa rakyatnya.

Melayu Sebagai Bangsa Tonggak Menggerakkan Agenda Nasional
Untuk melawan arus materialisme yang membinasakan ini, Malaysia memerlukan satu daya tolak yang kuat. Di sinilah peranan orang Melayu sebagai bangsa tonggak menjadi kritikal. Berdasarkan kerangka El-Messiri, kebangkitan sesebuah tamadun memerlukan “Transendensi” (hubungan dengan Tuhan) untuk melawan kegersangan dunia moden.
Orang Melayu, yang secara takrifan perlembagaan dan sejarahnya tidak terpisah daripada Islam, memiliki “senjata” paling ampuh untuk melawan paradigma Barat iaitu pegangan Tauhid dan pematuhan terhadap paksi-paksi kebenaran. El-Messiri menegaskan bahawa hanya dengan meletakkan Tuhan sebagai pusat (pengiktirafan terhadap segala sifat kesempurnaan-Nya yang melampaui ciptaan), manusia boleh diselamatkan daripada menjadi hamba sesama manusia.
Maka, menjadi bangsa tonggak bukan bermaksud mendabik dada dengan kuasa dominasi atau rasisme biologi yang merupakan warisan ciri-ciri penjajah Barat dan Zionisme tetapi bermaksud memikul tanggungjawab peradaban. Orang Melayu mesti menjadi penggerak utama yang menterjemahkan nilai-nilai Islam ke dalam sistem pentadbiran, ekonomi, dan sosial negara. Mereka mesti memimpin usaha “memanusiawikan” semula negara ini, menjadi pelindung kepada fitrah insaniah bagi semua kaum, dan memastikan Malaysia tidak hanyut dalam arus modeniti yang tidak bertuhan.
Tafsiran Semula Perlembagaan Secara Holistik
Paksi kemanusiaan dan peranan bangsa tonggak ini menuntut kita mentafsir semula “ruh” Perlembagaan Negara bukan sekadar dokumen perundangan kaku, tetapi sebagai benteng pertahanan insaniah. Ia mestilah berfungsi sebagai neraca moral yang menolak sebarang ideologi asing yang cuba merendahkan martabat manusia kepada sekadar entiti ekonomi tanpa jiwa. Dengan cara ini, perlembagaan bukan sahaja menjamin hak undang-undang, malah bertindak sebagai pelindung akidah dan fitrah masyarakat daripada ancaman modeniti yang tidak bertuhan.
Identiti Melayu di dalam Perlembagaan perlu diterjemah secara holistik, melangkaui sekadar rekod bertulis atau hak keistimewaan semata-mata. Ia mesti dijelmakan sehingga membina kerangka polisi yang tepat dan adil. Kedudukan Islam dan Melayu harus dilihat sebagai pasak kestabilan nilai yang melindungi negara daripada ideologi asing yang merosakkan seperti liberalisme atau sekularisme. Polisi negara harus digubal bukan untuk melahirkan “Melayu Pengguna” yang hanyut dalam materialisme, tetapi menjadi “Melayu Pemikul Risalah” yang mampu memimpin keharmonian pelbagai kaum berdasarkan prinsip keadilan Islam.
Kemanusiaan Sejagat (Common Humanity) menurut El-Messiri membezakan antara “Satu Kemanusiaan” (yang memaksa keseragaman ala Barat) dengan “Kemanusiaan Sejagat” (Common Humanity). Konsep Kemanusiaan Sejagat mengakui bahawa walaupun kita berbeza budaya dan bangsa, kita berkongsi potensi moral dan kemuliaan yang sama. Kita menolak rasisme yang merupakan produk modeniti Barat yang memandang manusia dari sudut biologi semata-mata dan menggantikannya dengan penghormatan kepada nilai insaniah yang dikongsi bersama.
Dalam konteks Malaysia, tafsiran terhadap Perlembagaan seharusnya menjadi wadah yang meraikan kepelbagaian dalam kesatuan fitrah. Bangsa tonggak (Melayu) berperanan menjamin bahawa hak dan kemuliaan setiap warganegara terpelihara, selari dengan tuntutan kemanusiaan Islam yang bersifat inklusif. Lebih daripada itu, mereka perlu tampil sebagai qudwah (contoh teladan) dalam memimpin kemanusiaan, sepertimana Rasulullah SAW menjadi suri teladan yang membentuk keperibadian para sahabat melalui akhlak yang agung.
