Dalam sejarah peradaban manusia, kemajuan tidak pernah lahir daripada kekosongan. Ia tumbuh daripada keberanian manusia berfikir, menyoal, menulis dan menyebarkan idea. Idea yang hebat tidak seharusnya terkubur dalam minda semata-mata. Ia perlu ditulis, dibahaskan dan disebarkan agar dapat membangunkan umat. Dalam konteks ini, tradisi keilmuan Islam sendiri berdiri kukuh atas prinsip ini bahawa ilmu sebenarnya bukan milik peribadi, tetapi amanah peradaban. Maka kehadiran wadah seperti Akal Wahyu bukan sekadar ruang penulisan tetapi medan pengislahan akal, pemurnian makna dan penghidupan kembali wacana ilmu yang berakar pada wahyu serta berpijak pada realiti semasa.
Ilmu sebagai Amanat, Bukan Sekadar Maklumat
Dalam kerangka falsafah ilmu, perkara paling asas yang perlu disedari ialah perbezaan antara maklumat, pengetahuan dan hikmah. Zaman moden kini yang melimpahkan manusia dengan maklumat terbukti tidak semestinya melahirkan insan berilmu. Ilmu, dalam tradisi Islam, sentiasa terikat dengan adab, tujuan dan tanggungjawab moral. Seperti yang ditegaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, kekeliruan ilmu (confusion of knowledge) berlaku apabila ilmu dipisahkan daripada tujuan hakikinya iaitu pengenalan dan pengabdian kepada Allah SWT selaku Tuhan pentadbir sekalian alam.
Bagi seorang guru, kesedaran ini amat penting. Profesion keguruan bukan sekadar penyampaian silibus atau pencapaian hasil pembelajaran yang boleh diukur melalui peperiksaan semata-mata. Ia adalah amanah besar dalam membentuk seorang khalifah di muka bumi. Seorang guru yang memahami falsafah ilmu akan melihat tugasnya sebagai proses membimbing akal dan jiwa manusia, bukan sekadar memenuhi kehendak sistem belaka.
Keguruan sebagai Perjalanan Pembelajaran Sepanjang Hayat
Seorang guru yang menyedari hakikat profesionnya akan memahami bahawa keguruan ialah sebuah perjalanan panjang yang menekankan pembelajaran sepanjang hayat. Tiada titik tamat dalam pencarian ilmu. Setiap tahun, setiap generasi murid dan setiap perubahan zaman membawa cabaran epistemologi yang baharu iaitu tentang cara ilmu perlu difahami, disampaikan dan dimaknai semula dalam konteks semasa.
Imam al-Ghazali sendiri menyatakan bahawa ilmu yang tidak membawa kepada perubahan diri hanyalah hujah ke atas tuannya. Maka guru bukan sahaja perlu mengajar dan mendidik, tetapi sentiasa belajar semula dengan menilai kefahaman sendiri, memperbaharui pendekatan dan membersihkan niat. Dalam konteks ini, guru tidak akan pernah berada di puncak; dia sentiasa berada dalam proses becoming yang beralih daripada seorang mu‘allim yang menyampaikan ilmu, kepada mu’addib yang membentuk adab, sehingga akhirnya memaknai peranan murabbi yang menumbuhkan insan secara menyeluruh, demi menjadikan manusia seorang berilmu yang beradab dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Belajar daripada Murid dan Realiti Kehidupan
Salah satu dimensi falsafah ilmu yang sering diabaikan ialah pengiktirafan terhadap murid sebagai subjek pembelajaran, bukan objek semata-mata. Seorang guru sebenarnya banyak belajar daripada muridnya daripada soalan yang polos tetapi jujur, daripada kesilapan yang berulang dan daripada keunikan latar belakang yang membentuk cara mereka memahami dunia.
Lebih luas daripada itu, guru juga belajar daripada ekosistem sekolah. Cerita-cerita penjaga kantin tentang rezeki, pekerja pembersihan tentang kesabaran dan kerapian, dan pengawal keselamatan tentang disiplin dan tatakelakuan sering mengandungi hikmah yang tidak tertulis dalam mana-mana modul latihan profesional. Di sinilah ilmu menjadi hidup apabila ia ditemui dalam realiti manusia, bukan hanya dalam rangka teori sahaja.
Ibn Khaldun sendiri dalam magnus opusnya al-Muqaddimah menegaskan bahawa pengalaman ialah asas kepada kefahaman sebenar terhadap kehidupan sosial. Tanpa pengalaman, ilmu menjadi kering dan terpisah daripada realiti. Maka guru yang berfalsafah akan sentiasa peka terhadap pengalaman sebagai sumber ilmu.
Ilmu Tidak Terikat kepada Ruang dan Batas Waktu Formal
Falsafah ilmu juga menolak pengertian sempit bahawa pembelajaran hanya berlaku dalam ruang formal seperti bilik darjah, dewan kuliah atau seminar akademik sahaja. Walaupun tidak dinafikan peranan institusi formal cukup penting dan signifikan, namun ia bukanlah satu-satunya medan ilmu untuk diperolehi. Pembelajaran sebenarnya banyak berdasar dalam pengalaman yang berlaku dalam kegagalan, konflik, pemerhatian dan muhasabah diri.