Prinsip “Kepercayaan kepada Tuhan” dalam Rukun Negara mesti diaktifkan sebagai dasar falsafah negara dan dihidupkan sebagai manifestasi transendensi dunia dan akhirat atau Rohani dan material. Tanpa Tuhan, manusia akan ditelan oleh alam benda dan menjadi relatif. Sebagai bangsa tonggak, orang Melayu mesti memastikan bahawa sistem negara tidak memisahkan agama daripada kehidupan awam, kerana pemisahan itulah punca keruntuhan nilai kemanusiaan di Barat.

Kesepakatan Membentuk Impian Nasional Baharu Melalui Fiqh at-Tahayyuz (Keberpihakan Terpimpin)
Pembinaan semula ini bukanlah kerja semalaman. Ia memerlukan apa yang disebut oleh El-Messiri sebagai proses Ijtihad yang panjang dan kreatif. Kita perlu membina “ilmu bias/keberpihakan” (Fiqh at-Tahayyuz) untuk menyedari betapa dalamnya kita telah dipengaruhi oleh cara fikir Barat, dan kemudian secara sedar membina alternatif. Masa yang sama kita tidak sepatutnya membakul sampahkan khazanah hasil kemanusiaan hanya disebabkan “bias” yang telah digunakan oleh barat di “hujung peradaban dunia”.
Kita perlu membentuk satu impian nasional (national dream) yang baharu berdasarkan lensa kita yang lebih baik, jernih dan berkualiti. Impian ini memerlukan kesepakatan semua kaum yang dipimpin oleh bangsa tonggak yang berwibawa. Impian ini bukan lagi sekadar menjadi negara maju berpendapatan tinggi (yang seringkali bersifat materialistik), tetapi menjadi sebuah “Tamadun Insaniah.” Semestinya ia bukan “American Dream” versi Malaysia.
Kesepakatan ini menuntut kita menolak sistem hidup yang memisahkan kemajuan daripada akhlak atau nilai kebenaran. Mungkin ia mengambil masa yang panjang, tetapi langkah pertamanya adalah membebaskan minda kita daripada penjajahan pemikiran dan “bias” terhadap norma-norma Barat. Kita mesti berani membayangkan sebuah sistem hidup di mana ekonomi, politik, dan teknologi berkhidmat untuk manusia, dipandu oleh nilai kebenaran, dan digerakkan atau dipelihara oleh bangsa tonggak yang sedar akan amanah risalah dan peradaban.
Keperluan Kepada Ukuran Baharu Menggantikan Ukuran Materialistik
Untuk merealisasikan impian nasional yang bersifat “Tamadun Insaniah” ini, kita tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada kayu ukur lapuk yang dipinjam daripada Barat. Peralihan paradigma ini mendesak kita untuk menilai semula keberkesanan penunjuk prestasi sedia ada, seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sering menjadi penentu dalam menentukan kejayaan sesebuah negara.
El-Messiri mengkritik hebat obsesi modeniti terhadap “bias kuantitatif” (quantitative bias) iaitu kecenderungan untuk hanya mengiktiraf perkara yang boleh diukur, disentuh, dan dibilang, sambil meminggirkan aspek kemanusiaan yang luas dan tidak terhitung. Dalam kerangka ini, manusia akan sentiasa direndahkan martabatnya menjadi “unit ekonomi” atau “komoditi” semata-mata dinilai hanya berdasarkan kapasiti mereka untuk mengeluarkan produk dan menjadi pengguna pasaran. Akibatnya, kita mungkin mencapai angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi, namun gagal mengesan keruntuhan institusi keluarga, peningkatan tekanan mental, dan krisis moral yang sedang membarah dalam masyarakat.
Oleh itu, Malaysia Baharu memerlukan satu set ukuran yang bersifat rumit (complex paradigm) tetapi terbangun berasaskan fitrah manusia dan paksi-paksi kebenaran. Ukuran ini tidak harus menolak pembangunan fizikal, tetapi ia mesti menggabungkan elemen material dengan elemen rohani dan moral secara seimbang.
Penulis : Khairul Fatihin
https://www.facebook.com/kfatihin
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