Dalam dunia pendidikan hari ini, kecenderungan untuk mengukur segalanya melalui indikator dan data kadangkala menyebabkan aspek makna terpinggir. Guru diajar apa yang perlu dicapai, tetapi jarang dibimbing untuk memahami mengapa dan untuk siapa ilmu itu disampaikan. Falsafah ilmu hadir untuk mengisi kekosongan ini iaitu untuk mengembalikan persoalan tujuan sebagai asas kepada segala usaha pendidikan.
Hidup sebagai Proses, Ilmu sebagai Pemberi Makna
Hidup bukanlah suatu peristiwa yang terpisah-pisah, tetapi satu proses berterusan. Setiap fasa kehidupan membawa pelajaran yang berbeza. Dalam proses inilah ilmu berfungsi sebagai alat untuk memberi makna dan arah. Tanpa ilmu, pengalaman hidup menjadi rawak dan tidak teratur. Dengan ilmu, pengalaman ditafsir, difahami dan dimanfaatkan dalam kehidupan.
Seperti yang diungkapkan oleh Viktor Frankl dalam Man’s Search for Meaning, manusia tidak hanya mencari kesenangan, tetapi menyelusuri makna dalam kehidupan. Dalam konteks pendidikan, ilmu yang bermakna ialah ilmu yang membantu manusia memahami penderitaan, kegagalan dan ketidaksempurnaan sebagai sebahagian daripada pembinaan diri. Maka kenikmatan hidup tidak terletak pada ketiadaan masalah, tetapi pada kemampuan memahami dan menghadapinya dengan hikmah.
Guru Novis dan Kesedaran Epistemologi Awal
Bagi seorang guru novis yang baru memasuki usia jagung dalam perkhidmatan, perjalanan ini masih panjang dan sarat dengan proses pencarian makna. Fasa awal keguruan sering dipenuhi idealisme yang bertembung dengan realiti. Kegagalan mengawal kelas, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang tidak mencapai objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan, dan tugas-tugas perkeranian yang sering menguji keikhlasan niat, sehingga memaksa guru untuk menilai kembali tujuan asalnya memilih profesion keguruan iaitu sama ada sekadar memenuhi tuntutan sistem atau benar-benar memaknainya sebagai amanah ilmu dan tarbiah.
Namun dalam falsafah ilmu, semua ini adalah medan tarbiah. Kesedaran epistemologi awal bahawa diri ini masih belajar, masih membina kefahaman, akhirnya akan memelihara jiwa daripada keputusasaan. Guru novis yang berfalsafah tidak melihat kelemahan dan kegagalan sebagai aib, tetapi sebagai tanda bahawa proses pembelajaran sedang berlaku secara bermakna.
Ilmu, Adab dan Tujuan Akhir Kehidupan
Akhirnya, falsafah ilmu dalam Islam tidak terhenti pada keberkesanan pedagogi atau kecemerlangan profesional semata-mata. Ia berpuncak pada pengenalan kepada Tuhan, di mana ilmu yang sejati menuntun manusia menjiwai adab dan etika, meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya sehingga menjadikan setiap langkah hidup penuh makna.
Ali bin Abi Talib RA pernah menyatakan bahawa nilai seseorang diukur melalui apa yang dia ketahui. Namun nilai ilmu itu sendiri bergantung pada sejauh mana ia membawa manusia kepada kebenaran dan kerendahan hati di hadapan Allah SWT. Maka pencarian ilmu bukan usaha intelektual semata-mata, tetapi perjalanan spiritual yang panjang.
Menghidupkan Kembali Wacana Ilmu
Sebagai penutup, dalam dunia yang semakin bising dengan maklumat tetapi miskin hikmah, usaha menghidupkan wacana falsafah ilmu menjadi satu keperluan mendesak. Penulisan, perbahasan dan perkongsian idea bukan lagi pilihan, tetapi tanggungjawab intelektual dan moral setiap insan.
Semoga melalui ruang seperti Akal Wahyu, para asatizah, sarjana, mahasiswa dan pemikir dapat bersama-sama menyumbang kepada pembinaan peradaban ilmu yang berteraskan wahyu, dimaknai oleh pengalaman dan ditujukan kepada keredaan Ilahi. Semoga setiap langkah dalam perjalanan panjang ini dipermudahkan, diberi kenikmatan dalam perjuangan, dan akhirnya membawa kita kembali kepada Tuhan yang menciptakan iaitu Allah SWT.
Penulis : Khairul Daniel Bin Mohd Zainie, Guru di Papar, Sabah
FB : Khairul Daniel (Facebook
Penafian : Pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili AkalWahyu secara keseluruhan. AkalWahyu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesilapan fakta, tafsiran, atau implikasi yang timbul daripada artikel ini. AkalWahyu menerbitkan artikel ini sebagai ruang wacana intelektual dan perbincangan idea.


